Dia ingin bertentang mata dengan mereka untuk melihat sejauh mana kesahihan gambar yang tular di laman sosial Facebook.

Melalui gambar berkenaan, ia memaparkan seorang ibu dan anak lelakinya mengemis dengan menjual tisu di sekitar ibu negara untuk menampung kehidupan.

Setelah beberapa jam mencari, akhirnya Kaizan menemui mereka.

“Kebetulan saya berada di Kuala Lumpur ketika itu. Saya mengambil keputusan untuk mencari mereka dan memberikan bantuan. Puas saya meronda-ronda akhirnya jumpa juga mereka.

“Budak kecil berusia 12 tahun itu namanya Shafiq. Orangnya baik. Dia dibesarkan oleh ibunya yang sakit dan tidak berwang selepas ditinggalkan bapa,” kata Kaizan sambil mengingati kembali peristiwa yang berlaku pada Ramadan tahun lalu.

Bermula dari situ, anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu beriltizam untuk membantu meringankan beban dua beranak itu.

“Seperti ada magnet yang membuat saya tergerak hati untuk menemui mereka,” kata Kaizan.

Tidak lama selepas pertemuan itu, Kaizan bersama badan bukan kerjaan (NGO) Hands yang ditubuhkan bersama rakan-rakannya semasa menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah berjaya menyekolahkan Shafiq di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Chow Kit, Kuala Lumpur.

Namun, oleh kerana dia tidak mahu Shafiq kembali mengemis dengan menjual tisu, Kaizan memperoleh idea untuk mengajak Shafiq berniaga menjual beruang patung Hoppo.

“Kami namakan ia Beruang Hoppo. Perkataan Hoppo diambil daripada perkataan hope yang bermaksud harapan. Hoppo adalah simbol harapan kepada anak-anak asnaf dan yatim piatu.

“Kanak-kanak ini perlu mengeluarkan diri mereka daripada kemiskinan dan kejahilan hidup. Mereka perlu berjuang mengubah hidup dengan bimbingan ilmu dan kasih sayang,” terangnya.

Beruang Hoppo dihasilkan oleh ibu-ibu asnaf yang kurang berkemampuan tetapi mempunyai bakat menjahit.

Upah

Menurut Kaizan yang kini menetap di Alor Setar, Kedah, dia menemui sebuah NGO dikenali Umi Aktif di Chow Kit yang menjalankan aktiviti kebajikan dengan mengajar golongan itu menjahit.

Melalui kegiatan tersebut, Kaizan berjumpa sendiri dengan golongan berkenaan untuk meminta mereka menjahit Beruang Hoppo dengan memberikan bayaran upah.

Golongan ibu-ibu asnaf sememangnya memerlukan pekerjaan untuk menampung kehidupan. Dengan adanya aktiviti menjahit menghasilkan patung tersebut, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka.

Kata Kaizan lagi, dia bersama Shafiq dan badan NGO menjual Beruang Hoppo kepada mana-mana individu yang berminat membeli sambil beramal.

“Dalam masa yang sama, kami memberikan patung ini kepada kanak-kanak asnaf yang ingin sama-sama menjual bagi menjana pendapatan.

“Hasil keuntungan akan diberikan kepada mereka. Kami membantu dari segi modal, pemasaran dan penjualan bagi memudahkan mereka,” terangnya yang merupakan anak kedua daripada lima adik-beradik.

Daripada perniagaan menjual Beruang Hoppo itu, terdapat dua golongan yang dapat dibantu. Pertama, ibu-ibu kurang berkemampuan dan kedua golongan kanak-kanak asnaf.

“Anda boleh membeli dan menyimpan patung comel berwarna perang itu atau lebih baik memberikan ia kepada insan-insang tersayang sebagai simbol harapan anda kepada mereka,” luahnya.

Tambah Kaizan, oleh kerana dia sering memberi bantuan kepada Shafiq dan ibunya, dia tidak mahu keluarga itu terbiasa dengan meminta-minta untuk dibantu.

“Saya tidak mahu perkara ini berlanjutan kerana sampai bila saya dan NGO lain boleh membantu mereka. Suatu hari nanti Shafiq akan habis bersekolah, dia perlu bekerja untuk mencari wang.

“Maka, dengan pendedahan awal seperti ini saya mahu Shafiq berdikari dengan melakukan kerja halal dan berfaedah bagi menjamin kehidupannya apabila dewasa kelak,” katanya yang sudah berkahwin.

Penjualan Beruang Hoppo baru sahaja bermula pada Februari 2018. Kira-kira 30 buah patung beruang telah dihasilkan ibu-ibu asnaf dan 10 daripadanya sudah terjual pada harga RM40 seunit.

Selain misi perniagaan kebajikan Beruang Hoppo, pemilik Diploma dan Ijazah Pengurusan Perniagaan, UiTM Merbok itu juga menjalankan kerja-kerja kebajikan lain seperti mengajar kanak-kanak jalanan di sekitar Chow Kit, mengadakan kem motivasi bersama anak-anak yatim dan memberikan syarahan pembangunan diri di rumah-rumah kebajikan.

Kelas belakang

Malah, Kaizan bersama Hands turut membantu menguruskan pendaftaran kad pengenalan kanak-kanak yatim dan asnaf bagi memudahkan mereka memasuki alam persekolahan nanti.

Ditanya apakah yang membuatnya ingin melakukan kerja-kerja kebajikan seperti itu, Kaizan pantas menjawab kerana dia budak kelas belakang.

“Zaman sekolah saya bermula di kelas belakang, kelas paling hujung, paling buruk dan agak gelap. Saya selalu rasa tidak pandai sebab apabila pergi ke sekolah, kerja-kerja sekolah saya selalu tidak siap.

“Faham-faham sajalah apabila ke sekolah dengan kerja yang tidak lengkap, saya selalu kena libas dengan rotan. Budak-budak sekarang mungkin tidak merasa,” ujarnya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan St. John 2, Jalan Bukit Nanas, Kuala Lumpur.

Namun lama-kelamaan, Kaizan sedar dengan kesilapannya. Sedikit demi sedikit dia mengubah diri menjadi lebih baik sehingga daripada markah yang selalu merah ia bertukar kepada biru. Akhirnya daripada kelas belakang, dia ditempatkan ke kelas paling hadapan.