Kadangkala situasi ini hampir mustahil dapat dielak memandangkan Muslimin dan Muslimat akan menziarah serta menjamu selera di beberapa rumah berbeza dalam sehari.

Sebagai langkah berjaga-berjaga, elok juga jika anda dapat menyediakan badan untuk beraya sakan kelak.

Pada bulan puasa badan kita akan adaptasi menjadi suatu sistem efisien yang mempunyai mekanisma fisiologi yang optimum.

Pundi perut telah mengecut, akibat kurang penggunaan. Hasilnya pada bulan Syawal nanti selalunya kita tidak rasa begitu lapar dan apabila makan ia adalah dalam kuantiti yang lebih kecil daripada biasa.

Lebih menguja ialah kebolehan kita menahan nafsu makan dengan tidak mengambil makanan ringan di luar waktu makan yang biasa.

Sistem tenaga badan telah menjadi lebih mahir menggunakan simpanan lemak memandangkan sumber tenaga ketika berpuasa adalah terhad dan ini seterusnya akan mengurangkan peratusan lemak badan secara keseluruhan.

Otot juga telah mula biasa beroperasi dengan kehadiran air yang minima. Secara teori, apabila dalam keadaan tidak berpuasa kelak, kita akan boleh berfungsi dengan lebih lama dalam keadaan yang lebih ekstrem.

Mengambil kesempatan daripada keadaan badan yang semakin optimum, latihan kardiovaskular masih digalakkan pada bulan puasa terutamanya pada hujung satu pertiga bulan.

Kelebihan menjalankan latihan ketika bulan Ramadan ialah penggunaan lemak dapat digandakan, di samping anda dapat mengekalkan kecergasan sistem kardiorespitori.

Dari segi jumlah latihan yang sesuai, memandangkan ketika berpuasa, badan kita selalunya berada dalam keadaan defisit air, maka masa latihan kardiovaskular sesuai dikurangkan.

Berlatih

Kebiasaannya, saya tidak menggalakkan membuat latihan kardiovakular dalam ruangan tertutup dan berhawa dingin tetapi ketika berpuasa saya amat galakkan kerana ini boleh mengurangkan air yang hilang ketika berpeluh.

Jenis latihan kardiovaskular yang sesuai dilakukan didalam rumah atau gimnasium adalah eksesais basikal, cross-trainers, stepper dan treadmil atau kegemaran saya ialah kombinasi kesemuanya! Lima ke tujuh minit untuk setiap satu diselangi dengan dua ke tiga minit rehat.

Berlatih pada intensiti tertinggi, iaitu sekitar 80 peratus daripada denyutan nadi maksima. Dengan berlatih pada intensiti yang sebegitu tinggi, anda akan membakar tenaga yang hampir sama seperti satu jam berlatih pada intensiti rendah.

Di samping itu, impak ke atas sistem kardiorespiratori juga adalah jauh lebih baik.

Akhir sekali ialah aktiviti dan pemakanan ketika minggu raya. Selalunya hampir mustahil untuk meluangkan masa untuk berlatih pada tiga hari pertama raya. Ini tidak bermaksud anda tidak boleh terus bersenam.

Contohnya, ketika solat Aidilfitri, janganlah berebut untuk parkir di dalam masjid, parkirlah di tempat yang jauh dan berjalan ke masjid. Apabila langkah bertambah, pahala berganda, penggunaan kalori pun tinggi. Konsep yang sama boleh diguna apabila menziarah perkuburan dan rumah sanak saudara.

Seterusnya, usaha yang paling sukar ketika beraya adalah untuk mengawal nafsu makan. Tip saya mudah sahaja iaitu layari laman web yang mempunyai jumlah kalori makanan raya yang biasa dan hafal nilai-nilai kalorinya.

Apabila menghadap makanan raya di rumah kenalan, anggarkan kandungan kalori kemudian bayangkan jumlah senaman yang perlu dilakukan untuk membakar jumlah tenaga tersebut.

Contohnya satu sudu kuah sate mempunyai anggaran 40 kalori dan lima gram lemak, biasanya satu ketupat memerlukan tiga ke empat sudu kuah sate (160 kalori); manakala berjalan satu jam, kebiasaannya hanya menggunakan sekitar 150 kalori! Itu baru rumah pertama. Selamat menjamu selera!