Mereka mendekati pengguna LRT tanpa mengira latar belakang dan menerangkan mengenai pertandingan Red Bull Can You Make it? 2018 bagi meraih sokongan undian di media sosial.

“Usaha ini sebagai persediaan menghadapi cabaran pertandingan tersebut yang akan berlangsung pada 10 hingga 17 April ini di Eropah.

“Pendekatan bagi mengikis rasa malu kerana dalam pertandingan tersebut kami perlu berkomunikasi dengan orang yang tidak dikenali di bumi asing,” kata Syed Abdul Kabir Syed Ahmad, 21.

Dia merupakan salah seorang daripada anggota Tim K.A.T yang turut dianggotai Aiman Ansari Mohd. Hamizan, 21, dan Batrisyia Ismail, 22.

Mereka dipilih menjadi wakil tunggal Malaysia dalam pertandingan itu setelah menghasilkan sebuah rakaman video berkaitan aktiviti anak muda dalam sukan lasak iaitu berkayak dan bermain papan selaju berdurasi seminit berjaya menewaskan 73 penyertaan daripada institusi pengajian tinggi yang lain.

Justeru, mereka akan menggalas cabaran bersama 65 pasukan lain dari seluruh dunia termasuk Britain, Amerika Syarikat, Ireland, Itali, Slovenia dan Croatia.

Pertandingan secara tahunan anjuran Red Bull itu memerlukan mereka berkelana sejauh 1,000 kilometer (km) bermula dari salah satu titik permulaan iaitu Budapest, Hungary; Madrid, Sepanyol; Manchester, Britain; Rom, Itali atau Stockholm, Sweden dan berakhir di Amsterdam, Belanda dalam masa seminggu dengan hanya menggunakan tin minuman Red Bull sebagai mata wang.

Para peserta tidak dibenarkan menggunakan wang tunai, kad kredit dan telefon sebaliknya perlu mencari cara menukarkan tin minuman Red Bull yang dibekalkan untuk mendapatkan makanan, penginapan dan pengangkutan untuk menyelesaikan misi yang diberikan.

Penjurian adalah berdasarkan tiga faktor iaitu cabaran titik semak, pengundian di media sosial dan penyelesaian tugasan dalam senarai pengembaraan.

Pemenang akan membawa pulang pakej percutian selama setahun ke lokasi-lokasi yang diidamkan.

Persediaan

Tim K.A.T adalah singkatan untuk Knowledge (Ilmu), Attitude (Gaya) dan Teamwork (Kerjasama) yang merupakan ramuan penting bagi trio berkenaan untuk beraksi cemerlang dalam pertandingan bertaraf antarabangsa itu.

Syed Abdul Kabir memberitahu, kemahiran komunikasi adalah paling utama dalam memastikan Tim K.A.T berjaya dalam pertandingan tersebut.

Sehingga kini, pasukannya berusaha untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris.

Selain itu, mereka juga memantapkan teknik pemujukan berkesan yang menjadi ‘senjata’ ketika melakukan sistem barter ketika dalam pertandingan tersebut.

“Perasaan malu memang perlu dibuang dan kami mempraktikannya sejak beberapa minggu lalu dengan menyampaikan maklumat dengan warga kolej dan pengguna LRT,” kata anak bongsu daripada lapan beradik itu.

Melalui usaha tersebut, Syed Abdul Kabir mengakui sedikit sebanyak membantu meningkatkan keyakinan pasukannya selain menjadi pemangkin semangat untuknya beraksi cemerlang.

Sementara itu, Aiman Ansari mengakui tanpa ilmu pengetahuan yang mendalam mengenai bumi Eropah, agak mustahil untuk pasukannya mengharungi cabaran yang masih menjadi rahsia.

Oleh itu, mereka tidak membuang masa sebaliknya menggunakan waktu yang ada untuk memantapkan pengetahuan dengan membuat penyelidikan bagi mendapatkan gambaran yang menyeluruh keadaan di ibu kota berkenaan.

“Kami sudah mengkaji setiap lokasi dalam peta, membuat penyelidikan menerusi internet dan mendapatkan maklum balas daripada rakan-rakan yang pernah menjejakkan kaki di sana.

“Sehingga kini, kami sudah merancang beberapa strategi bagi memastikan dapat menyelesaikan cabaran-cabaran yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di ibu pejabat Red Bull di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Meskipun masih belum mengetahui cabaran yang bakal ditempuhi, Aiman Ansari berkata, dia menjadikan pengalaman wakil Malaysia sebelum ini sebagai sandaran untuk pasukannya membuat persediaan lebih baik.

Dalam cabaran lepas, pasukan Feel Alive! dari Estonia menjuarai pertandingan berkenaan dengan jumlah mata sebanyak 392,422 manakala wakil Malaysia, Hibiscus Tigers, menduduki tempat ke-27 daripada 55 pasukan dan mendapat tempat kedua dalam capaian media sosial di Asia.

Bagi anak kelahiran Brunei, Batrisyia, keutamaannya ialah menyediakan keperluan asas untuk ke negara berkenaan terutama dari segi pakaian.

Kekuatan

Cerita Batrisyia, setiap peserta hanya dibenarkan membawa satu beg bagi mengelakkan mengalami kesukaran untuk bergerak.

Justeru, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan termasuk memilih barang-barang yang penting sahaja terutama pakaian, makanan, ubat-ubatan dan keperluan mandi.

Batrisyia menyifatkan pasukannya mempunyai kekuatan tersendiri untuk bersaing dengan pasukan-pasukan dari negara lain.

Katanya, keserasian merupakan elemen yang menjadi penentu utama kejayaan sesebuah pasukan dan dia mengakui hubungan erat Tim K.A.T telah memudahkan setiap perancangan strategi tanpa perlu bersengketa.

“Mungkin keserasian ini yang menyebabkan mudah untuk kami berbincang. Banyak perkara yang dibangkitkan namun tidak pernah sesekali berakhir dengan salah faham.

“Kami seperti sebuah keluarga, saling menghormati pendapat yang diutarakan dan berusaha untuk memberikan maklum balas yang sebaik mungkin,” kata pelajar Pusat Pengajian Perniagaan, Kolej Universiti KDU itu.

Jelasnya, mereka mempunyai matlamat yang sama dan sedar perlu bersatu untuk mencapainya dalam apa jua keadaan sekalipun.

Justeru, Batrisyia yakin dengan keserasian yang ada memberi peluang kepada mereka untuk menamatkan cabaran Red Bull Can You Make it? 2018 dengan jayanya.

Bagi Aiman Ansari, kebijaksanaan dilihat sebagai salah satu kekuatan yang menjadi pertaruhan dalam pertandingan berkenaan.

Anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu berkata, setiap ahli Tim K.A.T mempunyai kepakaran tertentu seperti penyelesaian masalah, pengaturan strategi dan ketangkasan berfikir yang boleh diaplikasikan ketika mengharungi cabaran kelak.

“Kebijaksanaan yang akan memandu arah pasukan dan saya yakin dengan kepakaran ini, Tim K.A.T dapat bersaing dengan pasukan yang lain,” ujarnya.

Tim K.A.T bakal bersaing dalam cabaran Red Bull Can You Make it? 2018 bersama 65 pasukan lain dari seluruh dunia.