Namun, kata anak ketiga daripada enam beradik itu, obsesinya itu membawa padah apabila dia tidak memberi fokus kepada peperiksaan.

“Ibu buang kesemua koleksi buku komik saya dua kali kerana dia terlalu marah akibat saya gagal memberi perhatian kepada pelajaran,” katanya mengimbas peristiwa yang berlaku 15 tahun lalu itu.

Graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor itu mengakui dia banyak memperoleh manfaat melalui pembacaan komik.

Sebagai seorang remaja yang pasif komik Slamdunk yang dibaca, ia telah menimbulkan minat kepada Mohammad Nazry menceburi aktiviti sukan seperti bola keranjang, bola sepak dan sebagainya.

Menginjak dewasa, Mohammad Nazry mula terfikir untuk melakukan sesuatu yang serius dengan komik. Minatnya itu turut diikuti oleh adik lelakinya, Muhammad Afiq Abdul Salam, 24, dan Muhammad Alif Nazrudin Abdul Salam, 27.

Mereka berkolaborasi menghasilkan komik pertama iaitu Aviasi Fantasi pada Januari 2010. Aviasi Fantasi berkisarkan mengenai Hadi dan Aidil memasang impian mahu mengembara ke langit tinggi.

Ketika sedang terbang di awan biru, mereka terserempak dengan sebuah kapal laut yang besar. Bermula daripada kejadian aneh itu, pengembaraan yang indah itu bakal berubah kepada suatu pengembaraan yang penuh misteri.

Kurang berpuas hati dengan hasil jualan komik pertama, Mohammad Nazry, bangkit untuk menghasilkan komik baharu, Misi 8A dua bulan kemudian.

“Muhammad Afiq berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Menengah Rendah dan mendapat 8A. Jadi dia banyak berkongsi tip-tip kejayaan. Tidak sangka komik itu menjadi hit sehingga terjual lebih 50,000 naskhah,” katanya yang memilih konsep motivasi pendidikan bagi komik-komik yang dihasilkan.

Atas kejayaan komik Misi 8A, maka terhasil pula komik Misi 10A dan komik Misi yang lain.

Dia yang ketika itu berkhidmat sebagai tutor di Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM turut bekerja keras menghasilkan komik-komik yang diterbitkan di bawah PTS Media Group.

Mohammad Nazry memberitahu, tempoh paling cepat dia mampu menghasilkan komik ialah dua bulan manakala paling lama sekitar satu atau dua tahun.

Kini, sudah 20 buah komik Misi dihasilkan antaranya Misi Terbang Tinggi, Misi Angkasa, Misi 4 Flat, Misi Robot, Misi PT3, Misi Fizik, Misi PLKN dan banyak lagi. 10 daripada buku itu ditulis oleh Mohammad Nazry sendiri manakala 10 lagi adalah sumbangan penulis luar.

“Saya mahu komik Misi mengubah pemikiran pembaca seperti yang berlaku pada komik Misi Fizik. Ada pelajar memberitahu tanggapan mereka berubah selepas membaca buku ini,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu.