Bakatnya semakin terserlah ketika anak kelahiran Kuala Lumpur itu berusia lapan tahun, apabila dipilih mewakili Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa, Setapak, Kuala Lumpur.

Selepas kerap memenangi beberapa pertandingan peringkat sekolah, Jun Hao mula diserap menyertai pasukan Kuala Lumpur pada Kejohanan Sirkit Remaja Kebangsaan ketika berusia sembilan tahun.

“Kejohanan itu adalah merupakan pendedahan pertama kali buat saya bermain di peringkat kebangsaan biarpun tidak memenangi sebarang pingat.

“Saya berasa amat seronok kerana dapat menimba ilmu dan bermain dengan rakan-rakan yang boleh dianggap profesional,” katanya ketika dihubungi GenK baru-baru ini.

Tambah Jun Hao, kemenangan sulungnya dicatat menerusi acara beregu lelaki dan perseorangan dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia 2010 dengan memenangi pingat emas.

Lebih manis, pada tahun 2017 Jun Hao berjaya mengharumkan nama negara selepas menundukkan Yupeng Bai dari China di pentas final Kejohanan Badminton Remaja Asia di Jakarta, Indonesia.

Bagaimanapun, Jun Hao berkata, dia terpaksa bekerja keras hampir 75 minit sebelum menewaskan jaguh China tersebut.

Pemegang kedudukan ke-119 dunia perseorangan lelaki itu menegaskan, biarpun bergelar juara Asia bukan jaminan dirinya untuk merangkul juara dengan mudah selepas ini, maka dia perlu terus bekerja keras dari semasa ke semasa.

Bercerita tentang penglibatannya dalam dunia badminton, Jun Hao mengakui, dirinya amat bertuah kerana mendapat tawaran untuk menyambung pelajarannya ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) pada tahun 2012.

“Pada awalnya, saya tidak menyangka dapat masuk ke sekolah itu kerana diri ini masih kurang pengalaman, biarpun telah banyak memenangi kejohanan peringkat daerah.

Latihan

“Walau bagaimanapun, saya berasa gembira dengan tawaran itu dan bertambah yakin karier badminton akan berkembang apabila berpeluang memasuki SSBJ,” ujar anak ke pertama daripada dua orang adik-beradik itu.

Kini, Jun Hao merupakan atlet yang berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Dari segi latihan, Jun Hao memberitahu, latihan akan dibuat sebanyak dua kali dalam masa satu hari iaitu sebelah pagi dan petang.

“Semua jadual telah diatur oleh BAM dan saya akan mengikuti latihan yang telah ditetapkan. Adakalanya, saya pergi ke pusat gimnasium untuk meningkatkan ketahanan diri.

“Sebagai seorang atlet, saya akan sentiasa menjaga kesihatan dan stamina tubuh badan terutamanya bahagian tangan dan kaki. Itu adalah aset untuk seorang atlet badminton,” kata pemegang pingat perak Kejohanan Badminton Junior Dunia, Indonesia 2017 itu.

Tambahnya, dia akan berlatih dan membuat persediaan yang cukup sebelum pergi ke mana-mana kejohanan.

Pada masa lapang atau hujung minggu, Jun Hao suka menonton wayang bersama rakan-rakannya.

Idola

Bercerita mengenai idola, Jun Hao amat mengagumi Datuk Lee Chong Wei.

“Saya sedar untuk menjadi pemain bertaraf dunia memang masih lagi jauh tetapi setiap kali turun mana-mana kejohanan, Chong Wei adalah sumber inspirasi saya.

“Saya kagum dengan semangatnya, setiap hari saya lihat Chong Wei menjalani latihan. Apa yang dilakukan sangat luar biasa, jika dia boleh mengapa saya tidak,” ujarnya yang mahu mengikuti jejak langkah Chong Wei.

Katanya, untuk mencapai kejayaan seperti idolanya, dia harus bekerja keras, disiplinkan diri dan tidak putus asa.

Pemain remaja itu dilihat berada di landasan terbaik untuk muncul bintang muda yang mampu menyinar dalam arena badminton negara, seandainya diberikan lebih banyak pendedahan di peringkat antarabangsa.

Pemain muda yang memiliki ketinggian 1.73 meter itu kini menyasarkan untuk menjadi juara pada Sukan Olimpik 2020 di Jepun sekiranya terpilih.

Jun Hao menutup tirai dengan pada tahun lalu dengan meraih gelaran naib juara pada Kejohanan Badminton Thailand Masters.