Ia menyebabkan berlakunya kemurungan, kebimbangan, stres dan pelbagai kecelaruan psikologi.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan ke-III pada 2006 menunjukkan kewujudan masalah kesihatan mental adalah 11.2 peratus dalam kalangan orang dewasa, manakala 20.3 peratus kanak-kanak dan remaja.

Kajian itu melaporkan bahawa seramai tiga juta daripada 26 juta rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental dan daripada statistik tersebut, seramai 20 hingga 30 orang daripada setiap 100,000 rakyat didapati membunuh diri setiap tahun.

Ironinya, ia boleh mengundang mudarat yang lebih berpanjangan sekiranya tidak dirawat. Justeru, penuntut tahun akhir kursus Komunikasi Pemujukan, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif untuk menjalankan kempen sosial bertemakan kesihatan mental It’s In Us bagi meningkatkan kesedaran golongan belia terhadap masalah itu.

Penasihat kempen tersebut, Dr. Sharifah Nadiah Syed Mukhiar berkata, kempen berkenaan memberi peluang kepada para pelajar mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang rekaan grafik, pengurusan acara, perhubungan awam dan promosi dalam satu kempen komunikasi.

“Mereka menunjukkan minat yang mendalam, positif dan berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan kempen ini berjalan lancar seterusnya memenuhi keperluan kursus mereka.

“Saya melihat kempen ini sebagai satu platform bagi para pelajar untuk berubah daripada pembelajaran dalam kelas kepada dunia sebenar. Diharapkan mereka akan merebut peluang ini untuk melebarkan sayap dan mencari pengalaman sebaik mungkin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Stigma

Sementara itu, pengarah projek tersebut, Yong Sook Yan berkata, pelbagai program dirancang sepanjang kempen berkenaan berlangsung.

“Kita mahu menyedarkan mereka akan simptom-simptom isu kesihatan mental, mengurangkan stigma terhadap kesakitan mental dan menggalakkan orang muda untuk memberikan bantuan atau sokongan kepada orang yang mungkin menghadapi masalah ini.

“Menariknya, pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang kempen ini termasuk video perkongsian pengalaman bekas-bekas penghidap masalah mental dalam usaha mendekati golongan muda,” katanya.

Dalam pada itu, Sook Yan mengakui bahawa kempen yang dilaksanakan pasukannya mendapat maklum balas positif daripada golongan yang disasarkan.

“Ada antara mereka yang menggunakan kempen ini untuk meluahkan perasaan berkaitan masalah yang dihadapi.

“Ini menunjukkan bahawa kempen ini mampu menjadi platform terbaik bagi membentuk sikap keterbukaan dalam kalangan penghidap masalah mental seterusnya mengurangkan stigma negatif terhadap mereka,” katanya lagi.

Menurut Sook Yan, pasukannya memanfaatkan media sosial sebagai pendekatan untuk mendekati golongan muda sekali gus mencapai segala objektif kempen yang telah ditetapkan.

“Golongan muda tidak dapat dipisahkan dengan media sosial. Mereka akan menggunakan aplikasi Facebook, Instagram dan WeChat bagi mengisi masa lapang dan berinteraksi dengan rakan sebaya.

“Oleh itu, kami menggunakan medium tersebut untuk mendekati mereka. Ia tidaklah mudah tetapi melalui kaedah yang betul kami yakin dapat melakukannya dengan sebaik mungkin,” jelasnya.

Sook Yan memberitahu, sebagai seorang yang telah dipertanggungjawabkan memimpin kempen yang dijalankan, dia mengambil kira pandangan setiap ahli kumpulan sebelum membuat sebarang keputusan.

Salah seorang pelaksana kempen, Nurul Atiqah Ahmed, 23, berkata, masalah mental sukar untuk dikenal pasti dan penghidapnya memerlukan sokongan emosi dan bantuan terapi daripada kaunselor atau doktor psikiatri.

Pengalaman berharga

“Sebenarnya, masalah mental ini sukar untuk dikenal pasti dan kecenderungan belia untuk menghidapnya adalah sangat tinggi kerana mereka sering berdepan dengan pelbagai masalah saban hari,” ujarnya.

Menurut Atiqah, kempen It’s In Us memberi pengalaman baharu dalam lembaran hidupnya sebagai seorang anak muda yang sememangnya terdedah dengan masalah kesihatan mental.

“Sejujurnya sebelum menyertai program ini, saya sama sekali tidak menyedari bahawa masalah mental semakin serius, tetapi dipandang ringan oleh masyarakat terutamanya golongan muda.

“Saya memperoleh pengalaman berharga apabila kempen ini menuntut saya supaya lebih mengambil berat, prihatin dan empati terhadap mereka yang mengalami masalah ini,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut atau persoalan berhubung kempen sosial ini boleh didapati menerusi laman sosial Facebook It’s In Us atau e-mel ke [email protected]