Konsep kemajmukan yang merujuk kepada pelbagai campuran kumpulan manusia membentuk satu entiti berasaskan kaum dalam lingkungan komuniti yang luas.

Keadaan itu bukan sahaja menyebabkan masyarakat menjadi kompleks, sebaliknya melahirkan pelbagai aktiviti sosial dan membentuk kehidupan yang dikongsi bersama.

Justeru, bagi meningkatkan kesedaran mahasiswa mengenai keunikan budaya yang wujud di negara ini, Kolej Enam Belas, Universiti Putra Malaysia mengambil inisiatif untuk menjalankan program Kesedaran Masyarakat (SOAP) ke Bumi Kenyalang di Rumah Panjai Nanga Banyau Balle di Kapit, Sarawak.

SOAP ke Bumi Kenyalang merupakan program yang memberi fokus kepada pendedahan dan kesedaran mahasiswa tentang warna-warni budaya di negara ini.

Penuh tradisi

Salah seorang peserta, Nor Raihan Ramli, 21, berkata, perjalanan SOAP ke Kapit agak mencabar kerana menggunakan pelbagai jenis pengangkutan selain memakan masa yang lama.

Cerita anak kelahiran Tumpat, Kelantan itu, perjalanan menaiki bot ekspres menyelusuri Sungai Rajang sahaja memakan masa selama tiga jam sebelum menaiki van bagi tempoh 45 minit dan lima minit menaiki perahu untuk sampai ke Rumah Panjai Nanga Banyau Balleh.

Bagaimanapun, rasa penat itu hilang apabila ketibaan mereka disambut dengan upacara miring yang diadakan penuh adat sempena Hari Gawai.

“Dalam masyarakat Iban, miring diadakan sebelum berlangsungnya sesuatu aktiviti bagi memohon keberkatan dan perlindungan daripada sebarang malapetaka.

“Kami diminta untuk membuang air tuak dalam kuantiti yang kecil bagi memenuhi keperluan upacara tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Malah, anak keempat daripada lima adik-beradik itu memberitahu, dia berpeluang mencuba beberapa adat resam kaum Iban seperti tarian ngajat dan upacara Ngiling Bidai iaitu menggulung tikar.

“Masyarakat mengenali ngajat hanya sebagai tarian tradisional, namun tidak ramai mengetahui warisan kebudayaan itu terbahagi kepada beberapa kategori dengan setiap satunya mempunyai makna tersendiri dan dipersembahkan dalam acara tertentu.

“Ngiling Bidai dilakukan untuk memberi signifikan perayaan telah pun tamat dan bersedia menempuh tahun baharu serta memulakan penanaman padi di kawasan yang baharu,” ceritanya.

Sarat aktiviti

Pelajar tahun dua Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul itu memberitahu, perkara yang paling mengagumkan adalah apabila dapat melihat suku Iban lengkap berpakaian tradisional masing-masing dengan motif serta corak yang unik.

Cerita bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara, Tumpat, Kelantan itu, anak-anak gadis suku Iban akan mengenakan perhiasan perak dan gubahan manik yang diwarisi sejak turun-temurun serta memiliki seni estetika yang cukup mengagumkan.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Muhammad Faiz Abdul Manab, 20, berkata, program berkenaan memberikan satu pengalaman baharu kepadanya yang pertama kali menjejakkan kaki ke Sarawak serta kawasan pedalaman seperti Kapit.

Muhammad Faiz memberitahu, pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang lima hari mereka berkampung di rumah panjang tersebut yang mengajarnya untuk menghormati kepelbagaian adat resam dan budaya di negara ini.

Anak kedua daripada lima adik-beradik itu memberitahu, antara aktiviti yang dilakukan termasuk Kenali Kapit, Selusuri Bumi Hijau Kenyalang, Rasa Sayang Malaysia dan Salam Lebaran.

“Kami berkunjung ke rumah panjang yang lain untuk lebih mengenali budaya dan adat resam suku kaum di Sarawak.

“Paling meriah apabila masing-masing terlibat dalam rewang bagi menyediakan hidangan seperti ikan dan ayam pansuh, lokan bakar, sambal belacan, asam pedas, kerabu mi segera, kuih onde-onde serta puteri mandi,” ceritanya.

Tambah bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak itu, mereka juga mengadakan sambutan Aidilfitri bersama penduduk setempat dan pelbagai juadah tradisional disediakan seperti ketupat, lemang, kuah kacang, nasi impit serta kuah lodeh.

Bagi menggamit suasana sebenar Aidilfitri, Muhammad Faiz berkata, bermacam biskut raya dibawa khas dari Semenanjung untuk dihidangkan selain lagu-lagu raya yang didendangkan.

Tidak cukup dengan itu, Muhammad Faiz memberitahu, kanak-kanak di rumah panjang turut diberikan duit raya.

Dalam pada itu, satu program bersama-sama murid-murid juga dijalankan di Sekolah Kebangsaan Nanga Mujong, Kapit, Sarawak.

Muhammad Faiz berkata, beberapa aktiviti berlangsung seperti Kids Expression, Language Sharing dan Kids Appreciation.

“Pengendalian program secara luar biasa berjaya menarik perhatian murid-murid di sekolah berkenaan selain menambahkan ilmu pengetahuan mereka,” ujarnya.

Bagi pengarah program, Nur Aqilah Azian, pemilihan Kapit sebagai lokasi pelaksanaan program adalah tepat setelah mengambil kira kepelbagaian budaya yang wujud.

“Objektif program berjaya dicapai apabila pelbagai aktiviti yang dijalankan memberi ilmu pengetahuan dan meningkatkan kesedaran para pelajar tentang budaya serta adat resam di Sarawak.

“Masyarakat setempat juga dapat meningkatkan jaringan sosial mereka selain menimba pengalaman baharu bersama pelajar,” katanya.