Haid masih dianggap sebagai perkara tabu untuk dibincangkan dalam kalangan wanita.

Pada masa sama, ramai pelajar perempuan di kawasan pedalaman enggan ke sekolah setiap kali didatangi haid kerana rasa malu dan rendah diri.

Situasi itu bukan sahaja berlaku di negara kurang membangun seperti Nepal, Bangladesh dan India malah turut dialami pelajar di perkampungan Orang Asli serta di pedalaman Sabah mahupun Sarawak.

Mereka bersikap demikian hanya kerana tidak mampu membeli tuala wanita untuk digunakan semasa haid.

Menyedari keadaan itu boleh menjejaskan kehadiran mereka ke sekolah, BUNGA Pads tampil membantu dengan menyediakan tuala kain wanita percuma untuk mereka.

Dilancarkan pada 19 Julai lalu, BUNGA Pads digerakkan oleh Alumni Mycorps, sebuah badan sukarelawan belia di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Penaung Bersama BUNGA Pads, Fitriyati Bakri berkata, BUNGA Pads dilaksanakan hasil pengalamannya sendiri ketika menyertai misi sukarelawan selama dua bulan di Bangladesh pada tahun 2017.

Projek itu, yang dinamakan Tiger Widow Social Enterprise, dilaksanakan di kawasan Gabura, Satkhira dengan matlamat serampang dua mata iaitu mengurangkan kadar pelajar perempuan ponteng ke sekolah ketika haid dan memberi peluang pekerjaan kepada ibu tunggal yang kurang berkemampuan dengan menjadi penjahit tuala wanita yang boleh dicuci.

Cabaran

Berkongsi pengalaman dan cabaran sepanjang berada di kawasan itu, Fitriyati berkata, lokasinya yang jauh di pedalaman memerlukan masa hampir 24 jam melalui perjalanan darat dan air dari ibu negara, Dhaka.

Ketika sampai di kawasan tersebut, beliau dapati ramai pelajar perempuan tidak hadir ke sekolah.

“Apabila ditanya kepada pelajar perempuan lain, mereka menjawab malu ke sekolah sekiranya sedang haid," katanya.

Fitriyati, 24, berkata, kaji selidik yang dijalankan mendapati pelajar perempuan di kawasan itu tidak pergi ke sekolah kira-kira 50 hari setahun akibat haid.

“Apabila saya pergi ke kampung lain, isu sama juga berlaku. Sebabnya, mereka tidak mampu membeli tuala wanita pakai buang yang harganya 80 taka atau kira-kira RM5. Ia amat mahal bagi mereka kerana pendapatan seisi keluarga yang kebanyakan hanya bekerja sebagai pencari udang hanyalah 100 taka (RM6.20) sehari," katanya kepada Bernama.

Fitriyati dan tujuh ahli kumpulan kemudian membangunkan modul dengan menghasilkan sendiri tuala wanita boleh dicuci menggunakan kain kapas.

Proses mereka bentuk tuala wanita mengambil masa agak lama iaitu kira-kira sebulan kerana perlu mencari rekaan yang sesuai dengan budaya masyarakat di sana.

“Perempuan di sana tidak memakai seluar dalam. Jadi, ia menjadi cabaran buat kami untuk menghasilkan tuala wanita yang boleh dipakai mereka.

“Selepas menerima reka bentuk yang sewajarnya, kami mengajar dan menggaji kaum ibu terutama ibu tunggal dan kurang berkemampuan untuk menjahit tuala itu,” katanya sambil memuji kemahiran jahitan wanita Bangladesh.

Projek di Malaysia

Berasal dari Sandakan, Sabah, Fitriyati yang juga bekas penuntut Politeknik Kuching, pada mulanya tidak merancang menjalankan projek tuala wanita itu di Malaysia.

Bagaimanapun, pertanyaan pihak luar yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut projek di Bangladesh menyebabkan beliau berminat memperluaskan projek itu di negara ini.

Beliau turut menerima galakan daripada rakan pengasas BUNGA Pads, Amir Junaidi dan Maisarah Razali yang gigih merancang serta membangunkan projek itu demi melaksanakan misi sosial untuk masyarakat.

“Kami pernah menerima panggilan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Turki yang bertanya sama ada projek tuala wanita diadakan di Malaysia. Ketika itu, kami fikir tidak perlu sebab tiada kajian kes yang menunjukkan adanya keperluan tuala wanita di negara ini.

“Namun, apabila bertemu dengan rakan-rakan NGO lain yang selalu mengunjungi kawasan pedalaman Orang Asli seperti di Kelantan, mereka memberitahu tentang kebanyakan pelajar perempuan dan wanita Orang Asli hanya menggunakan kain buruk ketika haid,” katanya.

Perkara sama turut dikongsi rakannya yang juga guru di pedalaman Sabah yang menyatakan tentang pelajarnya yang tidak ke sekolah semasa haid kerana tidak mampu membeli tuala wanita.

Ini membuatkannya mahu memulakan projek tuala wanita di Malaysia, kata Fitriyati. Beliau turut mendapat sokongan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Datuk Hatipah Ibrahim yang mahu melihat potensi projek itu dikembangkan di Malaysia.

“Kementerian memberikan sokongan kewangan kepada kami bagi memulakan projek ini pada awal tahun,” katanya.

Semangat ibu

“BUNGA Pads tidak berdepan masalah mereka bentuk tuala wanita namun perlu mengambil masa bagi menentukan jenis kain yang mahu digunakan,” katanya yang mengguna pakai konsep tuala wanita kitar semula.

Selain kain kapas, BUNGA Pads menggunakan kain minky seperti baldu yang terbuat daripada mikrofiber untuk permukaan tuala wanita dan bahan daripada arang buluh serta dilapis dengan kain kapas untuk memudahkan penyerapan.

“BUNGA Pads menghasilkan tiga jenis tuala wanita iaitu untuk kegunaan harian, aliran haid yang banyak dan aliran sederhana,” katanya.

Pemilihan nama BUNGA Pads diambil daripada semangat dan kekuatan ibu Fitriyati yang bernama Bunga Sape yang berusia 43 tahun.

“Pemilihan nama ini sebagai tanda penghargaan buat ibu yang melahirkan dan membesarkan saya serta adik-beradik lain walaupun dalam kepayahan,” katanya.

Beliau berkata, ibunya dilahirkan dalam keluarga susah dan berdepan ujian getir apabila didiagnosis menghidap penyakit kanser payudara pada usia 31 tahun.

“Ketika itu, saya baharu berumur 13 tahun. Ibu saya lalui semuanya sendirian kerana ayah merantau ke Semenanjung mencari rezeki. Saya membantu ibu dengan menjaga adik-adik.

“Dua tahun ibu saya berjuang melawan penyakit itu...sepatutnya, dia perlu menjalani pembedahan membuang ketulan kanser tetapi disebabkan tidak mampu, ibu merawat sendiri dengan menjaga pemakanannya,” kata Fitriyanti yang juga anak kedua daripada enam beradik.

Selepas dua tahun, ibunya yang disahkan menghidap kanser tahap tiga sembuh daripada penyakit itu dan meneruskan penjagaan kesihatan serta pemakanannya.

“Semangat ini akan saya tekankan dalam membantu wanita lain kerana dalam projek BUNGA Pads, tukang jahit yang menjahit tuala wanita juga adalah kumpulan ibu tunggal kurang berkemampuan dalam golongan B40.

“Setakat ini, enam tukang jahit di Kuala Kangsar, Perak terlibat menjayakan projek ini,” katanya. 
– Bernama