Pada gambar seterusnya, Danial terus menjawab lagi dengan memberitahu, lambakan plastik terbuang itu hanya akan mencemarkan ekosistem jika ia tidak diuruskan dengan baik.

Perbincangan tentang pembuangan sisa plastik menjadi topik perbualan di dalam Bilik Darjah Frog pada hari itu.

Sambil pelajar-pelajar lain mengutarakan pendapat dan idea, tangan mereka turut menekan-nekan papan kekunci pada komputer riba yang disediakan di dalam kelas berkenaan.

Suasana pembelajaran itu berlangsung dalam keadaan santai di sebuah Bilik Darjah Frog di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle, Petaling Jaya, Selangor.

Tambah Danial yang merupakan pelajar Tingkatan 1 Merah di sekolah itu, sejak sekolah rendah lagi dia telah membiasakan diri dengan menggunakan kemudahan dan peralatan yang disediakan dalam bilik darjah berkenaan. Kesemuanya terdapat 41 buah unit komputer riba.

Kemudahan utama yang diberikan melalui Bilik Darjah Frog adalah melalui sistem Frog VLE (Persekitaran Pembelajaran Maya) yang amat menyeronokkan dan menarik perhatian.

“Lazimnya, saya hanya akan membuat latihan-latihan yang diberikan guru melalui sistem yang dikendalikan Frog VLE ini, ia lebih mudah dikendali asalkan mempunyai jaringan internet yang laju.

“Kami boleh terus mendapatkan jawapan jika ada perkara yang tidak diketahui dengan menggunakan carian di internet,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada majlis perasmian Bilik Darjah Frog di SMK La Salle, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Alaister Danial, 13, berkata, dia amat gemar melakukan aktiviti mencabar minda dengan melengkapkan kuiz-kuiz yang boleh diperoleh melalui sistem yang disediakan.

Guru boleh memberikan kerja rumah atau latihan dalam kelas kepada pelajar dengan cara menghasilkan kuiz mahupun menggunakan kuiz prabina, dengan Enjin Kuiz dalam Frog VLE.

Objektif utama

“Setiap kuiz yang dijawab dengan betul akan diberi peluang bermain permainan interaktif. Selepas melengkapkan permainan itu, baru boleh ke tahap seterusnya.

“Jadi, kami sebagai pelajar tidak terlalu tertekan untuk menjawab soalan secara berterusan,” ujar pelajar yang berasal dari Sarawak itu.

Penubuhan Bilik Darjah Frog atau dikenali juga sebagai bilik darjah online dan ruang sosial untuk sekolah adalah hasil inisiatif Yayasan YTL bersama Kementerian Pendidikan Malaysia serta Federal International Holdings Berhad (FIHB).

Objektif utama projek itu adalah untuk mendedahkan generasi baharu melalui pendidikan dan teknologi.

Kini, pelajar bukan sahaja boleh melayari internet dengan mudah tetapi guru-guru turut mampu berkomunikasi bersama pelajar secara dalam talian.

Guru boleh menghasilkan laman pengajaran dalam Frog VLE dengan menggunakan widget-widget yang mempunyai pelbagai fungsi.

Terdapat lebih 29 widget dalam Frog VLE, antaranya yang mengandungi fungsi untuk memainkan video, memuat turun fail dan berbincang dengan pelajar.

Segala kerja-kerja tambahan boleh dipantau menerusi sistem yang dikendalikan. Sehingga hari ini, sebanyak 250 buah kelas telah diubah kepada Bilik Darjah Frog.

Pengetua SMK La Salle, Teo Boon Hwa berkata, persekitaran Frog VLE adalah satu sistem pembelajaran berasaskan web yang menyerupai dunia pembelajaran sebenar yang mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya.

“Sebagai contoh, guru-guru dapat memberikan tugasan, ujian dan menyemak tugasan secara maya, sementara murid mampu menghantar tugasan serta menyemak markah menerusi VLE.

“Ibu bapa pula boleh berkomunikasi dengan pihak sekolah, manakala pentadbir sekolah mampu menguruskan kalendar sekolah dan menguar-uarkan notis sekolah melalui internet,” terangnya.

Nafas baharu

Matlamat utama ialah untuk menyediakan kemudahan yang selesa serta sesuai dengan piawaian Pembelajaran dan Pengajaran Abad ke-21 yang menjurus ke arah pembelajaran maya.

Tambahnya, setiap murid akan diberikan peluang selama satu jam untuk menggunakan kemudahan yang disediakan.

“Pelajar boleh menggunakan bilik berkenaan sama ada pada waktu sekolah atau selepas tamat waktu persekolahan.

Satu sukatan akan diwujudkan bagi memberi peluang kepada semua orang untuk menggunakan Bilik Darjah Frog.

“Malah, ibu bapa turut diberi peluang untuk menggunakan bilik ini pada hujung minggu. Ia diharapkan dapat memberi nafas baharu kepada bidang pendidikan,” katanya.

Apa yang diharapkan ialah lebih banyak sekolah, terutamanya di kawasan luar bandar berpeluang untuk mengalami pengalaman dalam Bilik Darjah Frog dan menggunakan sepenuhnya manfaat Frog VLE dalam pembelajaran yang lebih kondusif.

Dalam pada itu, Federal International Holdings Berhad telah mengambil peranan dengan mewujudkan ruangan pembelajaran abad ke-21 di Bilik Darjah Frog.

Pengarah Urusannya, Datuk Choy Wai Hin berkata, kerusi dan meja di Bilik Darjah Frog direka khas dengan bentuk melengkung bagi membantu pelajar berkomunikasi antara satu sama lain dengan lebih efektif.

“Persekitaran yang selesa dan inovatif juga mampu mendorong pelajar meningkat dalam pembelajaran serta mengembangkan kemahiran teknologi mereka,” ujarnya.

Dengan pengalaman selama hampir 15 tahun dan memperoleh pelbagai anugerah, Frog VLE bukan sahaja digunakan di Malaysia tetapi melibatkan 20 juta pengguna di lebih 12,000 sekolah di 23 buah negara di seluruh dunia, dalam kalangan komuniti pengajar dan pelajar.

Frog VLE merupakan satu sistem pembelajaran berasaskan web yang menyerupai dunia pembelajaran sebenar yang mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya.