Dia begitu tertarik dengan ruang depan binaan rumah kedai lama berkenaan yang mempunyai pelbagai bentuk dan rupa.

Ada yang tingkap sudah patah, reput dan pudar warna. Tidak kurang juga ada beberapa tompok cat pada bangunan itu sudah terhakis akibat cuaca panas dan hujan.

Semua itu diperhatikan Ai Xin yang merupakan pemenang Pertandingan Seni YOUthReka 2018 bagi kategori Seni Halus. Dia menghasilkan karya berjudul Old Town Ipoh pada pertandingan itu.

Sebelum ini Pertandingan Seni YOUthReka dikenali Inisiatif Seni Nando’s.

Menurut Ai Xin yang berasal dari Ampang, Ipoh, Perak, lukisan yang dihasilkan di atas kanvas itu merupakan gabungan beberapa buah kedai yang boleh dilihat di sepanjang deretan kedai di Ipoh.

“Boleh dikatakan hampir setiap hari saya melihat bangunan-bangunan ini kerana saya dibesarkan di Ipoh. Jadi semasa mencari ilham untuk menghantar karya ke pertandingan ini, saya terfikir ada baiknya saya melukis seni bina berkenaan.

“Disebabkan kekuatan lukisan saya terletak pada tekstur dan bahan, jadi ia adalah satu idea yang baik untuk diketengahkan,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman pemenang Pertandingan Seni YOUthReka 2018 di pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dia yang memiliki Diploma Seni Halus, Akademi Seni Dasein, Wangsa Maju, Kuala Lumpur menambah, jika diamati pada setiap bangunan itu, boleh dilihat di kedai yang meletakkan dua jenis papan tanda berlainan saiz dan warna.

Katanya, ini kerana pemilik bangunan atau perniagaan berkenaan tidak mahu menurunkan papan tanda asal berikutan terlalu sentimental untuk ditanggalkan.

“Maka, mereka meletakkan dua papan tanda sekali gus pada satu bangunan sama. Mereka merasakan corak dan reka bentuk papan tanda yang lama amat berharga kerana melalui papan tanda itulah kedai mereka dikenali.

“Selain itu, ada di antara bangunan tersebut yang mempunyai dua atau tiga lapisan cat lama yang sudah tertanggal namun tidak dipulihkan. Semua tanda itu memberitahu kita bahawa bangunan lama mempunyai nilai yang tinggi kepada seseorang,” ujarnya.

Mengenai lukisan Old Town Ipoh, Ai Xin memberitahu, kesemua ciri yang terdapat pada bangunan itu dimasukkan ke dalam hasil karyanya. Cuma, dia menambah kelainan dengan melukiskan karya itu di atas kanvas, bukan pada kertas lukisan biasa.

Ia menambahkan lagi dramatik lukisan Ai Xin, di mana lukisan di atas kanvas menimbulkan hasil dan tekstur berbeza dengan lukisan-lukisan lain.

Sokongan keluarga

Ai Xin menyiapkan lukisannya itu dalam tempoh sehari. Dia tidak memerlukan masa terlalu lama kerana sudah mempunyai asas dalam seni lukis.

Jelas Ai Xin, dia mula meminati seni lukis sejak di sekolah tadika lagi.

“Sejak berumur enam tahun saya sudah memasuki kelas seni. Minat saya disokong oleh keluarga. Sejak itu saya memberi tumpuan penuh pada dunia lukisan.

“Saya mempunyai studio sendiri di rumah. Saya menghabiskan banyak masa di situ. Selepas tamat belajar, kini saya merupakan pelukis sepenuhnya. Saya banyak terlibat dengan jelajah dan pameran berkumpulan bersama artis-artis lain,” terangnya.

Pada Pertandingan Seni YOUthReka 2018, Ai Xin memenangi hadiah utama bagi kategori Seni Halus dengan membawa pulang wang tunai RM5,000, baucar Nando’s bernilai RM500, pameran solo dan bimbingan yang ditaja.

Pertandingan Seni YOUthReka berfungsi sebagai platform untuk golongan muda meluahkan ekspresi dan perkembangan positif mereka terhadap dunia seni.

Personaliti

Dengan adanya inisiatif seumpama itu, ia telah mengetengahkan satu barisan seniman muda Malaysia yang kini mempunyai saluran yang menarik untuk mempromosikan kebolehan serta karya kreatif mereka.

Selain kategori Seni Halus, terdapat sebuah lagi kategori iaitu Seni Digital. Kategori Seni Digital telah dimenangi oleh Chew Song Kee yang turut membawa pulang hadiah sama seperti Ai Xin.

Bagi kategori Seni Digital, Song Kee menghasilkan karya dengan nama Crow Guest. Song Kee menggunakan software Illustrator untuk menghasilkan lukisan tiga ekor burung gagak berserta wajah manusia memakai topi.

Menurutnya, lukisan itu dihasilkan selepas dia membuat beberapa rujukan di Pinterest. Anak sulung daripada dua beradik itu menghasilkan lukisannya berdasarkan karakter dan personaliti diri sendiri.

“Burung gagak menggambarkan personaliti saya yang nampak diam namun sebenarnya saya suka bercakap. Warna hitam pada burung gagak pula menggambarkan gaya maskulin manakala lukisan topi pula menunjukkan ciri-ciri lelaki beradab,” ujarnya yang sedang mengikuti Diploma Illustrator di Akademi Seni Dasein.

Tambahnya, dia mengambil masa tiga minggu untuk menyiapkan lukisan berkenaan.

Pada tahun ini, pertandingan itu menerima sebanyak 468 penyertaan. Selain persaingan utama yang disenarai pendek, terdapat lapan karya seni tambahan yang dihasilkan seniman autistik tempatan dan Pop-Art istimewa dengan kolektif seni Titikmerah.

Salah seorang pelukis autisme, Maria Soo, 28, menghasilkan dua lukisan menarik untuk diletakkan pada pameran Seni YOUthReka yang berlangsung daripada 14 hingga 24 Ogos 2018. Dia menjadikan haiwan dan tumbuhan sebagai motif utama.

Kata ibunya, Rose Low, Maria menyedari yang dia berkebolehan dalam menghasilkan lukisan selepas mengikuti kelas istimewa yang dianjurkan sekolahnya yang terletak di Alam Shah, Shah Alam.

“Dia mempunyai kebolehan luar biasa apabila pandai meletakkan setiap warna pada kertas yang sudah dilukis dengan sendiri tanpa perlu bantuan dan tunjuk ajar.

“Kini, saya menghantarnya ke kelas seni persendirian di Subang seminggu sekali supaya dia dapat belajar.” ujarnya.

Pertandingan Seni YOUthReka merupakan platform khusus untuk belia kreatif daripada semua lapisan masyarakat mempamerkan bakat serta imaginasi mereka.

NANDO’S percaya bahawa seni bukan hanya untuk orang berbakat sebaliknya ia untuk semua golongan masyarakat.

TERDAPAT lapan karya seni tambahan yang dihasilkan pelukis autistik dipamerkan pada pameran yang berlangsung dari 14 hingga 24 Ogos lalu di Publika, Kuala Lumpur.