Selepas kira-kira tiga minit berlalu, ikan tersebut sudah siap diproses bagi membuang kesemua tulang yang ada.

Dia kemudiannya menyambung rutin hariannya itu dengan memproses ikan yang seterusnya.

“Beginilah tugas saya setiap hari. Saya perlu membuang kesemua tulang ikan ini agar ia mudah untuk dimakan.

“Walaupun tugas ini agak rumit, tetapi saya sudah biasa. Malah, saya hanya mengambil masa kurang daripada lima minit untuk membuang tulang pada seekor ikan boulu seberat sekitar setengah kilogram,” katanya.

Hazlina sudah bekerja di kilang memproses ikan boulu yang terletak di Kompleks Pertama Takada, Tawau, Sabah sejak empat bulan lalu.

Bantu majikan

Kepada rakannya, Mohd. Shahrul Suhaimi Ruski, 21, pula, dia memerlukan masa yang lebih lama untuk melakukan proses tersebut memandangkan dia baru sahaja bekerja di situ sejak sebulan lalu.

Walaupun kerjaya itu tidak begitu popular disebabkan terpaksa berdepan dengan bau hanyir ikan mentah setiap hari, namun dia berbangga kerana menjadi salah seorang anak muda yang membantu majikannya untuk menaikkan semula populariti ikan tersebut.

Ikan boulu merupakan sejenis ikan laut bersisik yang memiliki banyak tulang, sama seperti ikan terubuk.

Di Semenanjung Malaysia, ikan tersebut lebih dikenali dengan panggilan ikan susu.

Walaupun dikategorikan sebagai ikan yang mempunyai isi gred A kerana mempunyai rasa enak menyamai ikan merah, siakap, kerapu dan jenahak, faktor tulang yang banyak menyebabkan tidak ramai memilih ikan boulu untuk dijadikan hidangan.

Bagi seorang anak muda kelahiran Tawau, Baharuddin Basrie, 32, keenakan isi ikan boulu telah mendorongnya untuk memulakan perniagaan memproses ikan tersebut tanpa tulang untuk dipasarkan secara komersial.

Dia mendapat idea untuk menjalankan perniagaan itu selepas melihat potensi ikan tersebut yang mempunyai peminatnya tersendiri terutama dalam kalangan masyarakat Tawau.

“Ikan boulu memang sangat popular dalam kalangan orang Sabah khususnya di Tawau dan menjadi hidangan signatur bagi masyarakat di sini sejak dahulu lagi.

“Namun disebabkan tulangnya banyak, tidak ramai yang memilihnya untuk dijadikan hidangan khususnya golongan muda.

“Sebab itulah saya merasakan perlu melakukan sesuatu untuk terus memperkenalkan ikan boulu khususnya kepada golongan muda dan pelancong dari luar Sabah,” katanya.

Jenis ikan

Bercakap tentang kaedah pengeluaran ikan boulu tanpa tulang di kilang miliknya, Baharuddin berkata, ia perlu melalui beberapa proses sebelum dapat dipasarkan.

Katanya, ikan boulu yang diperoleh daripada pembekal secara segar perlu dibelah dua terlebih dahulu sebelum dibersihkan bagi membuang bahagian perut dan darah.

Tulang ikan tersebut kemudiannya akan dibuang tulang secara manual oleh beberapa orang pekerja sebelum disimpan di dalam peti sejuk beku.

Menurut beliau, terdapat dua jenis ikan boulu tanpa tulang yang dipasarkan secara sejuk beku iaitu ikan tanpa sisik yang sesuai untuk digoreng atau ikan dengan sisik yang sesuai untuk dibakar.

Isinya yang tebal pula sangat enak dimakan sama ada dicicah bersama sambal atau diratah.

Menurut Baharuddin, sebelum memulakan perniagaan memasarkan ikan boulu tanpa tulang secara sejuk beku, dia memasarkan ikan boulu segar kepada pelanggan terutama peniaga restoran di sekitar Tawau pada tahun 2014.

Komersial

Kesemua ikan tersebut diperoleh daripada penternak ikan kolam air masin di sekitar Tawau dan daerah berhampiran.

Setelah hampir tiga tahun memasarkan ikan boulu segar, dia kemudiannya mengembangkan perniagaannya dengan membuka kilang memproses ikan boulu tanpa tulang pada November tahun lalu.

Menurutnya, sebelum ini memang ada pengusaha yang memproses ikan boulu tanpa tulang tetapi ia hanya dilakukan di rumah dengan skala yang kecil sama ada untuk dimakan sendiri atau dijual kepada rakan-rakan sahaja.

Dia kemudiannya mendapat idea untuk menghasilkan ikan boulu tanpa tulang secara komersial kerana yakin permintaan sangat tinggi khususnya daripada pemilik restoran.

“Saya membuka sebuah restoran yang terletak bersebelahan kilang memproses ikan boulu bagi memperkenalkan masakan signatur masyarakat Tawau kepada pelancong,” katanya.

Kedudukan restoran milik Baharuddin yang dikelilingi kawasan komersial dan terletak di tengah bandar Tawau itu menyebabkan ia kerap dikunjungi mereka yang gemar menikmati ikan tersebut.

Katanya, ikan boulu segar sejuk beku yang belum dibuang tulang dijual pada harga antara RM7 hingga RM8.50 sekilogram (kg), manakala ikan boulu tanpa tulang pula antara RM13.50 hingga RM15 satu kg mengikut saiz.

Disebabkan ikan boulu tanpa tulang yang diusahakannya pada hujung tahun lalu semakin mendapat permintaan, dia sudah merancang untuk mengembangkan perniagaannya dalam masa terdekat dengan membuka sebuah lagi kilang memproses ikan boulu tanpa tulang bagi meningkatkan jumlah pengeluaran kepada 10 tan metrik sebulan.

Pada masa kini katanya, dia hanya mampu mengeluarkan kira-kira setan metrik ikan boulu segar tanpa tulang secara sejuk beku disebabkan bekalan ikan tersebut yang masih tidak mencukupi.

“Perniagaan ini mempunyai potensi yang sangat besar untuk dikembangkan. Saya sangat berharap suatu hari nanti, ikan boulu akan kembali popular dan menjadi antara ikan yang diminati oleh orang ramai untuk dinikmati dalam pelbagai bentuk hidangan,” katanya.

Bagi seorang penggemar ikan boulu, Noorazizul Kadir, 30, dia kini boleh menarik nafas lega apabila usaha Baharuddin memasarkan ikan boulu tanpa tulang membolehkannya terus menikmati keenakan ikan tersebut tanpa rasa bimbang dengan tulangnya yang banyak.

Malah katanya, dia juga akan menguar-uarkan keenakan ikan tersebut kepada rakan-rakannya termasuk mengajak mereka mencuba resipi ikan boulu bakar dan goreng yang dihidangkan di restoran milik Baharuddin.