Namun, sukan yang menyerupai acara hoki ais itu sebenarnya sudah bertapak di negara ini sejak tahun 1999.

Ia mula diperkenalkan oleh beberapa pelajar asing yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Antara mereka yang terlibat awal dalam sukan itu ialah Azmill Ahmad Hadzim, 29, yang kini menjawat jawatan sebagai Presiden Persatuan Floorball Selangor.

Dia yang juga pemain kebangsaan pernah menggalas nama negara dalam beberapa pertandingan peringkat antarabangsa yang diadakan sebelum ini.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Azmill bagi mengikuti perkembangan terkininya dalam sukan floorball.

1. Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang anda?

Saya berasal dari Ampang, Selangor dan merupakan anak bongsu daripada dua adik-beradik.

Saya memang seorang yang aktif dalam sukan. Antara sukan yang pernah saya ceburi pada zaman persekolahan ialah hoki, olahraga dan ragbi.

Malah, semasa bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Indah, Ampang, saya pernah terpilih untuk mewakili sekolah ke kejohanan silat peringkat daerah.

2. Bilakah anda mula menceburi sukan floorball?

Saya mengenali sukan floorball ketika melanjutkan pengajian di Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLIUC) pada tahun 2009.

Malah, saya juga merupakan pemain floorball bagi KLIUC ke beberapa kejohanan pada peringkat institusi pengajian tinggi tempatan.

Pada tahun 2010, saya terpilih untuk mewakili negeri Selangor ke kejohanan peringkat kebangsaan.

3. Bila anda dipilih untuk mewakili negara?

Saya mula mewakili negara pada tahun 2013 ketika menggalas nama Malaysia pada Sukan SEA yang diadakan di Naypyidaw, Myanmar.

Pada tahun 2014 pula, saya mewakili negara ke Kejohanan Floorball Universiti Sedunia yang diadakan di Singapura, manakala pada tahun 2015, saya sekali lagi terpilih untuk mewakili negara ke Sukan SEA juga di Singapura.

Peluang bermain pada peringkat antarabangsa sememangnya tidak dapat dilupakan kerana saya dapat berkenalan dengan ramai pemain-pemain hebat selain melihat secara terus teknik yang mereka digunakan untuk memenangi sesuatu perlawanan.

4. Apa perkembangan terkini anda?

Selain bertindak sebagai Presiden Persatuan Floorball Selangor, saya juga merupakan jurulatih negeri Selangor untuk melatih dan mencari bakat-bakat baharu dalam sukan ini.

Malah, saya turut menjadi jurulatih kepada beberapa pasukan universiti dan sekolah di sekitar Selangor.

Ketika ini, saya bersama beberapa rakan dalam persatuan bertindak turun padang terutamanya ke sekolah-sekolah untuk memperkenalkan sukan ini kepada murid-murid.

Ini kerana floorball merupakan sejenis sukan yang boleh dimainkan oleh murid sekolah kerana ia tidak berbahaya berbanding hoki disebabkan peralatan yang digunakan adalah ringan serta kurang berisiko.

Kami juga mahu lebih ramai murid sekolah terlibat dalam sukan ini kerana mungkin ada antara mereka tidak berpeluang untuk menyertai sukan-sukan lain disebabkan oleh faktor-faktor tertentu.

5. Apakah nasihat anda kepada mereka yang ingin menceburi sukan floorball?

Bagi mereka yang berminat untuk melibatkan diri dalam sukan ini, hadir segera ke mana-mana kelas latihan floorball yang diadakan di tempat anda.

Jika anda masih muda, jangan bimbang kerana sukan ini boleh dimainkan oleh sesiapa sahaja termasuk pelajar sekolah rendah.

Apa yang penting adalah kesungguhan dan disiplin dalam bersukan. Siapa tahu, anda mungkin antara pemain yang akan mewakili negara pada peringkat antarabangsa suatu hari nanti.