Penuntut tahun dua jurusan Kejuruteraan Geomatik, Pusat Pengajian Profesional dan Pendidikan Berterusan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu begitu bangga kerana lagu kebangsaan didendangkan dengan penuh semangat patriotik walaupun tanpa iringan muzik.

Nicholas adalah antara 55 orang peserta yang terlibat dalam program khidmat masyarakat HIJRAH’18 anjuran Kelab Kelana Siswa UTM baru-baru ini.

Program yang berlangsung selama seminggu itu turut disertai tiga orang pelajar antarabangsa UTM serta mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Sekolah Tinggi Manajemen Information dan Komputeran serta Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi Yadika Bangil.

Pelbagai aktiviti dijalankan termasuklah pengubahsuaian Madrasah Miftaul Ulum, pembinaan tandas, Fun Science di Sekolah Dasar Gendro II, lawatan ke Universitas Brawijaya dan Yadika Bangil, sukan rakyat, lawatan ke Gunung Bromo serta ceramah agama.

Mengimbas penglibatan Nicholas dalam HIJRAH’18, anak sulung daripada tiga adik-beradik itu mengakui, dia mahu menambah pengalaman selain menyumbang ilmu dan kemahiran untuk dimanfaatkan bersama komuniti.

“Saya memang mahu meningkatkan kemahiran insaniah dalam diri bagi memenuhi kehendak pasaran pekerjaan yang menginginkan mahasiswa serba boleh.

“Justeru, program HIJRAH’18 menjadi pemangkin untuk saya mengasah sifat kepimpinan diri dan bersama-sama menyumbang kepada pembangunan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Nicholas memberitahu, dia ibarat orang mengantuk disorongkan bantal apabila mendapat pengalaman berganda setelah ditawarkan untuk menjawat jawatan setiausaha pada program berkenaan.

“Jawatan itu mendedahkan saya dengan kemahiran dokumentasi dan surat menyurat selain memastikan setiap gerak kerja dapat dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Saya juga bertanggungjawab membimbing sekretariat program untuk menulis surat mengikut format yang betul dan jitu supaya tidak berlakunya kesalahan,” katanya.

Gerak kerja

Cerita Nicholas, dia berperanan memastikan kelancaran gerak kerja yang dirancang sebelum dapat dilaksanakan dengan jaya sepanjang program itu berlangsung.

Persediaan yang rapi di samping kerjasama padu daripada peserta menjadi kunci kelancaran setiap gerak kerja.

Dalam pada itu, ilmu kejuruteraan yang dimiliki dimanfaatkan sepenuhnya untuk melakukan pengubahsuaian madrasah dan membina empat buah tandas di Desa Gendro.

Cerita Nicholas, dia berkongsi pandangan bersama peserta lain seterusnya mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di dewan kuliah dengan berkesan.

“Pekarangan Madrasah Miftaul Ulum diturap kerana sebelumnya permukaan tanah tidak rata dan berlubang-lubang.

“Di situ saya mempelajari keadaan geografi tanah dan pengukuran yang betul bagi mengelakkan berlakunya sesuatu kejadian yang tidak diingini,” ujarnya.

Malah, Nicholas berkata, dia turut belajar cara pembinaan tandas mengikut kaedah yang betul agar tidak menimbulkan masalah seperti kebocoran dan bau.

“Laluan paip pembetungan diberikan perhatian selain memastikan perangkap bau di pasang dengan sempurna,” katanya lagi.

Tahan lasak

Sementara itu, seorang lagi peserta, Nalisha Nair Subas, 21, mengakui HIJRAH’18 membentuk sifat lasak dan berdaya tahan dalam dirinya.

Cerita anak kelahiran Kuantan, Pahang itu, program berkenaan menuntut dirinya untuk lebih berani berdepan cabaran.

“Kerja-kerja pengubahsuaian dan pembinaan bangunan seringkali dilakukan oleh golongan lelaki tetapi program ini membuktikan bahawa wanita juga mampu melakukannya.

“Ia menjadikan kita lebih lasak dan berdaya tahan, sekali gus menepis bahawa kaum wanita lemah serta tidak mampu menyumbang apa-apa,” katanya.

Nalisha turut memberitahu, sepanjang program tersebut, dia mempelajari budaya serta cara hidup penduduk di Desa Gendro yang mengusahakan pelbagai jenis tanaman seperti epal, paprika, bawang, nanas, kubis dan bunga krisan selain menternak lembu.

Cerita anak bongsu daripada dua adik-beradik itu, dia amat teruja apabila dapat turun ke kebun serta ladang dan melihat sendiri kesuburan hasil tanaman penduduk.

Bagi Muhammad Zaim Akhyak, 19, penglibatan dalam program HIJRAH’18 telah membantunya membina jaringan sosial yang lebih luas.

“Aktiviti Fun Science dan sukan rakyat berjaya mengeratkan hubungan antara penduduk tempatan dengan para peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Malah, lawatan ke Universiti Brawijaya telah mendedahkan tentang budaya dan kelebihan negara jiran dalam bidang teknologi serta pertanian,” ujarnya.

Bagaimanapun, anak kelahiran Tronoh, Perak itu mengakui, tidak lengkap penganjuran sesebuah program tanpa cabaran yang perlu ditempuhi.

Menurut Muhammad Zaim, cabaran terbesar yang dihadapi pasukannya adalah apabila berlaku salah faham antara pihak penganjur dan pemandu kenderaan pacuan empat roda yang membawa mereka ke Gunung Bromo.

Muafakat

“Tempahan 12 buah kenderaan pacuan empat roda ke Gunung Bromo yang dilakukan oleh penduduk tempatan telah tersalah tarikh dan waktu disebabkan faktor bahasa.

“Setelah berunding dengan pemandu dengan bantuan pegawai yang terlibat, kami memutuskan untuk menangguhkan lawatan pada keesokan harinya,” ceritanya lagi.

Berbeza dengan Nicholas, yang melihat kerjasama setiap peserta merupakan cabaran besar untuk ditangani.

Jelas Nicholas, buah fikiran yang berbeza antara peserta telah menyukarkan sesuatu keputusan untuk diambil.

Namun, atas semangat muafakat, setiap peserta diberi peluang untuk mengemukakan pendapat dan perbincangan yang menyeluruh telah dijalankan sebelum keputusan akhir dipersetujui semua pihak.

Pengarah Hijrah’18, Hasarudeen Ahamad Thaha berkata, pemilihan Desa Gendro sebagai lokasi program adalah disebabkan terkenal dengan aktiviti mahasiswa di Indonesia, khususnya di Jawa Timur.

“Sebelum program ini berlangsung, kami membuat lawatan tapak untuk memastikan tempat tersebut sesuai untuk program.

“Alhamdulillah, kami mendapat sokongan penuh daripada Pejabat Bupati, Pejabat Daerah, tokoh-tokoh desa dan penduduk Desa Gendro untuk menjayakan program ini,” katanya.

Hasarudeen memberitahu, objektif yang ditetapkan berjaya dicapai apabila pengubahsuaian madrasah dan pembinaan tandas berjaya disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan selain pelbagai aktiviti lain.

“Paling penting apabila peserta dapat belajar budaya tradisi, cara hidup dan adat resam masyarakat luar negara di samping mengeratkan lagi hubungan persaudaraan antara dua buah negara,” ujarnya.

Seramai 55 orang mahasiswa daripada pelbagai universiti menjayakan program khidmat masyarakat di Desa Gendro, Jawa Timur, Indonesia.