Kemalangan, penderaan, penyelewengan perubatan, kecuaian, jangkitan dan kecederaan serta beberapa faktor risiko yang lain boleh menyebabkan berlakunya penyakit itu.

Pergerakan sosial, World Cerebral Palsy Day menganggarkan kira-kira 17 juta populasi dunia tergolong dalam kumpulan CP dengan nisbah satu daripada 278 kanak-kanak didiagnosis menghidap penyakit itu.

Bagi meningkatkan kesedaran terhadap penyakit tersebut, Kumpulan Music for Life iaitu sekumpulan siswazah Pengurusan Perniagaan (MBA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Graduate School of Business (UKM-GSB) mengadakan konsert amal Art of Music pada 12 Januari lalu di Auditorium PERMATApintar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.

Konsert tersebut turut menampilkan penyanyi baharu, Luqman Faiz dan Ayum Primadona dengan kehadiran kira-kira 600 orang penonton.

Pengarah projek, Shahmie Aiman Sabarudin berkata, hasil jualan tiket yang diperoleh menerusi persembahan konsert itu disumbangkan kepada badan amal Malaysian Advocates for Cerebral Palsy (MyCP).

“Tujuan kami bagi memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit ini,” katanya kepada GenK baru-baru ini di Auditorium PERMATApintar, UKM.

Tambah Shahmie Aiman, pihaknya percaya sokongan kepada golongan ini perlu wujud dalam apa jua bentuk sekalipun terutama kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga menghidap penyakit sedemikian.

Sementara itu, Dekan UKM-GSB, Prof. Madya Puan Yatim berkata, konsert amal tersebut merupakan sebahagian daripada projek bagi kursus Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).

“Program di bawah khidmat komuniti itu dapat meningkatkan kemahiran insaniah para pelajar dan keyakinan diri seseorang.

Kongsi maklumat

“Di samping itu, ia juga bertujuan mewujudkan perasaan tanggungjawab dalam diri individu untuk berbakti kepada masyarakat sekeliling terutama bagi mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Tambahnya, sebanyak 45 persembahan diadakan dalam masa tiga jam tanpa henti dan ia turut diselitkan dengan perkongsian maklumat mengenai penyakit selebral palsi.

“Kami berharap konsert Art of Music itu dapat meningkatkan pengetahuan penonton selain memberi nilai tambah kepada peserta yang membuat persembahan,” katanya lagi.

Konsert Art of Music mendapat tajaan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Siemens Malaysia (tajaan emas) dan penaja-penaja lain seperti Awal Hijrah serta Flowereka Florist Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi MyCP, Zatul Hejanah Abdulila berkata, menjaga anak yang menghidap selebral palsi merupakan satu perjalanan seumur hidup yang memerlukan kekuatan fizikal, mental dan kewangan seseorang.

“Kos perubatan untuk anak CP mencecah 10 kali ganda berbanding anak normal atau tanpa kecacatan intelektual.

“Malah, ia boleh menjangkau 26 kali ganda jika anak itu kurang upaya intelektual,” ujarnya yang mempunyai anak perempuan berusia 12 tahun yang menghidap CP.

Tambahnya, rawatan awal dapat mengurangkan komplikasi dan berkemungkinan pesakit lebih berdikari serta mempunyai kualiti hidup lebih baik pada masa hadapan.

“Walaupun bahagian otak yang cedera tidak boleh dirawat namun, bahagian otak lain boleh dilatih untuk mengambil alih fungsi otak yang cedera.

“Ini termasuk menjalani terapi, rawatan alternatif dan penggunaan peralatan rehabilitasi serta alat bantuan lain,” katanya.