Sudah menjadi rutin bagi warden, Ammar Maaruf Mat Jeri, 25 dan ketua petugas Mohd. Hakimi Fhirdaus, 29, di Madrasah Tahfiz Darul Quran Wal Hadith bersama 27 para pelajarnya mempersiapkan diri sebelum masuk waktu solat subuh berjemaah.

Mereka mengisi waktu terluang dengan alunan pelbagai zikir.

Aktiviti 27 pelajar lelaki berusia antara 10 hingga 16 tahun itu padat setelah selesai solat subuh. Ia dimulakan dengan kelas pengajian pada pukul 6.30 pagi, diikuti sesi beriadah dan bersukan sambil beramah mesra bersama penduduk kampung sebelum menikmati sarapan.

Jadual pengajian al-Quran disambung semula sehingga pukul 12 tengah hari.

Selepas itu, mereka berehat dan tidur di dalam bilik masing-masing sebelum menunaikan solat zuhur dan makan tengah hari bersama-sama.

Menurut Mohd. Hakimi, para pelajar menikmati kemudahan tempat tinggal yang selesa dengan setiap bilik dilengkapi dua set katil bertingkat untuk empat orang dan tandas di dalamnya.

Terdapat ruang berehat dan santai, solat, kelas pengajian, sudut komputer, kemudahan mesin basuh, ruang makan serta dapur yang luas.

“Istimewanya, pusat tahfiz ini ialah asalnya sebuah banglo di atas tanah yang luas. Ia diwakafkan oleh pemiliknya yang merupakan penduduk kampung ini sebelum dibangunkan secara berperingkat-peringkat sehinggalah dilengkapi kedai runcit, dewan terbuka untuk penganjuran majlis serta sebuah pusat penyediaan perkhidmatan menyewa khemah dan peralatan majlis.

Jaminan

“Sebagai jaminan, kami telah menandatangani satu perjanjian bagi penyerahan banglo ini untuk dijadikan pusat tahfiz kerana bimbang akan dituntut oleh waris pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan media ke pusat tahfiz tersebut di Bukit Badong, Ijok baru-baru ini.

Turut hadir tenaga pengajar, Aiman Sufyan Aezman, 29, yang dikenali sebagai Dai Aiman dan Penasihat pusat tahfiz tersebut, Kamsani Misdi, 61.

Aiman menjelaskan, pelajar tahfiz yang mendaftar di situ bukan datang dari Selangor sahaja, tetapi pelbagai negeri dan sehingga kini, mereka begitu bersemangat untuk menghabiskan pengajian masing-masing yang dibantu oleh tenaga kerja Muhammad Khairi Janom, 26, dan juga Abdul Aziz Kamsani, 24.

“Proses pembelajaran menghafaz al-Quran perlu konsisten dan serius melalui formula hafazan yang betul, namun kami sentiasa memberi ruang dan peluang kepada para pelajar untuk berehat, beriadah malah kami juga sekali sekala bersukan bersama mereka.

“Pada hujung minggu, beberapa guru dari sekolah di kampung ini akan berkunjung ke sini untuk mengajar mereka pelajaran lain seperti Bahasa Inggeris dan Matematik,” jelasnya.

Kelebihan pusat tahfiz yang dikelolakan beberapa orang anak muda itu memberi sinar dan keceriaan kepada penduduk kampung kerana menjadi tumpuan bagi kanak-kanak untuk belajar mengaji dan sekali sekala, para ibu bapa datang berkunjung bersantai untuk mendengar alunan al-Quran yang dibaca para pelajar.

Kemahiran

“Mereka berasa tenang ketika berehat di pekarangan luar pusat tahfiz ini dan kami juga menawarkan khidmat kepada golongan dewasa untuk belajar membaca al-Quran pada hujung minggu,” jelasnya.

Lebih menarik, kemahiran dalam bidang pendawaian elektrik dan pertukangan yang dimiliki Aiman dan Hakimi turut melengkapkan lagi pusat tahfiz itu kerana akan memudahkan mereka membaiki kerosakan dan menaik taraf keperluan di dalam banglo tersebut.

Penjimatan dapat dimanfaatkan juga melalui kemahiran mereka dalam bidang teknologi maklumat (IT) dengan mengguna pakai teknologi IT untuk menguruskan operasi harian di pejabat.

“Para pelajar kini berada dalam suasana pembelajaran yang damai dan harmoni kerana segala kemudahan telah disediakan termasuk warga kerja serta tukang masak.

“Mereka kini hanya perlu memberi tumpuan kepada tugas dan tanggungjawab masing-masing,” jelasnya.

Mereka yang berminat untuk menyumbang kepada pusat tahfiz tersebut atau menjemput pelajar menghadapi majlis-majlis ilmu, boleh menghubungi di talian 
014-518 1326.