Sudah hampir tiga tahun menyemai bakti kepada syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia, wajah pemilik nama Amir Haikal Abu Bakar, 26, atau mesra dipanggil Amir itu tidak asing lagi bagi pelayar internet.

Bukan sahaja memiliki pakej fizikal lengkap, lelaki yang menceburi kerjaya gah di awan biru sejak tahun 2015 itu juga menunjukkan prestasi cemerlang dalam karier apabila dilantik sebagai ketua pramugara.

Bagi Amir Haikal, kerjaya sebagai pramugara amat mencabar dan memerlukan individu yang bijaksana, cekal, berani, sabar dan berkeyakinan tinggi.

Bagaimanapun, anak kedua daripada empat beradik itu tidak pernah sesekali tunduk pada cabaran yang mendatang sebaliknya bertekad untuk berjuang sehabis baik dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Dia juga berasa teruja kerana dapat mencapai cita-citanya bergelar pramugara kerana kerjaya tersebut dianggap mampu memberikan pengalaman luar biasa yang tidak diperoleh orang lain.

Kosmo! baru-baru ini menemui Amir Haikal bagi menyingkap penglibatannya sepanjang bergelar pramugara.

Mengapa saudara memilih untuk menjadi pramugara berbanding menceburi bidang-bidang lain?

Kerjaya sebagai pramugara bukanlah mudah seperti yang disangka oleh ramai pihak kerana kami berdepan dengan pelbagai cabaran setiap hari. Namun begitu, cabaran itu menjadi pemangkin semangat untuk memberikan yang terbaik kepada penumpang.

Cabaran adalah faktor utama saya memilih kerjaya ini berbanding bidang-bidang yang lain. Saya akui bahawa setiap kerjaya memiliki cabarannya yang tersendiri tetapi bergelar seorang pramugara cabarannya adalah luar biasa.

Selain perlu melayan kerenah penumpang yang pebagai, ia menuntut kebijaksanaan saya untuk mengawal keadaan yang berlaku dalam pesawat terutama apabila berlakunya kecemasan. Setiap masalah yang berlaku perlu ditangani dengan bijaksana.

Bagaimana kerjaya ini memberi kepuasan kepada saudara?

Bertindak sebagai kru pesawat, saya perlu menitikberatkan aspek etika dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada para penumpang. Kepuasan itu timbul apabila saya berjaya memenuhi setiap permintaan mereka.

Walaupun kadangkala permintaan itu pelik namun saya cuba untuk menerangkan supaya mereka memahami dan ia menuntut kemahiran komunikasi interpersonal seseorang kru kabin.

Apabila penumpang tersenyum bahagia, saya juga berasa gembira seolah-olah mereka menghargai kerja keras saya yang cuba memberikan perkhidmatan terbaik.

Apakah pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan sepanjang bergelar pramugara?

Pengalaman yang sukar dilupakan adalah apabila terpaksa bermalam di Hong Kong oleh kerana faktor cuaca yang menganggu perjalanan pesawat.

Kabus yang terlalu tebal menyebabkan pesawat terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dan keadaan tetap tidak berubah walaupun tiga jam waktu berlalu.

Bagaimanapun, saya mengambil kesempatan itu untuk meneroka tempat-tempat menarik sekitar Hong Kong dan ia adalah pengalaman yang sangat berharga.

Apakah halangan yang saudara hadapi dalam melunaskan tanggungjawab sebagai pramugara?

Bergelar seorang pramugara menyebabkan saya terpaksa berjauhan dengan keluarga untuk satu tempoh yang lama. Kadangkala rasa rindu itu muncul tetapi saya tetap kuatkan semangat dan pulang ke pangkuan keluarga apabila tibanya waktu cuti.

Malah, kepuasan penumpang juga menjadi salah satu cabaran yang perlu ditempuhi. Prinsip kerjaya ini kepuasan penumpang menjadi keutamaan dan ia menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan penumpang berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

Bagaimana saudara membahagikan masa untuk menjalani rutin harian yang lain termasuklah aktiviti riadah dan bersama keluarga?

Perkara yang paling diutamakan sebagai seorang pramugara adalah menjaga masa dengan baik. Saya dilatih untuk memastikan masa diuruskan dengan bijak dan bersedia menghadapi setiap kemungkinan.

Jadual tugas diberikan sebulan awal dan ia tidak menjadi masalah kepada saya untuk menyusun atur perancangan bulanan termasuklah meluangkan masa dengan keluarga dan sahabat-handai.

Semuanya bergantung kepada kesibukan bulan tersebut dan saya menggunakan peluang yang ada untuk merehatkan minda sebelum kembali bertugas.