Bagi Ahmad Amiruddin Al-Hilmi Ahmad Faris, beliau ingin menghulurkan tangan kepada mereka yang memerlukan bantuan tidak kira kepada ahli keluarga, sahabat, jiran tetangga mahupun sesiapa sahaja.

“Bergelar seorang sukarelawan bukan semata-mata memberikan sumbangan harta dan masa kerana ia lebih daripada itu,” ujarnya.

Katanya, kerja sukarelawan yang dilakukan bersama Buku Jalanan Chow Kit (BJCK) terlalu kecil jika mahu dibandingkan dengan sahabatnya lain.

Ikuti temu bual Kosmo! dengan jejaka ini bagi mengetahui sejarah penglibatannya dengan aktiviti sukarelawan.

1. Boleh ceritakan mengenai latar belakang saudara?

Nama saya Ahmad Amiruddin Al-Hilmi Ahmad Faris namun lebih mesra dengan panggilan Amir. Saya dilahirkan pada Oktober 1992 di Selangor. Saya merupakan anak kedua daripada tujuh orang adik-beradik yang kesemuanya adalah lelaki.

Saya berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Matematik dari Universiti St. Andrews, Britain. Sekarang bertugas sebagai pengurus syarikat milik keluarga dalam industri asas tani.

2. Bagaimanakah sejarah penglibatan saudara dalam bidang sukarelawan?

Saya mula melibatkan diri dalam bidang ini semasa berada di Kolej Yayasan Saad, Melaka. Saya menyertai program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda dan salah satu komponen untuk mendapatkan anugerah tersebut adalah menjadi sukarelawan. Daripada situ saya banyak terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan sekitar negeri Melaka.

Saya mula terlibat dengan BJCK pada hujung tahun 2015 selepas pulang dari Britain. Saya lihat di Facebook mereka mencari sukarelawan untuk mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Matematik. Memandangkan ketika itu saya berkelapangan, maka saya mengambil keputusan untuk terlibat dengan kerja-kerja sukarelawan di Chow Kit, Kuala Lumpur.

3. Apakah sumbangan dan kerja sukarelawan yang telah saudara lakukan selama ini?

Jika bercakap mengenai sumbangan, tidaklah terlalu banyak dan besar. Namun apa yang saya ingat, semasa di Kolej Yayasan Saad, saya banyak membantu kerja-kerja kemasyarakatan berhampiran antaranya pembersihan tanah perkuburan. Selain itu, pembersihan pantai dan menjadi sukarelawan di zoo.

Di BJCK pula, saya kerap menjadi guru untuk mengajar subjek Matematik. Seronok sebenarnya mengajar kanak-kanak ini, banyak aktiviti yang dilakukan bersama mereka seperti melukis, mewarna, mengeja dan pelbagai aktiviti lain lagi.

4. Apakah pengalaman berharga yang tidak dapat dilupakan sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai sukarelawan?

Pengalaman berharga saya adalah melayan kerenah kanak-kanak. Bukan mudah sebenarnya memastikan mereka mempunyai disiplin asas untuk belajar seterusnya menyemai minat untuk terus berusaha.

Sejujurnya, kebanyakan kanak-kanak di Chow Kit memang mempunyai minat namun tiada kemudahan asas untuk bersekolah.

Kami mula mengajar di tepi Jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum berpindah ke jalan belakang dan akhirnya kini kami menyewa di sebuah unit rumah kedai di Jalan Haji Taib.

5. Apakah nasihat saudara kepada anak muda di luar sana yang ingin menceburkan diri dalam bidang sukarelawan?

Pertama, pembahagian masa amat penting. Oleh kerana ramai yang menjadikan aktiviti sukarelawan sebagai kerja sampingan, jangan abaikan kerja-kerja utama anda.

Kedua, jangan hanya hangat-hangat tahi ayam. Buatlah sesuatu seiring dengan semangat kita. Jangan hanya pandai bercakap tetapi tidak melakukan apa yang diperkatakan.

Terakhir, jangan menganggap aktiviti sukarelawan hanya membuat kerja gotong-royong. Seseorang yang memiliki kemahiran profesional seperti akauntan turut boleh menjadi tenaga kerja contohnya dengan membantu mengendalikan akaun organisasi kanak-kanak.