SELEPAS berjaya mengharungi peringkat kelayakan, Muhd. Haikal Nordin perlu menyiapkan kereta kawalan jauh miliknya untuk berlumba pada peringkat akhir bagi kategori Super Stock 13.5T.

Baru berusia 14 tahun, dia merupakan peserta termuda yang akan bersaing dengan 12 pelumba lain dalam kategori tertinggi perlumbaan tersebut.

“Walaupun saya paling muda, tetapi ini bukanlah perlumbaan pertama saya.

“Sebelum ini, saya telah banyak kali menyertai perlumbaan kereta kawalan jauh di merata tempat dan pernah muncul johan dan naib johan dalam pelbagai kategori.

“Cuma pada perlumbaan kali ini, pelumba yang berjaya masuk ke peringkat akhir rata-ratanya berpengalaman dan masing-masing mempunyai peluang untuk muncul juara,” katanya ketika ditemui pada pertandingan NEKA Fun Race 2017 yang berlangsung di Litar Kereta Kawalan Jauh Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada perlumbaan peringkat akhir kategori tersebut yang berlangsung kira-kira pukul 4 petang, impian remaja berkenaan untuk menaiki podium berkecai apabila kereta kawalan jauhnya mengalami masalah teknikal sehingga gagal menamatkan perlumbaan.

“Walaupun masa lima minit yang diberikan masih belum berakhir, tetapi saya terpaksa menarik diri kerana kereta saya mengalami kerosakan.

“Mungkin tiada rezeki saya pada kali ini,” ujar pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Klang Utama, Klang, Selangor itu yang ditemani bapanya, Nordin Bakri, 52, sepanjang perlumbaan itu berlangsung.

Walaupun tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa, namun Muhd. Haikal tetap gembira kerana mendapat ramai kenalan baharu yang meminati hobi yang sama.

Perlumbaan akhir tersebut dimenangi Azri Amri manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh Shahrin Shaikh Mohd. dan Micheal Lim.

Azri, 43, yang merupakan peserta berpengalaman dalam perlumbaan kereta kawalan jauh berkata, sukan tersebut sememangnya diminati oleh ramai golongan muda dan belia memandangkan ia sangat menyeronokkan.

Malah katanya, dia sendiri mula aktif dalam aktiviti tersebut sejak berusia 22 tahun walaupun ketika itu kereta kawalan jauh untuk tujuan perlumbaan masih belum banyak memasuki pasaran negara ini.

“Pada peringkat awal bermain kereta kawalan jauh 21 tahun lalu, saya seperti naik gila apabila hampir setiap hujung minggu saya pergi ke lokasi tertentu untuk bermain.

“Lama-kelamaan, saya mula memasuki perlumbaan untuk menguji kemahiran mengawalnya dan akhirnya, ia telah menjadi satu kerjaya buat saya,” katanya.

Juara Asia

Jelas Azri, sepanjang 21 tahun bergiat dalam sukan tersebut, dia telah memasuki lebih 50 kali perlumbaan peringkat antarabangsa dan tidak termasuk perlumbaan peringkat tempatan dan kategori fun race yang dianjurkan pelbagai pihak di seluruh negara.

Antaranya perlumbaan di Thailand, Hong Kong, Jepun dan China selain beberapa negara Asia lain.

Dia juga pernah muncul sebagai juara Asia dalam satu perlumbaan peringkat antarabangsa yang berlangsung di Sarawak pada tahun 2003 selain naib juara Asia dalam perlumbaan di Hong Kong pada 2009.

Di negara ini pula, dia pernah muncul sebagai juara keseluruhan sebanyak lima kali.

Kini, dia merupakan satu-satunya pelumba kereta kawalan jauh dari negara ini yang mendapat tajaan penuh daripada syarikat pengeluar alat permainan itu daripada jenama Xpress yang berpangkalan di Hong Kong.

Selain dibayar untuk menyertai pasukan Xpress, Amri juga mendapat set penuh kereta kawalan jauh jenama tersebut termasuk aksesori bagi menyertai perlumbaan di pelbagai peringkat.

“Walaupun bermain kereta kawalan jauh ini merupakan satu hobi kebanyakan golongan muda, tetapi jika ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh termasuk memiliki kemahiran yang tinggi dalam mengawal kereta, ia boleh menjadi satu kerjaya yang sangat menyeronokkan,” katanya.

Peluang

Dalam pada itu, penganjur perlumbaan, Muhammad Uzaini Bashah, 33, berkata, program tersebut yang dianjurkan oleh NEKA Racing Team (NRT) diadakan bagi memberi peluang kepada peminat kereta kawalan jauh untuk menunjukkan kemahiran dan bakat masing-masing.

Jelasnya, perlumbaan yang berlangsung selama sehari itu disertai kira-kira 80 pelumba yang datang dari seluruh negara.

“Kita tahu bahawa mereka yang bermain kereta kawalan jauh sama ada sebagai hobi atau secara serius semakin bertambah.

“Disebabkan tiada litar perlumbaan yang khusus, mereka akan menjadikan kawasan lapang untuk bermain sama ada bagi mengisi masa lapang mahupun meningkatkan kemahiran mengawal kereta kawalan jauh tersebut.

“Sebab itulah, kita menganjurkan pertandingan seperti ini bagi memberi peluang kepada peminat kereta kawalan jauh khususnya pemain baharu untuk menguji kemahiran mereka dalam perlumbaan yang sebenar,” katanya.

Seorang lagi wakil NRT, Mohamad Shukri Hashim, 33, pula menjelaskan, perlumbaan tersebut dibahagikan kepada empat kategori mengikut kelayakan dan kemahiran setiap peserta.

Jelas beliau, kategori Truck TT01 dikhaskan kepada pelumba yang ingin berlumba dengan trak kawalan jauh yang mempunyai bentuk badan sebuah trak, manakala kategori M Chasis pula dikhususkan bagi pelumba yang menggunakan kereta kawalan jauh bersaiz mini.

Perancangan

Dua lagi kategori yang dipertandingkan ialah Stock 13.5T Blinky selain Super Stock 13.5T yang mempunyai kuasa tambahan pada kereta kawalan jauh dengan kedua-dua kategori tersebut biasanya disertai pelumba lebih berpengalaman.

“Perlumbaan kali ini merupakan percubaan bagi pasukan NRT untuk menganjurkan pertandingan yang lebih besar pada masa hadapan.

“Kami telah merancang untuk menganjurkan siri Kejohanan Piala NEKA 2018 yang akan dilangsungkan di tiga lokasi berbeza di seluruh negara iaitu di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

“Kejohanan itu bakal memberi peluang yang lebih besar kepada peminat dan pelumba kereta kawalan jauh tempatan untuk bertemu dengan lebih ramai rakan yang meminati hobi sama selain menguji kehebatan mereka,” katanya.