Kira-kira lima minit selepas tiba di bangunan tiga tingkat itu, Presiden Airish London, Datuk Mohd. Aizuddin Ghazali muncul dengan berpakaian kemas rona hitam.

“Maaf kerana lewat sampai. Saya ada urusan yang tidak dapat dielakkan pagi tadi,” sapanya kepada penulis.

Ternyata, penampilan Aizuddin yang sangat kemas membuktikan beliau mempunyai aura sebagai seorang peneraju sebuah syarikat bertaraf antarabangsa. Produk kosmetiknya kini berjaya menembusi pasaran London, England dan Jakarta, Indonesia.

Sememangnya, anak muda kelahiran Ipoh, Perak yang baru berusia 35 tahun ini mempunyai banyak cerita yang boleh dikongsi untuk dijadikan pembakar semangat terutama bagi mereka yang ingin berjaya dalam bidang perniagaan.

Memulakan bicara mengenai latar belakang pendidikannya, Aizuddin memberitahu, beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan King Edward VII, Taiping, Perak.

Di peringkat sekolah menengah pula, dia pernah mengikuti persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan dan SMK Abdullah Munshi di George Town, Pulau Pinang selepas mengikut keluarganya berpindah ke dua negeri tersebut.

Setelah tamat persekolahan, Aizuddin melanjutkan pengajian di peringkat diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Merbok, Kedah di dalam bidang Pengurusan Maklumat pada tahun 2001.

Disebabkan ingin terus menimba ilmu, beliau kemudiannya mengambil keputusan meneruskan pengajian di peringkat sarjana muda dan sarjana dalam bidang sama di UiTM Shah Alam, Selangor.

“Jika bercakap soal kerjaya pula, saya sebenarnya telah mula menimba pengalaman bekerja sebaik selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan berkhidmat di sebuah restoran makanan segera sebagai pelayan.

“Malah, ketika menuntut di UiTM pun, saya mengambil peluang untuk bekerja secara sambilan di rangkaian restoran makanan segera ketika waktu cuti semester.

“Saya seronok bekerja di restoran seperti itu kerana ia sangat mencabar. Ia antara tempat terbaik untuk mengasah bakat dan keterampilan sewaktu berhadapan pelanggan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Kredibiliti

Jelas Aizuddin lagi, selain restoran makanan segera, dia juga pernah berkhidmat sebagai pegawai rekod di Universiti Limkokwing, Cyberjaya.

Katanya, dia mendapat tawaran pekerjaan tersebut ketika masih lagi berada dalam semester akhir pengajian peringkat sarjana muda di UiTM.

Pada tahun 2007, beliau ditawarkan pula kerjaya sebagai pegawai khas kepada bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan diberi tanggungjawab menjaga kebajikan Himpunan Siswazah Kelantan (Himsak) yang berada di seluruh institusi pengajian tinggi tempatan.

“Setahun selepas itu, saya ditawarkan jawatan sebagai penolong pendaftar di Jabatan Korporat di UiTM Shah Alam sebelum dilantik sebagai pegawai khas kepada Naib Canselor UiTM ketika itu, Prof. Emiritus Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar selama empat tahun sehingga 2012.

“Apa yang menariknya ialah saya merupakan individu pertama dalam kalangan bukan kakitangan akademik yang dilantik memegang jawatan tersebut yang lazimnya terdiri daripada para pensyarah,” katanya.

Disebabkan pengalamannya yang luas dalam pelbagai bidang kerjaya selain mempunyai kredibiliti sebagai seorang pemimpin, Aizuddin kemudiannya dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menerajui Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bermula tahun 2012.

Menerusi YDAB, beliau turut diberi mandat melaksanakan Program Jelajah Pendidikan Bumiputera menerusi program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) yang dilaksanakan dengan kerjasama UiTM.

“Program MDAB telah dilaksanakan di seluruh pelosok negara bermula tahun 2013 bertujuan memberikan peluang kepada pelajar bumiputera lepasan sekolah yang memperoleh keputusan kurang cemerlang untuk menyambung pengajian ke peringkat menara gading khususnya di UiTM dalam pelbagai bidang.

“Menerusi cara ini, tidak akan ada lagi pelajar bumiputera yang keciciran dalam mendapat peluang pendidikan peringkat tinggi, sekali gus melahirkan modal insan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, tetapi mampu menjadi teraju kepada pembangunan ekonomi, keluarga dan negara,” katanya.

Mengenai penglibatannya dalam bidang perniagaan pula, Aizuddin memberitahu, ia bermula pada tahun 2014 selepas isterinya, Datin Jannatul Iza Ahmad Kamal, 35, mengasaskan syarikat Airish Global Sdn. Bhd. sempena nama anak sulung mereka, Airish Qaireena.

Katanya, pada peringkat awal, beliau hanya menjalankan perniagaan tersebut secara suka suka, terutama bagi menyokong minat isterinya yang menggemari kosmetik dan penjagaan kecantikan wanita.

Cabaran

Namun jelasnya, selepas mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pengguna di negara ini, beliau kemudian mengambil keputusan untuk mengembangkan perniagaan ke negara jiran, Indonesia.

“Selepas membuka cawangan di Indonesia, saya menerima cabaran yang sangat hebat, malah boleh dikatakan percubaan saya itu gagal kerana pengguna di sana sukar untuk menerima produk kecantikan dari Malaysia.

“Justeru, saya mendapatkan khidmat nasihat dan pandangan daripada pelbagai pihak tentang kaedah yang sesuai bagi mengembangkan sayap perniagaan ke peringkat antarabangsa.

“Akhirnya, pada tahun 2016, saya berjaya membuka cawangan baharu di dua lokasi di London iaitu di Brick Lane dan Convert Garden. Setelah mendaftarkan nama syarikat dengan nama ‘Airish London’ barulah produk saya diterima di Indonesia,” katanya.

Atas usaha gigihnya membangunkan perniagaan tersebut, beliau telah terpilih sebagai penerima Anugerah Usahawan Bumiputera Berjaya pada Majlis Anugerah Usahawan Kebangsaan Cemerlang (Anugerah One) yang berlangsung di Kuala Lumpur bulan lalu.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di hadapan kira-kira 1,000 usahawan tempatan.

Pada tahun ini, Aizuddin turut merancang mengembangkan lagi perniagaannya dengan membuka dua cawangan baharu di Indonesia selain di Brunei, Singapura, Vietnam dan Filipina.