Namun, perkara itu tidak mustahil untuk dicapai sekiranya seseorang itu memiliki iltizam dan keyakinan yang tinggi terhadap apa yang dilakukannya.

Ia telah terbukti oleh seorang anak muda, Mohd. Faiz Mohd. Fauzi, 31, yang berjaya memiliki sebuah syarikat aiskrim berperisa dalam plastik berbentuk silinder atau lebih dikenali sebagai aiskrim Malaysia.

Syarikatnya, myFizRo. Enterprise (myFizRo) yang berpangkalan di Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur itu telah menjual sebanyak 500,000 batang aiskrim sejak ditubuhkan pada Ogos 2016.

Bermula meniaga daripada rumah, kini syarikatnya mengeluarkan lapan perisa utama iaitu Bandung Delight, Teh Tarik Cool, Melon Freezy, Mango Paradise, Guava Blast, Berry Purple, Kopi Candya dan paling diminati pelanggan ialah Choco Mable.

Mengimbau detik permulaan dalam bidang perniagaan, anak kelahiran Kedah itu berkata, beliau bermula hanya bermodalkan RM2,000 bersama rakannya kongsinya Mohammad Rosli Che Omar.

“Kami memikirkan perniagaan yang senang dijual, produk yang nostalgia dan modal rendah untuk kurangkan risiko.

“Kami jual pada masa itu hanya di perumahan-perumahan dan kedai-kedai runcit berdekatan Kajang, Cheras dan Kuala Lumpur.

“Tiga bulan pertama, kami hanya mampu menjual sebanyak 70 batang dalam satu bulan. Saya hampir berputus asa kerana jualan amat sikit,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu duduk diam dan mula memikirkan cara untuk mengembangkan perniagaannya.

Ini kerana beliau percaya aiskrim yang pernah popular sekitar tahun 1970-an dan 1980-an itu, masih mempunyai penggemarnya sehingga kini.

Menyedari peluang tersebut, graduan jurusan Sains Ukur dan Geomatik, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu bertindak menghadiri kelas yang ditawarkan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia untuk menambah ilmu pengetahuan.

Selepas setengah tahun menimba ilmu dengan pelbagai agensi dan rakan-rakan usahawan, kini jualan myFizRo mencecah 50,000 hingga 60,000 batang sebulan.

Ia dijual RM1 hingga RM1.50 sebatang bergantung kepada lokasi jualan.

Lebih menceriakan lagi, Mohd. Faiz pada 30 Oktober lalu dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan PUNB Biz Challenge 2018 di Mercu UEM, KL Sentral.

Pertandingan yang disertai oleh 184 orang usahawan muda itu memberi peluang kepada para usahawan muda untuk membentangkan pelan perniagaan masing-masing.

Cabaran

Pemenang dipilih berdasarkan fokus perniagaan, perkembangan dan inovasi.

Bercerita penglibatan awalnya dalam bidang keusahawanan, Mohd. Faiz berkata, beliau menempuh banyak cabaran.

“Untuk terjun ke bidang ini bukan keputusan yang mudah bagi saya. Pada awalnya memang dapat tentangan daripada ahli keluarga.

“Mana tidaknya, daripada bekerja di sektor minyak dan gas yang menawarkan gaji agak lumayan kepada penjual aiskrim, siapa tidak marah,” ujar anak ketiga daripada empat adik-beradik itu.

Jelas Mohd. Faiz, rasa cinta akan warisan makanan tradisional Malaysia itu merupakan tujuan utama beliau untuk komersialkan produk tersebut.

Baginya, aiskrim Malaysia tersebut sudah mempunyai jenama berpuluh-puluh tahun lalu tetapi kini telah dilupai.

Malah, generasi sekarang juga ada yang tidak tahu kewujudan aiskrim Malaysia, apatah lagi cara membukanya.

“Kekuatan saya untuk meneruskan penjualan produk ini adalah kerana pada tahun pertama menjualnya, ada segelintir rakan di Kuala Lumpur teruja apabila saya memperkenalkan aiskrim ini kepada mereka.

“Daripada situ, saya memasang impian untuk mempromosikan aiskrim ini. Sebelum ini, ia hanya boleh didapati di rumah-rumah kampung,” jelasnya.

Ibarat pepatah Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Begitulah gambaran usaha gigih Mohd. Faiz tanpa mengenal erti putus asa untuk melakar kejayaan.

Kini, myFizRo mempunyai 25 outlet di sekitar Negeri Sembilan, Melaka dan Lembah Klang yang menawarkan produk aiskrim Malaysia.

Orang ramai boleh mendapati produk aiskrim Malaysia tersebut sama ada melalui penghantaran terus ke rumah, pejabat, tempahan acara, ejen dan stokis.

Katanya, beliau merupakan usahawan pertama yang menawarkan peti aiskrim Malaysia di outlet-outlet perniagaan.

“Jika sebelum ini, kita boleh lihat jualan aiskrim Malaysia menumpang di peti-peti aiskrim seperti di stesen Petronas atau kedai runcit.

“MyFizRo memberi kelainan dengan menyediakan peti khas untuk meletakkan aiskrim Malaysia,” tuturnya.

Manual

Kaedah pembungkusan yang eksklusif dan penggunaan pati buah-buahan dalam penghasilan produk membuatkan aiskrim Malaysia myFizRo disukai ramai.

Aiskrim tersebut lebih gebu dan tahan sehingga 12 jam jika diletakkan dalam kotak polisterin.

Secara kasarnya, ramuan-ramuan tersebut akan dimasak terlebih dahulu dan dibiarkan sejuk selama dua jam sebelum proses pengisian ke dalam plastik.

“Semua pekerjaan setakat ini dibuat secara manual tanpa menggunakan mesin iaitu daripada memasak ramuan hingga pengisian.

“Walau bagaimanapun, cita-cita saya dalam lima tahun lagi myFizRo akan mempunyai kelengkapan yang secukupnya untuk meningkatkan unit pengeluaran ,” ujarnya yang mempunyai tujuh orang kakitangan.

Sementara itu, Mohammad Rosli turut menjelaskan, mereka kini dalam perancangan untuk membuka sebuah kilang aiskrim Malaysia di Balakong, Kajang.

“Sasaran kami adalah dapat menjual sebanyak 250,000 unit setiap bulan apabila kilang baharu itu beroperasi nanti.

“Selain itu, kami juga akan cuba kembangkan kepada 2,000 outlet dan memiliki 30 biji peti aiskrim,” ujarnya.

MyFizRo Enterprise mengkomersialkan semula aiskrim Malaysia menerusi pembungkusan, rasa baharu dan kaedah pemasaran terkini.