Amirul Imran yang mesra dipanggil Amirul ketika itu baru berusia 15 tahun. Dia berkelana seorang diri ke bumi bergolak di benua Afrika itu dengan niat mahu mendalami bahasa Arab bersama gurunya, Ibtisam Yassin Ali Taha atau lebih mesra dipanggil Abla.

Menurut Amirul, dia nekad mengikut Abla pulang ke kampung halamannya di Sudan selepas sekolah Arab persendirian tempat wanita itu mengajar di Madinah ditutup.

“Saya tiba di Sudan pada awal Jun 2013. Sebulan kemudian umat Islam mula menjalani ibadah puasa sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada tarikh 8 Ogos 2013. Itu kali pertama saya berpuasa dan meraikan lebaran di rantau orang.

“Suasananya jauh berbeza dengan sambutan di Malaysia. Bulan Ramadan merupakan musim paling panas di Sudan dengan suhu mencecah 45 darjah Celsius. Sesi persekolahan bermula seperti biasa pada pukul 8 pagi, namun tamat ll sekitar pukul 2 petang. Namun, pejabat-pejabat beroperasi seperti biasa.

“Apabila masuk waktu iftar, kaum wanita dan kanak-kanak akan berbuka di dalam rumah, manakala orang lelaki akan berbuka puasa di kawasan kejiranan. Rata-rata setiap masjid dan tepi jalan menyediakan juadah berbuka puasa. Ia umpama perayaan besar yang diraikan di seluruh kota Khartoum,” ujar Amirul mengimbau pengalaman di negara miskin itu ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Anak ketiga kepada pasangan pendakwah terkenal, Prof. Muhd. Kamil Ibrahim, 54, dan Raudzah Roslan, 51, itu memberitahu, menu yang disediakan untuk iftar ialah tamar, kopi Sudan, roti kering dan kacang pol.

Antara hidangan paling istimewa pada bulan Ramadan ialah aseedah iaitu sejenis puding tepung dan minuman teh tradisi Sudan yang dikenali sebagai Abre.

“Cara membuat aseedah sangat renyah. Mereka menggunakan sejenis tepung yang dibancuh air kemudian dimasak atas dapur. Apabila adunan menjadi kental, periuk diangkat. Adunan itu dikacau panas-panas dengan senduk kayu sehingga lembut menjadi doh yang tidak melekat di periuk.

“Ia kemudian dimakan dengan sup berkuah serbuk bendi. Mulanya saya tak lalu makan kerana kuah itu berlendir, tapi lama-lama tekak saya boleh menerimanya,” tutur Amirul sambil tersenyum.

Kebanyakan masjid penuh pada bulan Ramadan. Selepas berbuka, mereka menunaikan solat Maghrib berjemaah diikuti solat Isyak dan tarawih. Usai tarawih ada yang pulang ke rumah dan bersembang sambil minum kopi Sudan.

“Biasanya kami akan bersahur pada pukul 4 pagi. Abla akan kejutkan saya dan dia masakkan nasi Arab kosong tanpa lauk,” katanya.

Menjelang fajar 1 Syawal, hati Amirul terasa sebak kerana mengenangkan mama dan ayah yang menetap di Madinah pada masa itu serta sanak saudara di Malaysia.

“Aidilfitri di Sudan tidak semeriah di negara sendiri. Selepas solat raya, mereka makan seperti biasa termasuk roti kering dan kacang pol sebelum masuk bilik dan tidur semula. Tiada tradisi ziarah kaum keluarga, tiada festival makanan istimewa dan paling utama tiada duit raya.

“Cuma, Abla ada membuat sejenis biskut sebagai menu tambahan untuk saya. Selain itu tiada apa-apa yang istimewa. Disebabkan rindu dengan masakan tradisi pada pagi Syawal, saya pun rebus ketupat segera dan masak kuah kacang yang dikirim mama.

“Waktu itu, saya terkenang keenakan rendang, lemang, lontong dan sate. Rasa macam mahu terbang balik ke Malaysia,” ujar Amirul lagi sambil menyifatkan masyarakat Sudan lebih sukakan Hari Raya Aidiladha berbanding Hari Raya Aidilfitri.

Takbir raya

Amirul yang dilahirkan di Wales, Britain mengakui, turut terkejut apabila mendengar cara lantunan takbir raya orang Sudan.

“Waktu mula-mula mendengarnya, saya rasa pelik dan bosan. Takbirnya tiada alunan mendayu-dayu seperti di Malaysia yang membuatkan kita sayu apabila mendengarnya. Sebaliknya, ia dibaca secara mendatar dan tanpa irama.

“Namun, saya sedar setiap negara mempunyai budaya dan keunikan yang tersendiri. Itulah yang dapat saya pelajari sepanjang tiga tahun tinggal di Sudan dengan mengenali perbezaan setiap bangsa yang diciptakan Allah. Seperti kata mama, ‘persamaan utama antara umat Islam ialah mereka menghadap Tuhan Yang Satu. Itulah ikatan persaudaraan yang mampu merobek sempadan bangsa dan negara,” tegas Amirul.

Berbanding tahun pertama beraya di Sudan dalam keadaan serba sederhana, pada tahun kedua Amirul berpeluang meraikan Aidilfitri bersama warga Malaysia di Kompleks Petronas yang terletak di Khartoum. Dia dijemput oleh kenalan ayahnya, Aznan Yahya dan isterinya, Nik Aslinda Nik Husin bersama tiga anak pasangan itu, Aisy Mikhail, Myra dan Arasy Gabriel.

Di kompleks berkenaan, Amirul dapat menikmati pelbagai sajian tradisional rakyat Malaysia seperti sate, nasi impit kuah kacang dan sebagainya sekali gus mengubat kerinduan kepada kampung halaman.

Sepanjang tiga tahun menjadi ‘warga’ Sudan, Amirul turut menunjukkan minat memasak untuk Abla dan keluarga angkatnya itu. Seperti kata bidalan orang tua-tua, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, Amirul diibaratkan mewarisi kemahiran memasak yang dimiliki mamanya.

Mengulas mengenai perkara itu, Raudzah yang juga penulis popular tanah air berkata, ia satu kurniaan Allah buat Amirul.

“Anak tukang masak tidak semestinya menjadi tukang masak juga. Bagaimanapun, minat Amirul terhadap makanan memang sejak dari kecil. Dia sentiasa berselera. Tidak hairan orang melihat Amirul sebagai budak montel yang gemar makan.

“Setiap makanan baharu yang dinikmati, dia mempunyai naluri ingin tahu apa bahannya dan bagaimana dihasilkan. Ia bukan dibuat-buat. Malah, jika saya ke dapur sama ada di rumah sendiri atau kenduri-kendara, Amirul pasti akan menjenguk ke dapur. Paling tidak dia akan membantu memotong sayur serta meracik bawang.

“Alhamdulillah, kemahirannya itu membuatkan dia mampu berdikari apabila ditakdirkan Allah merantau ke negara orang pada usia yang masih muda. Walaupun pada awalnya, berat hati untuk saya lepaskan pemergiannya ke Sudan, tetapi saya yakin dengan ketentuan Ilahi buat Amirul,” kata Raudzah.

Tambah bekas pensyarah Universiti Taibah di Madinah itu, Amirul mempunyai semangat jati diri rakyat Malaysia yang sangat tinggi seperti datuknya, Roslan Daud, seorang bekas guru besar di mukim Jementah yang terletak di daerah Segamat, Johor.

“Sebagai anak Melayu beragama Islam, Amirul tidak pernah melupakan baju Melayu. Dalam pelbagai acara keraian, dia akan memakai baju Melayu berserta kain pelikat berselempang di bahu kanan.

“Baginya, jika orang Arab mempunyai jubah atau thoub, orang Sudan memakai jalabiya, maka orang Melayu harus berbangga dengan baju Melayu cekak musang atau teluk belanga,” luah ibu kesayangan Amirul ini.