Begitu juga dengan seorang guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Bangsar, Kuala Lumpur, Abdullah Abd. Kadir, 25, yang tidak pernah bersedih dan meratapi nasib setelah kehilangan tangan kanan akibat kemalangan.

Sebaliknya, dia sentiasa berlapang dada dengan nasib yang menimpa dan sesekali tidak melemahkan semangat untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang pendidik dalam kategori orang kurang upaya (OKU).

Ikuti temu bual Kosmo! bersama bagi mengetahui tentang perjuangannya menjadi seorang guru.

1. Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang saudara?

Saya berasal dari Pasir Mas, Kelantan dan merupakan anak kedua daripada lapan adik-beradik.

Saya memulakan pendidikan di Sekolah Kebangsaan Chicha Tinggi, Pasir Mas sebelum meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah, Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Kelantan.

Saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.

Kini, saya mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Bangsar, Kuala Lumpur.

2. Mengapa saudara meminati profesion perguruan?

Tujuan utama saya menjadi seorang guru ialah untuk mencari keredhaan Allah. Apabila kita melakukan sesuatu pekerjaan itu kerana Allah, nescaya Dia akan membimbing kita apabila ditimpa kesusahan.

Memang tidak dinafikan, sesiapa sahaja boleh menjadi guru. Bagi saya, guru bermaksud sesiapa sahaja yang mengajarkan kita walaupun sekecil-kecil cabang ilmu.

Apabila menjadi guru, saya akan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan bidang pendidikan.

Selain itu, jika terdapat apa-apa cadangan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara, suara gurulah yang akan diberi perhatian kerana mereka terlibat dalam bidang pendidikan.

3. Apakah kepuasan yang saudara peroleh menerusi profesion perguruan?

Saya berasa amat puas apabila murid-murid memahami segala yang diajar dan mengaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka.

Malah, saya juga berasa puas apabila dapat berkongsi ilmu alat bantu mengajar yang dihasilkan di laman sosial Facebook untuk digunakan oleh guru-guru Pendidikan Islam.

Selain itu, saya gunakan kemahiran teknologi yang dimiliki untuk menyiapkan banner, bunting dan poster setiap kali pihak sekolah menganjurkan program.

Apabila kita menyumbang sesuatu, ia memberikan rasa puas kerana matlamat hanya satu iaitu mengejar redha Ilahi.

4. Apakah cabaran yang saudara tempuhi sepanjang bergelar pendidik?

Saya mengajar Pendidikan Islam tahun satu. Sebenarnya, mengajar kanak-kanak tidak semudah yang disangkakan.

Mereka amat memerlukan perhatian dan sebagai seorang guru, kita perlu bijak memahami setiap karakter mereka.

Bagi saya, untuk memahami kesemua karakter murid-murid mengambil masa yang lama dan semuanya bergantung kepada kemahiran pemujukan serta mempelbagaikan teknik mengajar.

Selain itu, kecacatan tangan kanan ini sedikit sebanyak membataskan pergerakan saya tetapi ia bukanlah penghalang untuk terus menyumbang ilmu dalam bidang ini.

5. Apakah nasihat saudara kepada para guru dalam meningkatkan kemahiran mengajar?

Guru perlu memiliki iltizam tinggi untuk menguasai bidang teknologi maklumat dan komunikasi.

Justeru, pendidikan dan penghayatan ilmu perlu dimantapkan supaya kita kekal relevan dalam persaingan menuju negara maju.

Selain itu, guru juga perlu mereka bentuk dan membangunkan pengalaman pembelajaran serta pentaksiran era digital.

Guru perlu mampu mempamerkan cara bekerja dan mengajar era digital. Dalam situasi sama, guru juga perlu mempromosikan serta menjadi model masyarakat digital yang bertanggungjawab.