Namun, segalanya berubah apabila dia diminta untuk melakukan pengucapan awam dalam bahasa Inggeris ketika di tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Buloh (BBSB), Selangor.

“Pada masa itu, perasaan takut, gementar dan seperti nak pengsan semuanya ada. Tetapi, memandangkan itu adalah tugasan pelajaran, saya gagahkan juga.

“Alhamdulillah...semuanya berjalan lancar dan selepas itu, seorang guru datang berjumpa saya untuk menawarkan saya memasuki kelab debat kendaliannya.

“Itulah titik permulaan saya berubah menjadi seorang yang suka bercakap dan yakin untuk ke hadapan sehingga hari ini,” kata anak kelahiran Selangor itu ketika ditemui GenK baru-baru ini.

Sejak itu, anak kelima daripada enam orang adik-beradik itu merangkul pelbagai anugerah termasuk Tokoh SMK BBSB, Anugerah Suluh Budiman SMK BBSB, Anugerah Kokurikulum Terbaik dan Anugerah Kegigihan SMK BBSB.

Katanya, semua anugerah tersebut diperoleh setelah menyertai kelab debat tersebut selain dilatih menjadi seorang pemimpin.

Disiplin

Tidak berhenti di situ sahaja, bekas Ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, Matrikulasi Johor itu meneruskan semangat kepimpinannya apabila berpeluang melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) pada tahun 2014.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan itu juga memperoleh Anugerah Tokoh Siswa Wacana Intelek Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2018 di atas khidmat baktinya sepanjang pengajian di UM.

Bakal doktor itu mengakui, disiplin diterapkan ibu bapanya sejak kecil dan pencapaian adik-beradik lain yang menjadi pelajar terbaik sejak di bangku sekolah lagi merupakan antara faktor utama kejayaannya.

“Kejayaan itu hasil kerja keras ibu dan bapa yang sentiasa memberi sokongan moral sejak kecil. Mereka tidak putus-putus belajar bersama kami pada setiap malam sejak kecil untuk memastikan anaknya berjaya dalam pelajaran.

“Ibu dan ayah tidak pernah halang apa yang anak-anaknya suka dan sentiasa ada di belakang saya. Kalau diikutkan latar belakang kerjaya adik-beradik saya semuanya berlainan iaitu cef, penyanyi dan doktor,” tutur bekas Timbalan Naib Yang Dipertua (YDP) 1 Majlis Perwakilan Pelajar UM itu.

Menurut Abdul Kadir, penglibatannya dalam kokurikulum bermula di UM sewaktu minggu suai kenal apabila dipilih menjadi ketua pengarah pada salah satu program yang diuruskan oleh pelajar tahun satu.

“Program tersebut menaikkan nama saya apabila berjaya mencatat rekod kehadiran pengunjung paling ramai iaitu 1,000 orang sejak program itu diperkenalkan di UM.

“Apa yang saya buat adalah dengan menjemput Naib Canselor UM ke program kami dan sudah pasti ramai pensyarah serta pelajar datang.

“Saya hanya menggunakan pengalaman yang ada dan kerjasama rakan-rakan jawatankuasa program semasa itu,” ujarnya.

Menjejak kaki ke universiti, Abdul Kadir berkata, dia melihat bidang kokurikulum sangat luas bukan hanya sekadar akademik tetapi sukarelawan dan sukan.

“Menyertai kokurikulum atau berpersatuan banyak mengajar kita perkara baharu dan memberi pengalaman yang kita tidak pernah alami di kelas mahupun kehidupan seharian.

“Lagipun, aktiviti itu dapat mengasah skil kepimpinan dalam cara berkomunikasi, mengurus ahli jawatankuasa dan paling utama dapat membantu orang yang merupakan kepuasan dalam diri saya,” jelas bekas Presiden Majlis Pimpinan Kebangsaan Sahabat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia itu.Hampir lima tahun Abdul Kadir menjadi seorang penuntut di UM, dia telah menyertai pelbagai program termasuk di dalam dan luar negara.

Di peringkat antarabangsa termasuklah menjadi Duta Global, peserta terbaik program Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Taiwan, mewakili Malaysia pada Persidangan Perubatan Antarabangsa 2015 dan Kempen Kepimpinan Antarabangsa 2014.

Sumbangan

Sementara itu selaku pelajar perubatan, Abdul Kadir memberitahu, dia turut memberi sumbangan dalam memperkasakan Fakulti Perubatan UM apabila berjaya menganjurkan Persidangan MEDXUM 2018.

Sebagai pengasas MEDXUM di Malaysia dan UM, Abdul Kadir berkata,persidangan itu bagi memberi peluang kepada peserta mengetahui secara terperinci setiap pengkhususan yang ditawarkan oleh universiti dan mengenai Pegawai Perubatan Latihan Siswazah.

“Kami menjemput pakar perubatan terbaik di Malaysia bagi menjelaskan bidang masing-masing dan berkongsi pengalaman mereka.“Peserta juga diberi peluang berinteraksi dengan pakar kerana melalui sesi soal jawab mereka boleh mendapat penerangan lebih jelas mengenai prospek pengkhususan bidang perubatan yang diambil,” tutur Abdul Kadir yang juga Pengarah MEDXUM yang pertama itu.

Begitu pun, Abdul Kadir menyatakan, dalam setiap yang dilalui ada pelbagai cabaran yang harus didepani apatah lagi dia merupakan seorang pelajar perubatan.

Katanya, pelajar yang mahu mengejar cita-citanya harus bijak membahagikan masa akademik dan kokurikulum.

“Tidak kisahlah bagaimana nak berjaya tetapi kita kena tolong diri sendiri.

“Dalam erti kata lain, mesti kasihan kepada diri sendiri, tahu apa keupayaan diri kita dan kalau jatuh, bangun cepat-cepat.

“Saya selalu menjadikan kejayaan orang lain sebagai pemangkin semangat,” kata Abdul Kadir yang pernah dijemput sebagai Individu Khas Beramah Mesra dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2015.