Namun, Victory dilihat seperti enggan berundur apabila melancarkan model terbaharu Octane bagi tahun 2017 yang lebih garang tanpa meninggalkan ciri-ciri sebuah motosikal jenis kruiser.

Hadir dengan warna ‘Matte Super Steel Grey', jentera itu berjaya menampakkan sisi maskulinnya yang mampu mencuit perhatian orang ramai.

Victory Octane 2017 dilihat mampu memberikan saingan bagi penjualan motosikal dalam kelasnya bagi mencabar jualan jenama gah lain di negara ini.

Dari sisi reka bentuk jentera tersebut, jelas Octane berkonsepkan pencucuhan dan pembakaran untuk reka bentuk keseluruhannya.

Tona warna gelap berserta garisan ala Spartan berjaya menaikkan aura jentera itu dan mampu memukau sesiapa yang melihatnya selain menampakkan penunggang tampil lebih garang.

Octane juga tampil dengan berat 240 kilogram (kg) dan 7kg lebih ringan berbanding model Iron 883 keluaran Harley Davidson yang mempunyai berat mencapai 247kg.

Corak pengendalian jentera itu juga dilihat lebih berorientasikan penunggang ekoran keselesaan yang boleh dirasai ketika menunggang jentera berkenaan.

Selain menjanjikan pengalaman tunggangan yang lebih seronok, motosikal dengan enam kelajuan itu juga didatangkan dengan enjin V-Twin empat lejang dengan sejukan udara berkuasa tinggi.

Tampil dengan sesaran setinggi 1179cc, motosikal itu mampu untuk memberikan saingan kepada jentera lain yang berada dalam kelasnya.

Bercakap mengenai pengendaliannya pula, Octane memberikan penunggang satu kendalian yang baik disebabkan faktor kedudukan perehat kaki yang diposisikan berdekatan dengan kotak gear.

Pendikit Octane juga memaparkan respons yang baik dan menghasilkan daya pecutan yang menakjubkan walaupun melalui laluan yang berbukit.

Responsif gear untuk jentera itu pula nyata lebih pendek berbanding model keluaran Victory terdahulu ekoran sprocket berbeza di rantai lalu membuatkan pengendalian jentera itu lebih agresif.

Sistem breknya sama seperti model keluaran Victory terdahulu dan hanya berada pada tahap memadai.

Casis jentera itu pula dibina dengan gentian aluminium yang teguh menaikkan lagi imej Octane 2017 sebagai sebuah tunggangan seorang pria sejati.

Pelananya pula diposisikan dengan kemas menjanjikan tunggangan selesa selain memastikan penunggang berada pada kedudukan yang tetap.

Perkara itu baik untuk tunggangan singkat, namun akan menyukarkan penunggang jika menunggang terlalu lama.

Secara keseluruhan, jentera Octane 2017 cukup padu menjadi entri baharu dalam kelas kruiser yang berada di pasaran.

Difahamkan, motosikal itu akan dipasarkan dengan harga AS$10,499 (RM41,000) dan sebarang maklumat lanjut, pembaca boleh melayari laman web rasmi Victory di www.victorymotorcycles.com.

Jika anda inginkan pemanduan yang menyeronokkan, cepat dan santai, Octane 2017 merupakan pilihan yang tepat dan cukup bersesuaian untuk anda.