Sudah tentu, Honda menjadi antara jenama yang akan diberi perhatian oleh individu berkenaan kerana jenama itu tidak pernah gagal dalam membawakan SUV ke pasaran Malaysia.

Menerusi ruangan Pandu Uji minggu ini, penulis akan membantu pembaca dalam merungkaikan persoalan yang mungkin bermain dalam fikiran anda.

Apabila melihat Honda CR-V baharu buat kali pertama, penulis berasa agak puas hati dengan rupa SUV tersebut.

Penampilan jentera berkenaan kelihatan kemas dan moden. Ia juga boleh disifatkan sebagai garang. Khusus bagi peminat sebuah SUV, segala ciri yang didatangkan bagi versi kali ini mampu membuatkan anda tersenyum puas.

Penulis sukakan rekaan lampu hadapan jentera berkenaan. Lampu LED yang dipadankan dengan daytime running lights (DRL) ternyata berjaya menimbulkan efek garang kepada CR-V tersebut.

Begitu juga dengan gril hadapan dan rim aloi bersaiz 18 inci yang digunakan. Ia turut membantu dalam memberikan Honda CR-V baharu itu imej moden.

Honda CR-V 2.4 liter itu juga tidak kurang menarik di bahagian dalam. Sterengnya, papan pemukanya serta tuil gear jentera berkenaan kelihatan canggih.

Tempat duduk hadapan CR-V yang dibaluti dengan kulit juga begitu selesa untuk diduduki. Ruang penyimpanan barangan SUV itu juga agak besar iaitu 589 liter.

Namun, fokus ruangan ini bukanlah pada rupa semata-mata kerana sudah tentu ciri yang paling penting bagi sebuah kenderaan adalah prestasinya di jalan raya.

Seperti kereta moden yang lain, Honda CR-V boleh dihidupkan dengan menggunakan butang push start. Menariknya, enjin 2.4 liter i-VTEC yang dihidupkan menggunakan butang itu ternyata mesra alam kerana ia tidak menghasilkan bunyi yang terlalu kuat apabila SUV itu dalam keadaan pegun.

Dari segi respons enjin pula, ia tidaklah begitu mengecewakan. Enjin itu yang dipadankan dengan transmisi automatik lima kelajuan mampu menghasilkan kuasa pada kadar 190PS.

Bagaimanapun, penulis agak kecewa dengan respons yang dihasilkan enjin berkenaan apabila pedal minyak dipijak ketika mahu memintas kenderaan lain.

Biarpun CR-V mampu mencapai kelajuan tinggi, kuasa berkenaan tiba agak lewat dan penulis berasa seakan-akan perlu menunggu untuk ia menepati kehendak penulis.

Enjin jentera yang mesra alam ketika dihidupkan juga berubah karakter apabila ia menjerit sebaik sahaja pedal minyak dipijak bagi mendapatkan lebih kuasa.

Begitupun, Honda CR-V masih lagi mudah untuk dikawal biarpun kelajuan SUV itu mencapai 160 kilometer sejam (km/j) di jalan raya.

Selain itu, walaupun tubuhnya kelihatan besar, ia langsung tidak menjejaskan aspek kawalan ke atas jentera itu kerana sterengnya tidak berhadapan dengan sebarang masalah untuk dipulas pada kelajuan berkenaan.

Seperti kenderaan moden lain juga, Honda CR-V tidak ketinggalan dalam menyediakan ciri keselamatan yang jitu kepada penggunanya.

Antara ciri keselamatan yang didatangkan pada SUV itu ialah enam beg udara (bagi model 2.4 liter 4WD i-VTEC), Hill Start Assist, Vehicle Stability Assist selain Honda Lanewatch serta teknologi penyerap hentakan G-CON.

Sebanyak tiga varian yang ditawarkan kepada pengguna iaitu 2.0 liter 2WD i-VTEC yang dijual pada harga RM137,913.03, 2.0 liter 4WD i-VTEC (RM148,037.43) dan 2.4 liter 4WD i-VTEC (RM166,493.88).

Bagi penulis, SUV itu perlu diberikan perhatian oleh pengguna kerana harganya boleh dikatakan agak kompetitif di pasaran negara ini.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web www.honda.com.my.