Pameran yang dijadualkan berlangsung pada 13 Mei hingga 15 Mei di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur itu menawarkan harga menarik buat pengunjung bagi pelbagai jenis kereta dan motosikal berkuasa tinggi import terpakai dan jenama baharu.

Pengerusi Kelab Motosikal Persatuan Pengimport dan Peniaga Melayu Malaysia (Pekema) yang merupakan salah satu penaja pameran tersebut, Datuk SM Zulkifli SM Amin berkata, lebih 43 buah syarikat sudah mendaftar dan jumlah itu dijangka meningkat dari semasa ke semasa.

“Namun, keutamaan diberikan kepada peniaga terdekat bagi mengelakkan segala kesulitan berlaku semasa persiapan di tapak lokasi pameran.

“Pelbagai diskaun lumayan juga akan diberikan buat pengunjung sama ada peminat kereta, motosikal, ataupun aksesori automotif daripada pelbagai pilihan jenama,” katanya ketika ditemui Garaj baru-baru ini.

Selain berhasrat untuk menjadikan pameran itu satu acara tahunan yang terbaik, Zulkifli menjelaskan bahawa pameran itu dapat memperkukuhkan lagi industri automotif negara khususnya ke peringkat global.

Katanya lagi, Pekema juga komited untuk menyatukan pengimport, penjual, pengendali kenderaan tidak kira baharu atau terpakai yang tidak putus-putus menjalankan usaha-usaha yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

“Autofest Kuala Lumpur akan menjadi platform terbaik untuk meningkatkan kadar jualan kenderaan dan kami percaya ia dapat mengembalikan kemeriahan industri automotif di negara ini,” jelasnya.



SM Zulkifli (empat dari kanan) ditemani Nadia (empat dari kiri) bersama sebahagian tenaga kerja Autofest 2016 di The Podium By Daun, Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penganjur acara itu pula, Red Jacket Events Sdn. Bhd. (RJE) dilihat begitu komited dalam memastikan penganjuran tersebut memenuhi kehendak peminat automotif di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif RJE, Nadia Kadir memberitahu, pameran itu nanti akan sarat dengan pelbagai aktiviti menarik, antaranya persembahan hiburan, pertandingan automotif tercantik dan juga peluang memandu uji kenderaan yang diminati.

“Kami memilih untuk mengadakan pameran itu pada bulan Mei nanti kerana ia bersesuaian buat pengunjung ekoran skala jualan menunjukkan peningkatan memberangsangkan ketika tarikh berkenaan menghampiri musim perayaan.

“Pelbagai pilihan jenama automotif akan berada pada pameran itu nanti dan masuk adalah percuma,” katanya.

Nadia turut berkata, misi penganjur kali ini adalah untuk menjadikan pameran itu nanti menjadi acara yang disebut-sebut peminat automotif tanah air, sekali gus menjadikannya satu acara tahunan.

“Jika nak dibandingkan dengan negara-negara jiran, kita masih jauh ketinggalan dalam arena ini dan masih banyak lagi yang perlu dipelajari.

“Namun semuanya bermula dengan setapak langkah, jadi kita harus ke hadapan dan dalam masa sama, meningkatkan aktiviti negara, sekaligus menjadi peneraju industri seperti ini,” ujar Nadia.

Difahamkan, sebanyak 20 buah trak makanan juga akan disediakan pada pameran itu nanti serta beberapa persembahan daripada artis tanah air, antaranya Awie, Afdlin Shauki dan Bront Palarae.