ZHANG KAI, 41, merupakan seorang lelaki yang hidup dalam kemewahan.

Berasal dari Chengdu, China, pengurus kepada sebuah syarikat milik kerajaan negeri itu juga memiliki sebuah agensi pelancongan yang popular di China.

Kehidupannya cukup selesa dan dia tidak pernah mengalami masalah kewangan.

Begitu pun, hidupnya yang selesa itu mula berubah 13 tahun lalu apabila satu-satunya anjing peliharaannya mati.

Kematian haiwan kesayangannya itu membuatkan lelaki tersebut hidup dalam kesepian.

Zhang Kai mengakui hidupnya terasa kosong. Dia kemudian mula memberikan perhatian kepada anjing-anjing liar di sekitar Chengdu.

Pada mulanya, dia membawa pulang dua ekor anjing jalanan.

“Saya membela dua ekor anjing dan meletakkan mereka di agensi pelancongan milik saya.

260 ekor anjing

“Begitu pun, tanpa saya sedari, saya sudah pun membela lapan ekor anjing kerana cukup sayang dan mahukan nasib haiwan berkenaan terbela,” ceritanya seperti dipetik portal Oddity Central.

Zhang Kai kemudian menyelamatkan lebih banyak anjing terbiar dan kini sudah pun memiliki sebanyak 260 ekor anjing.

Siapa sangka, kecintaan Zhang terhadap anjing akhirnya menyebabkan lelaki berkaca mata itu dibebani hutang yang tinggi.

Biarpun memiliki gaji besar serta hidup mewah, dia terpaksa berhutang dalam jumlah besar untuk menyediakan makanan dan tempat tinggal yang selesa kepada haiwan-haiwan terbabit.

“Saya mula sedar membela lapan ekor anjing mengganggu perniagaan saya kerana ditempatkan di pejabat agensi pelancongan.

“Oleh itu, saya menyewa sebuah rumah di kawasan pedalaman Chengdu untuk membesarkan haiwan-haiwan tersebut,” jelasnya.

Begitu pun, bunyi bising dan salakan anjing-anjing itu mengganggu jiran-jiran di kawasan sekitar dan dia terpaksa memindahkan haiwan tersebut.

Hutang meningkat

Zhang Kai kemudian menyewa sebuah kilang terbiar terletak kira-kira 10 minit dari rumahnya dan menubuhkan sebuah pusat kebajikan haiwan iaitu Little Angel Animal Protection Center.

Jelasnya lagi, dia menghabiskan sekitar 20,000 yuan (RM12,041) untuk anjing-anjingnya setiap bulan.

“Saya membeli sekurang-kurangnya 40 kilogram makanan anjing setiap hari dan mengupah dua pekerja sebanyak 6,000 yuan (RM3,612) untuk menjaga haiwan berkenaan.

Pada awal tahun ini, Zhang Kai terpaksa membuat pinjaman sebanyak 200,000 yuan (RM120,412).

Pada mulanya, dia mahu membayar semula pinjaman tersebut dalam tempoh ditetapkan, namun kerana jumlah anjingnya semakin bertambah, hutangnya terus meningkat.

Dalam pada itu, ibunya, Huang Mingshu memberitahu, anaknya mungkin tidak sedar dibebani hutang apabila memilih untuk membela begitu banyak anjing terbiar.

“Saya dan suami sedar Zhang Kai suka membela anjing, namun kami tidak tahu jumlahnya begitu banyak sehingga dia terpaksa berhutang,” jelasnya.

Dalam hal ini, ibunya terpaksa meminjamkan wang pencen kepada Zhang Kai bagi membolehkannya meneruskan kehidupan.

Zhang Kai sebenarnya menyedari dia dibebani hutang yang ‘membukit’, namun enggan melepaskan kesemua anjing-anjingnya itu kerana terlalu sayangkan haiwan berkenaan.