Tidak hairanlah, dua ekor kucing kembar yang diberi nama Iriss dan Abyss itu digelar kucing paling cantik di dunia.

Lebih unik lagi, kedua-dua kucing itu memiliki mata yang sama iaitu mata kiri berwarna biru, manakala sebelah kanan pula berwarna kuning kehijau-hijauan.

Iriss dan Abyss memiliki akaun instagram sendiri iaitu @sis.twins yang sehingga kini memiliki lebih 200,000 pengikut.

Pemilik kucing itu, Pavel Dyagilev dari Rusia berkata, dia jatuh cinta pandang pertama sebaik sahaja terlihat kedua-dua ekor kucing itu dalam sebuah iklan online.

“Pemilik Iriss dan Abyss mahu menjual kedua-dua kucing ini dan mengiklankan mereka dalam sebuah laman web.

“Sebaik sahaja terpandang kecantikan kembar itu, saya terus jatuh hati dan mahu membeli mereka. Saya mahu menunjukkan betapa cantiknya mereka kepada dunia,” kata Dyagilev yang enggan mendedahkan harga kedua-dua ekor kucing tersebut.

Tambah jejaka kelahiran Saint Petersburg itu, kedua-dua kucing yang dipercayai daripada baka Angora atau Turkish Van tersebut memiliki warna mata yang berbeza yang juga dipanggil heterochromia eyes.

Ia merupakan satu keadaan yang menyebabkan mata haiwan berbeza warna akibat faktor genetik.

Ia juga boleh berlaku disebabkan kacukan dua baka kucing yang memiliki warna mata berbeza.

Keunikan yang ada pada pasangan kembar kucing itu menjadikan Dyagilev tertawan dan menganggap dirinya bertuah kerana dapat memiliki Iriss dan Abyss.

“Saya rasa cukup bertuah kerana memiliki dua ekor kucing unik dan cantik ini,” ujarnya seperti dipetik portal Oddity Central.

Kumpul pengikut

Dia kemudian mewujudkan akaun instagram kedua-dua kucing tersebut dan ia mula mengumpul pengikut dengan pantas.

Rata-rata netizen yang mengikuti perkembangan kedua-dua ekor kucing itu juga amat terpesona dengan kecantikan Iriss dan Abyss yang cukup luar biasa.

Biarpun kembar seiras, kedua-dua kucing tersebut memiliki personaliti yang cukup berbeza.

“Sama seperti manusia, kucing juga berbeza-beza personaliti,” jelas Dyagilev.

Iriss memiliki personaliti yang ceria dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja, manakala Abyss pulak lebih berlagak diva dan agak sukar didekati.

Begitu pun, kedua-dua kucing tersebut cukup gemar dan bijak memberikan pose terbaik saat gambar mereka dirakamkan.

Selain kedua-dua kucing itu, seekor lagi kucing berbulu putih dengan mata biru yang memukau turut menjadi sensasi internet dan digelar kucing tercantik dunia.

Corby the Cat yang sehingga kini telah memukau 1.4 juta pengikutnya di Instagram juga merupakan salah seekor kucing yang unik dengan mata biru jernih yang cukup cantik.

Begitu pun, Iriss dan Abyss lebih unik memandangkan mereka merupakan kembar seiras.

Ujar Dyagilev, tidak banyak kucing unik yang memiliki kembar dan seterusnya menjadi sensasi internet.

“Saya teruja dapat berkongsi kecantikan dua ekor kucing peliharaan ini kepada dunia,” tuturnya.

Iriss dan Abyss memiliki bulu putih bersih dan mata berbeza warna akibat heterokromia.