Wanita mana yang tidak cemburu apabila pemuda tersebut memiliki rambut yang ikal, sihat dan panjang dengan rona merah keemasan yang asli.

Kerana rambut panjang yang cantik itu, maka tidak hairanlah apabila Cristiano Braga telah digelar sebagai Rapunzel versi lelaki.

Seperti semua sedia maklum, Rapunzel adalah nama watak bagi cerita dongeng popular yang menceritakan tentang kisah seorang puteri yang memiliki rambut yang sangat panjang berwarna keemasan dan dikurung di atas sebuah menara selama bertahun-tahun.

Dek kerana memiliki rambut panjang yang sangat cantik, Braga tidak terlepas daripada hinaan dan diperlekehkan oleh segelintir pihak yang menuduhnya ingin mengubah dirinya menjadi seorang wanita.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut disangkal, malah Braga mengakui bahawa dia telah mempunyai seorang teman wanita, malah gadis itu bangga apabila memiliki teman lelaki berambut ikal dan panjang seperti Rapunzel.

Rutin penjagaan

Menurut Cristiano, dia hanya mengamalkan rutin penjagaan rambut secara tradisional dengan menggunakan sumber minyak semula jadi selain beberapa ekstrak tumbuhan lidah buaya, avokado, bunga camomile, pudina dan rosemary.

“Ramai wanita cemburu dengan kecantikan rambut saya dan telah mengugut untuk memotong rambut saya yang didakwa seperti penyapu,” kata Braga yang sering diajukan soalan sama ada rambutnya itu asli atau palsu.

Dakwa pemuda yang berasal dari Minas Gerais, Brazil itu lagi, dia sebenarnya tidak suka diberi perhatian oleh masyarakat ketika berjalan ke mana sahaja kerana orang ramai pasti akan meminta untuk memegang serta menarik rambutnya.

Braga memberitahu, dia mula menyimpan rambut secara suka-suka tanpa sebarang sebab dan menjaganya dengan baik sejak dari tahun 2012.

Oleh kerana mengamalkan rutin penjagaan rambut dengan baik telah menyebabkan rambutnya tumbuh dengan sihat dan bersinar-sinar seperti emas.

“Namun kecantikan rambut saya ini telah membuatkan ramai wanita berasa sakit hati dan cemburu,” ujarnya yang turut digelar John Lennon, Jared Leto, Axle Rose, Ariel, Merida dan Little Mermaid selain daripada Rapunzel.

Inspirasi

Pernah suatu hari, seorang wanita telah berlari untuk mendapatkan Braga semata-mata untuk memberitahu bahawa lelaki itu mempunyai rambut yang lebih cantik daripadanya.

Tidak terlepas daripada melalui pengalaman lucu, Braga turut berkongsi cerita apabila dia telah disalah anggap sebagai artis terkenal dan diminta untuk bergambar, selain memberikan tandatangan di buku.

Bahkan, Braga turut mendapati bahawa, selama ini orang ramai telah mengambil gambar rambutnya secara senyap-senyap dan telah beberapa kali melihat rambutnya dimuat turun dalam laman sosial.

Braga memberitahu bahawa rambutnya telah membuatkan dia berasa lebih yakin dan kuat untuk berhadapan dengan masyarakat. Malah, lelaki yang turut bergelar model itu ingin mencuba nasib untuk bergelar seorang pelakon suatu hari nanti.

Rambut panjang dan sihat yang dimiliki Braga turut membuatkan dia sering dijadikan sumber inspirasi kepada masyarakat terutama kepada mangsa buli untuk terus kuat melawan kritikan dan kata-kata jahat orang lain yang tidak suka melihat kita lebih daripadanya.