Riak gembira jelas terbayang pada wajah tuanya.

Ternyata, hasrat orang kelainan upaya yang menghidapi masalah pendengaran itu untuk membina sebatang jalan yang menghubungkan sebuah perkampungan di Hutan Fuling dengan bandar Chongqing, China membuahkan hasil apabila ia siap sepenuhnya penghujung tahun lalu.

“Saya mengambil masa lima tahun untuk membina jalan ini. Semuanya dilakukan dengan kudrat tulang empat kerat saya sendiri.

“Walaupun pada awal kerja-kerja pembinaan dijalankan, ramai yang mencemuh dan mengatakan bahawa tindakan ini menandakan saya sudah kurang siuman, tetapi siapa sangka ia akhirnya berjaya juga di­siapkan,” jelasnya.

Menurut Jiwen, dia memulakan misi membina jalan yang menghubungkan sebuah kawasan perkampungan di Hutan Fuling dengan bandar Chongqing sejak tahun 2012.

Biarpun tidak mempunyai kende­raan sendiri, namun lelaki tua itu sanggup berulang-alik membawa bahan binaan dengan menaiki sebuah bas ke kawasan tersebut.

Tidak cukup dengan itu, dia sanggup menggunakan wang sakunya sendiri untuk membeli kesemua bahan binaan yang diperlukan.

Disebabkan kekurangan dana, Jiwen mengambil inisiatif dengan menggunakan pasir sungai, batu-bata dari binaan bangunan lama yang telah dirobohkan bagi memastikan projek pembinaan jalan tersebut berjaya disiapkan.

Siapa sangka, usaha kerasnya itu ternyata berbaloi apabila dia berjaya menyiapkan sebatang jalan sepanjang kira-kira 400 meter untuk penduduk kampung tersebut dalam tempoh lima tahun.

Saliran air

Menurut Jiwen, dia mendapat inspirasi untuk membina jalan itu selepas melihat kesusahan penduduk kampung terutamanya kanak-kanak dan orang tua yang terpaksa meredah hutan untuk ke bandar.

“Apabila mendengar tentang sebuah kampung yang terletak di atas gunung terpencil, saya terus berazam untuk membantu mereka.

“Lebih-lebih lagi apabila menge­nangkan pengalaman kepayahan hidup di kampung suatu ketika dahulu. Biarpun telah lama berpindah di bandar, namun saya dapat merasakan kesusahan yang dialami oleh mereka.

“Disebabkan itu, saya berjanji pada diri untuk tetap membantu mereka walaupun menyedari kekurangan diri,” jelasnya.

Biarpun tidak mempunyai kelayakan dalam bidang pembinaan, namun itu tidak mematahkan semangat Jiwen untuk terus menabur bakti.

Jiwen bukan sahaja membina sebatang jalan, malah dia membina sebuah tempat berehat di sepanjang jalan tersebut bagi memboleh­kan golongan tua dan wanita me­ngandung untuk berehat apabila penat selain berlindung daripada hujan.

Ujar Jiwen, kejayaan membina jalan itu memberinya inspirasi baharu iaitu untuk membina saluran air yang sistematik buat penduduk kampung tersebut pada masa akan datang.

“Dahulu, saya sering dicemuh oleh masyarakat sekeliling. Bagaimanapun kini, perkara sebaliknya pula berlaku.

“Mereka tidak henti-henti me­ngucapkan terima kasih kerana membina sebatang jalan yang memudahkan urusan harian,” jelasnya.

Tulang retak

Cerita Jiwen lagi, membina sebatang jalan di atas gunung dengan kelengkapan dan tenaga kerja yang terhad ternyata bukannya satu tugas yang mudah.

Lebih-lebih lagi dengan keadaan fizikalnya yang serba kekurangan.

Akui lelaki itu, dia pernah me­ngalami kecederaan teruk apabila sebuah batu besar menghempap kaki kirinya ketika melakukan kerja-kerja pembinaan jalan itu.

“Ekoran daripada insiden tersebut, saya mengalami keretakan tulang dan terpaksa berehat dalam tempoh waktu yang panjang.

“Ketika saya ingin kembali meneruskan projek pembinaan tersebut, isteri saya mula menghalang. Ini kerana, pada waktu itu dia begitu bimbang akan keselamatan saya.

“Bagaimanapun, selepas dipujuk, dia mula membenarkan saya untuk meneruskan kembali kerja-kerja yang terbengkalai.

“Biarpun begitu, dia mengenakan syarat dan menyuruh saya agar menelefonnya setiap satu jam bagi memastikan semua­nya berada dalam keadaan baik,” jelasnya.

Usaha keras yang dilakukan oleh Jiwen dalam tempoh lima tahun itu menyebabkan dia kini popular di China, malah menyamakan warga emas itu dengan wira China, Huang Dafa yang menghabiskan 36 tahun untuk mengalirkan air dari tiga buah gunung ke sebuah perkampungan yang terletak di Guizhou.

Lelaki pekak ambil masa lima tahun bina jalan sepanjang 400 meter yang menghubungkan sebuah kampung di Hutan Fuling dengan bandar Chongqing bagi memudahkan urusan harian penduduk.