Majlis berkenaan telah dianjurkan baru-baru ini bersempena pameran dan jualan yang berlangsung sehingga 5 November lalu di ruang legar The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Pengarah Urusan Habib, Datuk Seri Meer Habib yang merasmikan majlis tersebut berkata, mereka menawarkan koleksi perkahwinan yang terbaharu bersempena musim perkahwinan, antaranya Koleksi 'H'.

Katanya, ia menampilkan padanan emas ros dan juga emas putih 18K bersama berlian yang merangkumi cincin tanda, tunang, kahwin dan juga set hantaran bagi memberikan sesuatu yang unik untuk bakal pengantin.

"Tidak kurang juga dengan koleksi indah daripada Hearts On Fire dengan koleksi couture terbaharu meliputi koleksi perkahwinan dan fesyen merangkumi pelbagai rekaan seperti loket, subang, cincin dan rantai tangan.

"Hearts On Fire menawarkan lima koleksi pereka seperti Koleksi Aerial, Lerelei, Illa dan Copley," katanya semasa berucap pada majlis perasmian tersebut di The Curve.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Pandora turut menampilkan rekaan terkini jenama tersebut yang menampilkan koleksi eksklusif musim sejuk dan Krismas 2017.

Menurutnya, koleksi tersebut boleh didapati di bilik pameran Pandora seluruh negara bermula 2 November lalu dengan harga bermula daripada RM119.

"Tidak ketinggalan, jam tangan mewah mampu milik dari Belgium iaitu Ice-Watch turut sama menampilkan tiga koleksi terbaharu mereka iaitu Ice-Mirror, Ice-Sparkling dan Piere Leclercq.

"Kesemua koleksi terbaharu itu boleh didapati di seluruh galeri Ice-Watch di seluruh negara bermula awal Disember depan," katanya.

Tambah Meer, pameran dan jualan Kumpulan Habib di The Curve turut menampilkan kelainan apabila orang ramai berpeluang menyertai peraduan Spend n' Spin yang menawarkan hadiah bernilai sehingga RM30,000 bagi setiap pusingan.

Hadiah yang ditawarkan merangkumi loket berlian dan rantai mutiara bernilai RM8,000 setiap satu.