Statusnya sebagai kuasa tentera paling kuat dan rizab emasnya memberi peluang kepada AS untuk membina semula sistem urus tadbir mata wang dunia pasca perang menerusi pengenalan sistem Bretton Woods, dinamakan sempena lokasi sidang kemuncak kewangan antarabangsa yang membawa kepada penubuhannya di Bretton Woods, New Hampshire pada Julai 1944.

Sistem piawai antarabangsa itu menyaksikan kebanyakan mata wang negara lain ditambat kepada dolar AS pada kadar tukaran tetap, manakala dolar dicagarkan dengan nilai AS$35 bagi satu auns emas sekali gus menjadi mata wang rizab dunia.

Namun, dalam tahun 1960-an, AS melakukan perbelanjaan tidak berhemat, didorong pelbagai faktor dan peristiwa khususnya pembiayaan perang menentang komunis seperti Perang Vietnam dan Korea. AS ketika itu tanpa emas mencukupi untuk menampung nilai dolar dan membayar hutang luarnya, situasi yang memaksa Presiden Richard Nixon membuat keputusan menamatkan tambatan dolar pada awal tahun 1970-an, menyaksikan berkuburnya sistem Bretton Woods.

Manfaat dolar petrol

Pada masa yang sama, AS juga perlu mencari mekanisme lain supaya dolar kekal mata wang rizab bagi meneruskan dominasi Washington sebagai kuasa tentera dan ekonomi dunia.

Dalam tahun 1972 hingga 1974, Nixon ‘memujuk’ Arab Saudi selaku pengeluar minyak nombor satu dunia dan kuasa dominan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) supaya hanya menjual minyak mentah menggunakan dolar AS.

Sebagai pertukaran, Washington menjanjikan jaminan keselamatan Arab Saudi khususnya institusi monarki daripada musuh Riyadh di Asia Barat selain membekalkan senjata paling canggih AS.

Langkah Arab Saudi itu diikuti oleh negara-negara OPEC lain, lantas wujudnya sistem yang dikenali hingga ke hari ini sebagai dolar petrol.

Minyak merupakan komoditi yang paling banyak diperdagangkan dan paling strategik di dunia.

Keperluan untuk menggunakan dolar bagi transaksi minyak mendorong negara-negara asing menyimpan mata wang dolar dalam jumlah yang banyak.

Contohnya, jika negara A mahu membeli minyak dari Arab Saudi, ia perlu membeli dolar terlebih dahulu melalui tukaran hadapan di New York sekali gus mewujudkan tuntutan dan pasaran buatan untuk dolar.

Sistem dolar petrol menambahkan kecairan mata wang AS ke tahap yang belum pernah disaksikan sebelum ini. AS pula mempunyai keistimewaan tidak perlu menggunakan mata wang asing untuk membeli importnya. Secara mudah, sistem dolar petrol membolehkan kerajaan dan rakyat negara kuasa besar itu berbelanja jauh di luar batas kemampuannya.

Sepanjang tempoh beberapa dekad, sistem dolar petrol dicabar sebanyak tiga kali. Dua daripada tentangan itu datang daripada diktator Iraq, Saddam Hussein dan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.

Saddam memilih untuk menggunakan mata wang euro bagi eksport minyak Iraq, manakala Gaddafi mahu urus niaga minyak dibuat menggunakan dinar emas.

Penentangan itu mengundang campur tangan tentera AS secara langsung di Iraq dan tidak langsung di Libya yang berakhir dengan kematian kedua-dua pemimpin tersebut.

Kebangkitan yuan

Pada 4 September 2017, China mengumumkan rancangan menubuhkan pasaran hadapan minyak berteraskan mata wang yuan dengan emas sebagai cagaran. Keputusan Beijing itu mengundang kemarahan AS yang disusuli pengumuman pelaksanaan tarif 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium oleh Washington.

Pasaran hadapan komoditi itu yang dilancarkan pada Mac lalu di Shanghai menyediakan alternatif kepada negara-negara pengeluar minyak untuk tidak lagi bergantung kepada sistem dolar petrol.

Langkah itu dianggap wajar berikutan China kini merupakan pengimport minyak terbesar dan pemain komoditi utama dunia. Jika dilihat daripada statusnya, Beijing sudah tentu mahu urus niaga minyak serta komoditi lain dibuat menggunakan yuan.

Malah, China telah mencapai persetujuan dengan lebih 100 negara dunia tahun lalu supaya urus niaga bilateral menggunakan denominasi yuan sekali gus menggugat dominasi dolar petrol.

Sekiranya sistem dolar petrol runtuh, sejumlah besar mata wang dolar akan terapung dalam pasaran antarabangsa tanpa pembeli. Keadaan itu boleh melumpuhkan ekonomi AS dan juga sekutu-sekutunya. Namun, situasi itu tidak akan berlaku dalam masa sehari dua, malah ada yang berpendapat China sebagai pengeksport terbesar AS juga tidak mahu perkara itu berlaku.

Namun, Beijing bersedia untuk berdepan cabaran tersebut dengan memiliki pegangan dominan dalam pasaran emas dunia.

Menurut pakar-pakar ekonomi, AS perlu lebih proaktif dalam perdagangan antarabangsa di samping menghapuskan defisit belanjawan besar yang berlaku saban tahun sekiranya mahu mengurangkan impak kejatuhan dolar petrol.

Namun, perkara sebaliknya dilakukan oleh pentadbiran Donald Trump termasuk mengamalkan dasar tertutup dan mementingkan ekonomi domestik di samping meningkat perbelanjaan dan siling hutang negara.