Angka kematian rasmi itu merupakan paparan pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun korban sebenar dipercayai jauh lebih tinggi.

Konflik berpanjangan itu juga menyebabkan berlakunya wabak taun paling buruk di dunia dengan jangkitan disyaki taun berjumlah 1,103,683 kes dan 2,385 kematian direkodkan di Yemen antara September 2016 hingga 12 Mac tahun ini, demikian lapor Forum PBB.

Umum mengetahui bahawa perang saudara di Yemen, negara termiskin di rantau Arab dan berkongsi sempadan sejauh 1,800 kilometer dengan Arab Saudi, melibatkan militia Houthi dan tentera pakatan disokong Riyadh.

Bagaimanapun, sebahagian penganalisis menganggap perkembangan konflik di Yemen membabitkan tiga pemain utama iaitu kerajaan dalam buangan pimpinan Abdul Rabbu Mansour Hadi, puak Houthi dan kumpulan militan Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) yang saling bermusuhan.

Peranan AQAP tidak mendapat liputan media begitu meluas berbanding pertempuran antara puak Houthi dan tentera disokong oleh Arab Saudi, namun kehadiran kumpulan militan tersebut ditakuti Amerika Syarikat.

Washington melancarkan lebih daripada 100 serangan dron di Yemen sejak tahun 2002, mengorbankan sekurang-kurangnya 900 pejuang AQAP termasuk salah seorang pemimpinnya, Anwar Al-Awlaki yang dianggap ‘orang paling berbahaya di dunia’ oleh Pentagon.

Negara Yemen dibentuk pada tahun 1990 di bawah pimpinan Allahyarham Presiden Ali Abdullah Saleh selepas perang berpanjangan antara dua entiti berasingan iaitu Yemen Utara dan Yemen Selatan. Yemen Utara pernah bernaung di bawah empayar Uthmaniyah dan merupakan tanah air puak Houthi, manakala Yemen Selatan adalah bekas koloni British sebelum menerima pengaruh bekas Kesatuan Soviet.

Sumber negara seperti minyak mentah berada di selatan Yemen tetapi kancah politik bertumpu di utara negara itu.

Negara yang majoriti rakyatnya penganut Sunnah itu tidak pernah mengecapi kestabilan berkekalan antaranya kerana Yemen dikuasai kabilah-kabilah yang kerap berperang sesama mereka.

Puak Houthi

Menurut blog politik Asia Barat, Middle East Post, puak Houthi merupakan anggota kumpulan pemberontak Yemen dikenali sebagai Ansar Allah. Kabilah berkenaan yang berjumlah sekitar 500,000 orang mengikuti ajaran Syiah Zaidiyah, manakala pengikut ajaran Zaidiyah merangkumi satu pertiga daripada hampir 30 juta rakyat Yemen. Puak Houthi juga mendakwa mereka adalah daripada keturunan Nabi Muhammad SAW.

Nama Houthi dikatakan diambil sempena Hussein Badr Al-Din Al-Houthi, pemimpin yang mengetuai kebangkitan pertama militia berkenaan pada 2004 kerana menuntut autonomi lebih besar untuk tanah air mereka di wilayah Saada dan menentang kezaliman pemerintahan diktator Ali Abdullah.

Selepas Hussein dibunuh oleh tentera Yemen pada akhir tahun yang sama, keluarganya mengetuai lima lagi pemberontakan sebelum satu gencatan senjata dimeterai oleh kedua-dua belah pihak pada tahun 2010.

Pada 2011, gelombang kebangkitan rakyat di Dunia Arab dikenali sebagai Arab Spring sampai ke Yemen. Penentangan puak Houthi terhadap Ali Abdullah mendapat sokongan rakyat negara itu.

Tekanan daripada rakyat memaksa Ali Abdullah berundur, manakala timbalannya, Abdul Rabbu memangku jawatan Presiden untuk mentadbir negara dan pada 2012, Abdul Rabbu menjadi Presiden Yemen selepas tidak ditentang dalam pilihan umum negara itu.

Pentadbiran pimpinan Abdul Rabbu diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa dan mendapat sokongan Arab Saudi, namun puak Houthi menolak pilihan raya tersebut kerana didakwa tidak telus.

Semasa pemerintahannya, sebuah badan penyatuan dikenali Sidang Dialog Nasional ditugaskan untuk membentuk sebuah perlembagaan baharu untuk Yemen tanpa mencapai sebarang kejayaan.

Kesabaran puak Houthi sampai ke penghujungnya pada Ogos 2014 selepas tuntutan reformasi mereka gagal dipenuhi. Menganggap Abdul Rabbu sengaja melengah-lengahkan pembaharuan dan tidak mahu berkongsi kuasa, pejuang-pejuang Houthi mengangkat senjata dan menyerbu istana Presiden di ibu kota Yemen, Sanaa.

Tahanan

Tentera Yemen ketika itu berpecah dengan sesetengahnya menyokong kerajaan, manakala sebahagian lagi setia kepada Ali Abdullah yang memihak kepada puak Houthi. Presiden Abdul Rabbu dikenakan tahanan dalam rumah, namun berjaya melepaskan diri dan lari ke bandar Aden di selatan Yemen sebelum pergi ke Arab Saudi untuk meminta bantuan Riyadh.

Militia Houthi kemudian meneruskan kemaraan mereka dan mengambil alih institusi-institusi kerajaan di Yemen. Puak berkenaan dikatakan mendapat sokongan dan bantuan senjata dari Iran sekali gus mengundang campur tangan Riyadh menerusi kempen serangan udara yang dilancarkan tentera pakatan diketuai Arab Saudi pada tahun 2015.

Pada tahun 2015, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain melancarkan kempen serangan udara bagi mematahkan kebangkitan puak Houthi. Yemen juga menjadi sasaran kepungan laut untuk menghalang senjata Iran sampai ke tangan militia Syiah tersebut. Kempen udara itu antara lain menyasarkan struktur dan bekalan tentera di Yemen.

Campur tangan Riyadh juga bertujuan untuk memastikan keselamatan di Selat Bab Al-Manda, laluan laut sempit menghubungkan Laut Merah dan Teluk Aden yang menjadi laluan kapal-kapal minyak dunia.

Kempen udara pakatan Riyadh itu turut memusnahkan bangunan awam seperti sekolah dan hospital serta lebih 250 bot nelayan Yemen.

Pengeboman berterusan dan sekatan laut mengakibatkan lebih lapan juta penduduk Yemen berdepan kebuluran, manakala 22 juta orang terpaksa bergantung kepada bantuan antarabangsa untuk meneruskan kehidupan.

Yemen bergantung kepada import maritim untuk lebih 80 peratus bekalan makanannya, pelabuhan utama Hodeidah pula perlu dibuka semula bagi membolehkan import dan bantuan disalurkan ke Yemen.

Perang saudara di Yemen, jika dibiarkan berlanjutan, akan mengakibatkan negara itu ditimpa nasib seperti Syria yang berada di ambang kehancuran, namun penyelesaian politik diketuai oleh PBB terus menemui jalan buntu.