Antaranya, beliau mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu dana pembelian buku untuk repositori Perpustakaan Negara Malaysia, perpustakaan negeri dan perpustakaan desa. Semakin mengecilnya dana pembelian buku tersebut akan memberikan cabaran yang besar kepada penerbit untuk menerbitkan lebih banyak buku yang berkualiti.

Pada masa yang sama, menurunnya jumlah pembeli secara tidak langsung memberi implikasi besar kepada penulis. Pada masa yang sama, keadaan ini juga memberi kesan kepada negara dalam aspek intelektual, pengetahuan dan tentunya juga ekonomi. 

Berdasarkan standard Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), antara kriteria sebuah negara maju ialah penerbitan buku mestilah pada kadar satu peratus untuk setiap sejuta penduduknya. Nisbahnya, jika Malaysia yang mempunyai kira-kira 32 juta (2017) penduduk perlu menerbitkan 32,000 naskhah buku setahun.

Namun, pernahkah kita bertanya, kenapa dana atau satu peruntukan khas untuk para penulis kreatif dan bukan kreatif tidak diwujudkan sedangkan mereka juga adalah karyawan yang sama-sama membina ketamadunan dan intelektualisme bangsa?

Berbeza dengan bidang perfileman, bidang penulisan agak ketinggalan dalam perolehan dana tertentu untuk penerbitan, promosi dan pemasaran. Pada tahun 2017, misalnya, bidang perfileman melalui Filem Nasional (Finas) mendapat peruntukan bantuan kerajaan sebanyak RM80 juta.

Kenapa tidak dibuat kebijaksanaan serupa untuk para penulis dan pengarang (terutama pengarang-pengarang kreatif) yang boleh disalurkan melalui Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) atau Persatuan Penulis Nasional (Pena)? Mungkin tambahan peruntukan tertentu melalui Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) atau Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
 

Efektif

Kos penerbitan sesebuah buku tidak sama dengan produksi sesebuah filem. Cukup RM100,000 atau mungkin kurang untuk sesebuah penerbitan. Oleh itu,  setidak-tidaknya perlu diwujudkan satu dana khas untuk para penulis kreatif untuk menerbit dan memasarkan karya-karya mereka.

Badan Bahasa dan Sastera Sabah yang menaungi penulis dan aktivis sastera di negeri itu boleh dijadikan contoh yang baik. Badan ini telah memperuntukkan RM3 juta untuk diagihkan kepada persatuan seni dan penulis di negeri itu seperti yang diumumkan dalam Bajet Sabah 2018.

Mungkin kerajaan-kerajaan negeri lain di Malaysia turut memperuntukkan sejumlah dana tertentu kepada persatuan-persatuan penulis negeri. Jika ada, ia merupakan satu galakan yang menarik bagi menyediakan dana untuk penerbitan dan pemasaran buku. Namun, jika diwujudkan di peringkat nasional, ia akan lebih efektif.  

Seperti kata Budiman, beberapa negara maju berjaya meletakkan industri perbukuan dan penerbitan sebagai salah satu komoditi eksport. Antaranya, Jepun yang berjaya mengeskport buku dalam pelbagai bidang seperti sastera, sains dan sebagainya melalui satu penyediaan dana khas terutama untuk penterjemahan, promosi dan pemasaran.

Industri perbukuan di Jepun pada tahun lalu telah menerbitkan lebih 50,000 tajuk buku dengan penerbitan sebanyak 1.4 bilion naskhah dan 2,500 tajuk majalah (lima bilion naskhah) oleh 4,500 penerbit. Sekitar 80 peratus adalah berpusat di Tokyo dengan menjana pendapatan negara bernilai 2.5 trilion yen (RM90 bilion) kepada ekonomi negara tersebut.

Korea Selatan pula telah mempertanggungjawab Institut Terjemahan Sastera Korea (KLTI) untuk menterjemah, menerbit dan mengeksport karya-karya sasteranya ke seluruh dunia. Langkah yang sama turut dilakukan oleh Taiwan melalui Taipei Economic and Cultural Office (TECO) yang mengorak langkah mengeksport intelektual rakyatnya.

Langkah yang diambil oleh kerajaan Jepun, Korea dan Taiwan tersebut mungkin hanyalah contoh-contoh mutakhir bagaimana peranan besar kerajaan dalam penyediaan dana atau peruntukan untuk kesejahteraan masyarakat, termasuk melibatkan bidang-bidang perbukuan serta pendidikan.

Jauh sebelum itu, terdapat seorang sarjana India bernama Chanakya (hidup antara tahun 371-283 SM) yang  sering digelar sebagai Niccolo Machiavelli dari India. Beliau adalah sarjana dan pemikir politik dan ekonomi, Universiti Takshashila pada era India kuno dan pernah dilantik sebagai Perdana Menteri kerajaan Mauryan yang dipimpin oleh Chandragupta Maurya.
 

Etika

Karya agung Chanakya ialah Arthashastra (Ilmu Mendapatkan Harta), sebuah karya yang membicarakan secara khusus tentang harta, sistem tukar barang (barter) dan pengurusan perniagaan. Tumpuan Arthashahstra ialah konsep pentadbiran perniagaan yang tersusun dan lengkap termasuk etika dalam bidang ekonomi yang relevan hingga ke hari ini.

Chanakya juga memberi tumpuan kepada isu-isu kesejahteraan seperti pengagihan kekayaan kepada golongan miskin dan etika kolektif yang dapat mengikat rasa kebersamaan masyarakat. Antara saranan penting beliau ialah mewujudkan tabung atau pusat pengumpulan harta untuk membantu golongan tersebut membina kehidupan yang lebih baik.

Beliau juga mengagihkan dana tersebut kepada penulisan, pendidikan dan intelektual di kerajaan Mauryan. Strategi tentang sebuah dana untuk membiayai sesuatu kegiatan dan kebajikan kemanusiaan tersebut kemudiannya berkembang dan diadaptasi oleh masyarakat Barat. 

Dasar-dasar ekonomi berkaitan dengan intelektual tersebut telah diadaptasi oleh masyarakat Eropah pada akhir Zaman Pertengahan dan era Pencerahan. Antaranya dalam bidang percukaian, kerajaan pada kedua-dua era tersebut mewajibkan para pedagang dan aktiviti ekonomi membayar cukai tabung khas yang diuruskan oleh gereja.