Sehingga kini, keris menjadi lambang kebesaran institusi kesultanan Melayu di negara ini. Keunikan keris bukan sahaja terserlah ketika ditampilkan dalam gerak jurus persilatan, malah ia bermula daripada pembuatannya yang teliti dan halus.

Abdul Mazin Abdul Jamil, 68, yang lebih dikenali sebagai Pak Mazin merupakan antara insan yang istimewa kerana beliau adalah generasi keempat yang mewarisi kemahiran menempa keris di Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak.

Ilmu pembuatan keris itu diwarisi daripada datuknya, Pandak Lam iaitu anak kepada tukang besi bagi keluarga diraja Perak di Kuala Kangsar satu ketika dahulu.

Berpengalaman selama 40 tahun menempa keris, Pak Mazin pernah diberi kepercayaan oleh Istana Negara untuk menghasilkan keris Hukum, salah satu daripada alat kebesaran istiadat pertabalan Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 2011.

“Untuk menghasilkan keris yang berkualiti, seseorang itu perlu mempunyai jiwa seni yang tersendiri,” kata Pak Mazin.