MOHAMMAD SHATAR
MOHAMMAD SHATAR

Perkara itu pernah dibangkitkan oleh Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa Dialog Peringkat Tinggi mengenai Migrasi dan Pembangunan Antarabangsa di New York pada tahun 2013.

Bagaimanapun, kebanjiran warga asing terutama berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI) bukan sahaja memberi kesan kepada masalah sosial bahkan ancaman keselamatan terhadap ekonomi negara.

Warga asing yang berstatus PATI bukan sahaja bekerja secara haram, malah tidak membayar levi dikenakan ke atas pekerja asing yang merupakan sebahagian daripada pendapatan kerajaan bagi disalurkan untuk pembangunan negara.

Data yang dikeluarkan Bank Dunia pada 2011 menunjukkan Malaysia berada dalam kedudukan 20 negara imigran teratas dengan jumlah 2.4 juta migran menghantar pulang kira-kira AS$6.8 bilion (RM26.27 bilion) ke negara masing-masing.

Jumlah kiriman wang yang dihantar balik oleh pekerja-pekerja asing ke negara asal dalam tempoh 2011 hingga 2015 pula mencecah RM119.6 bilion, yang mana ia mencatatkan pertambahan setiap tahun.

Bank Negara Malaysia (BNM) pula mendedahkan jumlah kiriman wang ke luar negara pada tahun lalu kekal tinggi iaitu pada RM35.3 bilion yang kebanyakannya dilakukan oleh pekerja asing.

Kawal

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kebanjiran PATI yang datang ke negara ini perlu dikawal bagi mengelakkan ‘kek ekonomi’ yang dinikmati rakyat ketika ini.

Beliau berkata, walaupun kiriman wang ke luar negara yang dilakukan oleh pekerja asing boleh menjejaskan nilai ringgit, tetapi sekurang-kurangnya kerajaan masih lagi memperoleh bayaran levi.

“Tidak dinafikan pekerja asing yang datang ke negara ini menyumbang kepada pembangunan negara kerana mereka melakukan kerja-kerja yang tidak mahu dilakukan orang Malaysia.

“Tetapi bagaimana dengan warga asing yang berstatus PATI? Mereka bukan sekadar bekerja, tetapi membina perniagaan sendiri yang sepatutnya dilakukan oleh orang tempatan,” katanya kepada Jurnal baru-baru ini.

RADUAN
RADUAN

Beliau menjelaskan, ketika ini sektor-sektor tertentu seperti kedai runcit, kontraktor perumahan dan aktiviti menjual karpet telah dikuasai oleh warga asing.

Jelas beliau, perkara itu tidak boleh dipersalahkan kepada warga asing tersebut kerana mereka datang ke negara ini untuk mencari rezeki untuk menyara kehidupan keluarga.

“Bagaimana mereka boleh memperoleh lesen perniagaan sedangkan ia milik orang tempatan. Jika kita sendiri yang memberikan peluang berniaga itu kepada orang luar, kenapa perlu salahkan mereka,” tegas Mohamad Shatar.

Tambah Mohamad Shatar, penguasaan warga asing dalam aktiviti perniagaan tertentu sekiranya tidak dikawal boleh mengakibatkan mereka mewujudkan jaringan niaga yang sukar dimasuki orang tempatan.

“Ketika ini kita boleh lihat aktiviti menjual kain dan karpet dikuasai oleh warga Pakistan dan Bangladesh. Jika mahu bekalan kita perlu melalui mereka untuk mendapatkan harga yang murah. Tidak mustahil kalau orang tempatan mahu ambil bekalan, ia akan dikenakan caj berbeza dan mahal.

“Begitu juga dengan kedai runcit. Jika orang Aceh dari Indonesia buka kedainya, kedai runcit milik orang tempatan akan gulung tikar dan terpaksa jual kepada mereka. Perkara ini berlaku disebabkan warga asing ini mempunyai jaringan perniagaan yang kuat,” katanya.

Upah

Sementara itu, menurut laporan BNM, dengan paras upah yang lebih menarik, tenaga kerja tempatan akan sanggup melakukan kerja yang dikategorikan di bawah sektor 3D iaitu kotor, berbahaya dan sukar.

Laporan bank pusat itu berkata, walaupun faktor budaya dan sifat kerja itu sendiri berperanan dalam menghalang penglibatan pekerja tempatan, namun keadaan upah tempatan juga boleh menjadi penyebab.

Artikel bertajuk Kesan Herotan Pekerja Asing Berkemahiran Rendah Terhadap Ekonomi yang disiarkan dalam Laporan Tahunan 2017 BNM menjelaskan terdapat kira-kira 200,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja dari Malaysia ke Singapura.

“Daripada jumlah 200,000 tersebut, didapati bahawa 40 peratus daripadanya bekerja dalam kategori pekerjaan berkemahiran sederhana dan rendah termasuk pekerjaan yang tidak diminati seperti operator dan pemasang jentera dan mesin, tukang cuci dan pekerja kasar.

“Dengan kata lain, melalui paras upah yang lebih menarik, tenaga kerja Malaysia sanggup membuat kerja-kerja 3D,” kata laporan itu yang ditulis oleh Ang Jian Wei, Athreya Murugasu dan Chai Yi Wei.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Raduan Che Rose berpendapat, kerajaan perlu bertegas mengenai polisi pengambilan pekerja asing bagi mengelakkan berlakunya lambakan tenaga kerja tersebut.

Beliau berkata, ketika ini kerajaan terlalu melayan kehendak industri yang sering mendakwa perniagaan mereka akan muflis sekiranya tidak memperoleh pekerja asing.

“Ketika ini tiada sebarang data yang tepat mengenai keperluan pekerja asing yang boleh digunakan untuk menilai jumlah sebenar pekerja yang diperlukan oleh sektor-sektor tertentu seperti perkilangan, perladangan atau perkhidmatan.

“Perlu ada kerangka yang lebih kemas untuk pekerja asing di negara ini. MPN bercadang mahu mengadakan satu perbincangan melibatkan pelbagai pihak bagi membincangkan masalah ini,” katanya.

Tambah Raduan, masalah pekerja asing ketika ini sangat serius kerana kedatangan mereka ke Malaysia bukan lagi untuk bekerja tetapi berniaga hingga menceroboh bidang perniagaan yang sepatutnya diusahakan orang tempatan. – MOHD. HAFIZI AHMAD