Utopia yang merujuk kepada ‘dunia’ dihuni masyarakat serba sempurna yang langsung tiada cacat cela. Penghuninya menjalani kehidupan penuh harmoni. Segala yang dilakukan di Utopia adalah demi kebajikan setiap ahli masyarakat di situ. Kononnya. Namun di sebalik segala kesempurnaan yang terserlah di Utopia, dikhuatiri di situlah terbenam sisi ngerinya.

Utopia seumpama itulah yang cuba direalisasikan di Tanah Besar China menjelang tahun 2020. Dua tahun sahaja lagi negara terbesar di dunia itu bakal mengaplikasi secara mandatori suatu teknologi dikenali sebagai Sistem Kredit Sosial atau dalam bahasa mudahnya, Skor Kredit Sosial (SCS) terhadap sejumlah 1.42 bilion rakyatnya yang akan diberikan skor bagi setiap seorang daripada mereka.

Pengecualian terhadap SCS bagaimanapun diberikan kepada dua wilayah miliknya iaitu Macau dan Hong Kong. 

Cip peribadi

Skor tersebut akan dimasukkan ke dalam cip peribadi atau big data (pangkalan data) warga China yang akan dijadikan rujukan dan seterusnya mempengaruhi kelayakan terhadap sejumlah manfaat termasuk jenis pekerjaan atau rawatan yang boleh diperoleh, malah merangkumi soal sekolah yang memenuhi syarat bagi anak-anak mereka.

Kemajuan teknologi canggih masa kini dimanfaatkan sepenuhnya pemerintah China untuk menilai rakyatnya dari segi kewangan, kepatuhan sosial, tanggungjawab dan kesopanan atau disiplin tingkah laku masing-masing. Ia bermatlamat supaya dapat membangunkan budaya ketelusan dan masyarakat sosialis yang harmoni.

SCS sebenarnya telah diperkenalkan sejak 14 Jun, 2014 menerusi draf yang dikemukakan Majlis Negara China bertajuk, Planning Outline for the Construction of a Social Credit System.

Justeru, semenjak itu, pemerintah China sudah melakukan percubaan atau ujian bagi menerapkan SCS termasuk memberikan lesen kepada lapan syarikat swasta agar dapat memanfaatkan sumber data yang dimiliki masing-masing.

Konglemerat terkemuka China, Alibaba Group menerusi anak syarikatnya, Ant Financial Services Group (AFSG), misalnya, telah menubuhkan syarikat SCS miliknya sendiri dikenali sebagai Sesame Credit. Begitu juga dengan syarikat gergasi Tencent yang menubuhkan China Rapid Finance.

Disenarai hitam

Baik China Rapid Finance mahupun Sesame Credit, kedua-duanya memiliki akses untuk mengumpul data termasuk menerusi aplikasi WeChat yang mempunyai sejumlah 850 juta pengguna aktif di China.

Pemerintah China bagaimanapun buat masa ini tidak mendedahkan secara terperinci tentang bagaimana sistem penilaian teknologi SCS beroperasi, namun menerusi Sesame Credit, misalnya, segala aktiviti malah setiap kali berlaku interaksi dalam kalangan warga China, ia akan dinilai dan mendapat poin kredit yang mana setiap seorang akan mendapat skor antara 350 dan 950 poin.

Langkah pertama penilaian yang dibuat ialah ia akan menelusuri riwayat perkreditan warga China, misalnya adakah mereka membayar bil telefon tepat pada waktunya dan seterusnya ini akan membawa kepada persoalan terhadap kemampuan memenuhi tuntutan kontrak yang telah ditandatangani masing-masing sebelum ini.

Penilaian terhadap persoalan karakter peribadi warga China juga boleh dilakukan, contohnya adakah mereka sudah melakukan verifikasi terhadap data peribadi masing-masing? Penilaian lain misalnya ialah tentang perilaku dan rujukan lampau hubungan interpersonal masing-masing. Penilaian ini seterusnya akan melihat kepada siapa pilihan teman di media sosial atau secara online warga China terbabit. 

Justeru, biarpun berada dalam sebuah utopia, impak daripada teknologi SCS tersebut akan membawa kepada mimpi ngeri buat warga China, sudah semestinya yang mempunyai poin kredit rendah. Ini kerana mereka mempunyai risiko disenarai hitam oleh pemerintah.

Laporan oleh wartawan Jennifer Pak menerusi marketplace.org memaparkan tentang seorang warga China yang ditemu bual pada 2016. Warga China itu, Xie Wen berkata, dia mengetahui dirinya telah disenarai hitam hasil penilaian SCS selepas permohonannya untuk membuat pinjaman bank ditolak. 

“Lebih mengejutkan ialah apabila saya cuba menempah tiket kapal terbang secara online tetapi telah disekat,” ujarnya.

Dalam kes Xie, syarikat pengiklanannya sebelum itu telah disaman firma lain sebelum dia diperintahkan membayar ganti rugi berjumlah AS$127,000 (RM508,000).

Namun akibat gagal melunaskan bayaran tersebut, nama Xie disenarai hitam dan antara ‘hukuman’ lain terhadapnya ialah dia disekat daripada mendaftar anak untuk mengikuti kelas tuisyen swasta.

Pengarah Teknologi Sesame Credit, Li Yingyun dalam kenyataannya mengakui di bawah teknologi SCS, setiap individu di China dapat dinilai berdasarkan transaksi perbankan, perbelanjaan online hingga kepada status di jejaring sosial masing-masing.
“Seseorang yang bermain gajet atau permainan video secara rutin beberapa jam sehari, misalnya, akan dianggap sebagai individu yang menganggur dan bukan seorang warga China yang positif, boleh dipercayai dan bertanggungjawab serta diyakini dapat membangunkan masa depan negara,” ujarnya.

Seorang blogger China, Rasul Majid pula bersetuju bahawa SCS adalah cara yang lebih baik untuk mengawasi warga negara itu.

Dilema etika

“Jika seseorang tahu sedang diawasi, maka dia akan sedar tentang hak dan kewajibannya sebagai warga negara yang bertanggungjawab,” katanya.

Ia kedengaran seperti sesuatu yang murni, tetapi teknologi tersebut sebaliknya tetap menimbulkan persoalan etika dalam hubungan antara manusia dan teknologi.

Pensyarah Kanan Jabatan Kenegaraan, Kepimpinan dan Ketamadunan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw berkata, teknologi SCS sememangnya meletakkan rakyat China berada dalam keadaan tertekan kerana apa sahaja yang dilakukan diawasi pemerintah. 

“Namun, sisi positifnya adalah ia akan menjadikan mereka warga negara yang baik dan bertanggungjawab. Bagaimanapun, ia agak rumit juga memandangkan teknologi SCS dilihat mampu meragut privasi hak asasi mereka sebagai individu yang menikmati kebebasan dalam kehidupan ini. Jadi, timbul dilema etika di situ,” ujarnya. 

Sehubungan itu, adakah SCS turut sesuai diaplikasikan di Malaysia? 

“Buat masa sekarang SCS belum sesuai diamalkan di Malaysia tetapi ada kemungkinan ia boleh diaplikasikan pada masa depan,” ujar Jessica.