Biarpun masih terkejut, bersedih dan cuba untuk menyesuaikan diri sebagai pembangkang namun kesinambungan perjuangan parti itu terutama untuk bangsa Melayu harus diteruskan.

Selepas pengunduran Najib, Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kemudiannya membuat pengumuman bagi membuka pertandingan semua jawatan penting dalam UMNO termasuk jawatan tertinggi parti berusia 72 tahun itu.

Mengikut sejarah, sejak tertubuhnya UMNO pada 11 Mei 1946 dengan Datuk Onn Jaafar sebagai pemimpin pertama, jawatan nombor satu dalam parti tersebut diwariskan daripada presiden kepada orang kepercayaan untuk meneruskan kesinambungan UMNO.

Transisi peralihan kuasa turut berlaku secara tertib apabila presiden melepaskan jawatan kepada penyandang baharu tanpa melibatkan pemilihan bagi memastikan kerukunan parti keramat itu terus terpelihara dan mengelakkan perpecahan.

Dicabar

Bagaimanapun, jawatan nombor satu itu pernah tiga kali dicabar. Kali pertama pada Mesyuarat Agung UMNO keenam (tahun 1951). Pada pemilihan tersebut, jawatan Presiden (dulu dikenali sebagai Yang Dipertua) yang disandang Tunku Abdul Rahman dicabar dua calon lain. Tunku bagaimanapun berjaya mempertahankan kedudukannya.

Kali kedua ialah pada Perhimpunan Agung UMNO ke-29 pada tahun 1978 apabila kedudukan Tun Hussein Onn dicabar Suleiman Palestin. Kedudukan Hussein bagaimanapun tidak goyah.

Dalam pemilihan UMNO pada tahun 1987, UMNO berpecah kepada dua kumpulan apabila Presiden UMNO kelima, Tun Dr. Mahathir Mohamad dicabar Tengku Razaleigh Hamzah.

Pada pemilihan tersebut, Mahathir menang tipis dengan mendapat 761 undi sementara Tengku Razaleigh mendapat 718 undi. Sejak itu, jawatan Presiden tidak dicabar sehinggalah pada pemilihan kali ini.

Uniknya kali ini, tujuh calon menawarkan diri untuk bertanding. Bagaimanapun, selepas melalui tapisan lima disahkan layak. Calon berkenaan ialah Zahid, Tengku Razaleigh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Mohamed Iqbal Maricair dan Mohd. Yusof Muda @ Jamaluddin.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Dr. Ummu Atiyah Ahmad Zakuan memberitahu, adalah penting untuk ahli-ahli UMNO mengangkat pemimpin yang benar-benar berwibawa untuk bagi memikul tugas berat dengan kedudukan UMNO yang sangat mencabar ketika ini.

Jelasnya, presiden baharu UMNO memegang amanah besar untuk memastikan kelangsungan parti tersebut yang kini menjadi pembangkang selepas berada di dalam kedudukan selesa sejak negara mencapai kemerdekaan.

Berintegriti

“Tugas presiden baharu UMNO sangat berat kerana diibaratkan perlu menyelamatkan kapal yang hampir karam di tengah laut. Beliau (presiden) perlu menunjukkan bahawa diri sendiri adalah layak, berpandangan jauh, berintegriti, berfikiran kontemporari serta berlainan daripada UMNO dahulu.

“Beliau juga perlu peka bukan sahaja dengan perubahan dalam parti tetapi dengan masyarakat umum. Perlu responsif,” katanya.

Katanya, untuk bangkit semula UMNO kena berbalik semula kepada perjuangan asas serta menambah baik untuk menyesuaikan dengan konteks sekarang selain ini merupakan waktu tepat untuk mengenali mereka yang benar-benar ikhlas dengan perjuangan parti.

Sementara itu menurut Ummu Atiyah, jawatan Presiden UMNO perlu dipertandingkan kerana parti itu perlukan pembaharuan.

“Sistem feudal yang UMNO amalkan dahulu tidak lagi relevan. Sekarang UMNO perlu pulihkan imej mereka untuk kekal relevan dan menarik balik kepercayaan pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

“UMNO juga perlu pulihkan integriti parti dan salah satu caranya adalah dengan membuat pemilihan. Ini prinsip asas demokrasi.

“Pemimpin dipilih oleh ahli-ahli sendiri. Dengan itu, representasi suara ahli dan juga rakyat boleh diterjemahkan dalam perjuangan parti,” katanya ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini.

Jelasnya, dengan mengadakan pemilihan seperti ini, ia secara tidak langsung memberi peluang sama rata kepada semua ahli yang merasakan diri mereka layak, boleh memimpin serta mendapat sokongan untuk menjadi presiden parti.

“Ia juga akan menjadi saluran untuk membolehkan pemimpin itu ‘dirakyatkan’ dan bukan lagi bersifat elitis. Ia juga dapat membuka bakat baharu serta mewujudkan pertandingan yang sihat,” katanya.

Menurutnya, pada masa akan datang, semua pemilihan jawatan di dalam UMNO perlu dilakukan secara terbuka sebagai jaminan setiap yang terpilih akan bekerja dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti kerana kedudukan tersebut bukan lagi kerusi selamat.

Katanya, keadaan tersebut akan menggalakkan budaya kerja lebih sihat, beretika dengan memegang kepada prinsip lebih bagus.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Junaidi Awang Besar memberitahu, pemimpin-pemimpin yang bertanding dalam pemilihan kali ini perlu memastikan kempen dilakukan secara berhemah tanpa membuat serangan peribadi.

“Dalam keadaan UMNO yang tidak begitu stabil ketika ini adalah penting untuk pemimpin-pemimpin bertanding memastikan keretakan tidak bertambah parah sebaliknya masing-masing cuba memenangi hati perwakilan yang akan mengundi mereka dengan idea serta kredibiliti,” katanya.

Jelasnya, pertandingan jawatan presiden UMNO adalah sesuatu yang positif tetapi ia harus berlangsung suasana harmoni sebuah keluarga yang besar bukan sahaja untuk menyatukan ahli-ahlinya tetapi memenangi semula hati pengundi.