Ketika parti itu ditubuhkan pada 11 Mei 1946, tokoh yang menjadi Presiden parti itu, mula-mula Datuk Onn Jaafar dan kemudian Tunku Abdul Rahman Putra, berjuang mengetuai gerakan orang Melayu itu di luar kerajaan selama sembilan tahun. Datuk Onn menjadi Presiden dari tahun 1946 hingga 1951. Tunku Abdul Rahman menggantikannya pada Ogos 1951 dan mula memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu hingga tahun 1955.

Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari tahun 1955 dan apabila Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Tunku Abdul Rahman dilantik menjadi Perdana Menteri.  

Presiden UMNO selepas Tunku Abdul Rahman, iaitu Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak, semuanya merupakan pemimpin parti itu yang menjawat jawatan sebagai ketua kerajaan Persekutuan.

Najib yang mengambil tanggungjawab atas kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018 meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO pada 12 Mei lalu.

Ketika Tun Mahathir, yang pada 10 Julai ini akan berusia 93 tahun, mencipta sejarah dengan kembali berkuasa sebagai Perdana Menteri melalui parti berbeza yang misinya adalah menentang UMNO, tokoh-tokoh
UMNO yang kini bersaing untuk merebut jawatan menggantikan Najib sebagai Presiden parti itu berdepan cabaran paling sukar dalam memimpin parti tersebut.

Tiga calon utama yang sedang berentap hebat untuk menjadi Presiden UMNO ialah Pemangku Presiden UMNO yang merupakan Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Zahid berusia 65 tahun, Khairy berumur 42 tahun manakala pemimpin yang pernah menjadi musuh ketat Tun Mahathir pada tahun 1980-an dan 1990-an, Tengku Razaleigh sudah pun menjangkau umur 81 tahun.

Karakter
Ketiga-tiganya ada kekuatan peribadi masing-masing dan kelemahan-kelemahan tersendiri.Karakter kepimpinan mereka sedang dianalisis oleh ahli-ahli UMNO dalam tempoh seminggu akan datang sehingga hari pengundian pada 30 Jun ini.

Dalam UMNO sekarang, wujud situasi seumpama ungkapan dibuang mati emak, ditelan mati ayah. Ertinya, keputusan sukar perlu dibuat oleh ahli-ahli UMNO pada minggu depan.

Zahid terkenal sebagai pemimpin yang setia, mesra akar umbi dan Islamik, Khairy menjanjikan usianya yang muda sebagai pemimpin masa depan, manakala Tengku Razaleigh terkenal sebagai tokoh berpengalaman yang dekat dengan budaya politik sederhana Melayu. 

Sesiapa pun yang menang pada pemilihan itu, mereka kemungkinan besar hanya menjadi Presiden pada zaman peralihan UMNO, pada era parti itu menjadi pembangkang selepas PRU-14. Dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hanya akan diadakan pada tahun 2023,  Tengku Razaleigh akan berusia 86 tahun pada waktu itu, Zahid berumur 70 tahun dan Khairy menginjak usia 47 tahun.

UMNO dan BN tahu betapa sukarnya untuk parti itu kembali berkuasa di negeri Kelantan yang hilang ke tangan Pas pada tahun 1990. Walaupun telah berjuang selama 28 tahun, Pas bertambah kuat di Kelantan pada PRU-14, ketika UMNO dan BN tiba-tiba hilang kuasa baru-baru ini. Begitu juga dengan senario politik di negeri Selangor dan Pulau Pinang.

Dengan landskap politik seperti ini, pemilihan UMNO pada 30 Jun ini perlu dinilai dengan realistik. Para pemimpin yang menang harus menyedari bahawa mereka perlu membina semula UMNO daripada keruntuhan yang berlaku, menyusun parti itu sebaik-baiknya, mengembalikan UMNO sebagai pergerakan politik Melayu yang berjiwa Malaysia serta menjadikannya sebuah wadah politik yang berkesan, diyakini, dapat dipercayai
dan dihormati oleh masyarakat berbilang kaum.

Dalam erti kata lain, UMNO perlu menyiapkan parti itu untuk menjadi pembangkang, mungkin pembangkang terbaik dalam sejarah Malaysia.

Kalau mereka yang bertanding jawatan Presiden merasakan hadiah terhebat penglibatan mereka dalam politik nanti adalah dengan membawa UMNO kembali berkuasa dan kedudukan mereka sebagai Presiden UMNO kelak diikuti dengan keupayaan meraih puncak kuasa di Putrajaya, mereka pada saat ini mungkin bermimpi pada siang hari.

Pun begitu, kita juga menyedari bahawa politik sering dikatakan adalah seni kemungkinan. Dalam politik, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Seorang Presiden UMNO yang baharu mungkin tidak perlu menunggu lima tahun untuk kembali berkuasa. Macam-macam boleh terjadi dalam percaturan politik, tetapi seperti yang masyarakat Melayu dulu-dulu sering ungkapkan, burung yang terbang jangan dipipiskan lada.

Impian politik tanpa cita-cita yang diselangi kerja keras adalah umpama kereta tanpa petrol. Ia tidak akan bergerak. Parti politik tanpa para penyokong setia yang berdisiplin dan sanggup berkorban pula tidak akan pergi jauh.

Jadi ketika ahli-ahli UMNO memilih Presiden baharu parti itu dan barisan pucuk pimpinan Majlis Tertinggi, Pemuda, Wanita, Puteri dan kepimpinan bahagian pada 30 Jun ini, mereka perlu ingat bahawa adalah mustahil untuk memilih seorang Presiden yang sempurna serba-serbi dari segi politik.

Manusia seumpama itu tidak wujud dalam UMNO, atau dalam mana-mana parti politik lain di dunia. Sedarilah tentang kekuatan calon-calon Presiden itu, dan berjuang bersama Presiden baharu UMNO itu sambil menutup kelemahan-kelemahannya, jika ada. Ia perlu dilakukan kerana perjuangan UMNO kali ini, destinasinya jauh sekali.