Tindakan Tunku Ismail itu dipercayai susulan skuad Harimau Malaya mengalami kejatuhan ranking ke-178 dalam Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bulan ini iaitu jatuh tiga anak tangga berbanding kedudukan 175 Januari lepas dan ia merupakan rekod terburuk dalam sejarah bola sepak negara.

Selepas status itu disiarkan 15 Mac lalu, pelbagai reaksi bercampur-baur sama ada ia serius atau sebaliknya memandangkan Tunku Ismail tidak memberi sebarang kenyataan rasmi mahupun reaksi mengenai isu tersebut.

Petikan mencuri tumpuan dalam kenyataan baginda adalah “Baru-baru ini ranking pasukan kebangsaan telah jatuh tiga anak tangga dan ini merupakan satu kegagalan yang amat besar! Oleh itu, saya rasa Presiden FAM harus letak jawatan.”

Sejak itu, bertalu-talu pendapat serta kenyataan dilontarkan oleh pelbagai pihak termasuk menteri, pemimpin-pemimpin persatuan bola sepak serta para pemain bahkan peminat yang mahu Tunku Ismail menarik balik hasrat baginda meletakkan jawatan.

Ini kerana usaha serta rangka tindakan (blueprint) yang dilaksanakan oleh Tunku Ismail terhadap pembangunan bola sepak negara mula menunjukkan hasil antaranya kejayaan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara yang layak ke suku akhir Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di China Januari lalu.

Kejayaan skuad B-23 Malaysia itu dilihat mampu menjadi contoh buat skuad B-16 yang bakal beraksi pada Kejuaraan AFC B-16 di Kuala Lumpur selain skuad B-19 kebangsaan yang akan bertandang ke Indonesia bagi mengharungi Kejuaraan AFC B-19 Oktober depan.

Tunku Ismail turut berjaya menarik tajaan bernilai RM100 juta selama 10 tahun menerusi penglibatan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dan penyedia perkhidmatan televisyen internet, Iflix.

Langkah bernas itu secara tidak langsung membolehkan persatuan serta kelab bola sepak yang bersaing pada Liga Malaysia (Liga M) mendapat suntikan dana RM10 juta setahun untuk penstrukturan pasukan serta pembangunan belia tanpa bergantung dengan kewangan kerajaan negeri selain mengelak budaya rasuah dalam sukan bola sepak negara.

Tunku Ismail yang juga Pengerusi FMLLP turut berusaha keras dalam memastikan FMLLP memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama La Liga Sepanyol sebagai usaha meningkatkan kualiti Liga M.

Menerusi perjanjian persefahaman itu, La Liga akan membuka jalan kepada pemain liga Sepanyol untuk bermain di Malaysia serta mengatur perlawanan antara pasukan La Liga menjalani aksi pramusim di negara ini.

Ahad ini, genap setahun Tunku Ismail menjadi Presiden FAM sejak dipilih pada Kongres FAM ke-53 di Kuala Lumpur pada 25 Mac tahun lalu dan ramai pihak mahu melihat baginda kekal lebih lama memimpin badan induk bola sepak negara tersebut.

Ini kerana Tunku Ismail telah membuktikan bahawa usaha baginda membuahkan hasil apabila berjaya menjenamakan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi kelab Liga M paling berjaya dalam sejarah selepas meraih pelbagai piala termasuk di peringkat Asia sejak menerajui skuad Harimau Selatan pada 2013.

Kredebiliti Tunku Ismail tidak perlu dipertikaikan dan baginda merupakan calon paling tepat untuk mengubah nasib Harimau Selatan kembali digeruni di pentas antarabangsa.

Justeru, bersuaralah Tunku Ismail dan teruskan usaha memartabatkan sukan bola sepak Malaysia.