Persoalannya, bagaimana asal usul Malaysia tercipta? Berdasarkan catatan sejarah, ia bukan ilham Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman seperti yang disangka oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Arkib Malaysia juga secara asasnya tidak mempunyai dokumen rasmi yang menyatakan siapa individu yang mereka nama Malaysia. Bagaimanapun, terdapat pelbagai andaian dan teori yang dizahirkan seperti yang tercatat dalam beberapa penulisan seperti buku, rencana mahu pun peta.

Sebagai contoh, dalam sebuah rencana berjudul Sur:Es Iles Du Grand Ocean (On The Island of The Great Ocean) yang diterbitkan dalam Bulletin De La Societe de Geographie pada tahun 1832 yang ditulis oleh penjelajah Perancis, Dumont d’Urville.

Urville mencadangkan agar Lautan Pasifik Selatan dinamakan Oceania yang dibahagikan kepada empat bahagian iaitu Polynesia, Melanesia, Micronesia dan Malaisie. Perkataan Malaisie kemudian ditukar kepada Malaysia oleh seorang ahli geografi Amerika Syarikat, Thomas G. Bradford (1835).

Satu lagi sumber ialah sebuah peta yang dilakar oleh Alexander Keith Johnston pada tahun 1845 yang diberi tajuk South Eastern Peninsula and Malaysia.

Kaum Melayu

Johnston berkata, Malaysia sebenarnya merangkumi Semenanjung Melayu dan Kepulauan Melayu (termasuk Sumatera, Tanah Jawa, Tanah Melayu, Pulau Pinang, Singapura, Kemboja, Siam, Burma, Brunei dan Filipina). Ujar beliau, Malaysia juga merujuk kaum Melayu mempunyai kuasa dominan pada ketika itu dan peneroka pertama di Tanah Melayu.

Selain itu, nama Malaysia turut disebut dalam buku bertajuk Malaysia: A Study in Direct and Indirect Rule (1937) hasil tulisan Rupert Emerson dan The People of Malaysia (1945), tulisan Fay Cooper Cole. Berdasarkan dua buah buku itu, Malaysia ialah Kepulauan Melayu (Malay Archipelago) yang meliputi Tanah Melayu, Hindia Timur, Borneo termasuk Filipina.

Duit syiling aluminium pada zaman pendudukan Jepun (1942) juga menjadi pendebatan tentang asal usul nama Malaysia. Syiling 20 sen itu difahamkan dikeluarkan pada tahun 1942. (Namun tertulis 2602, merujuk kepada kalendar Jepun).

Seperti yang ditulis oleh seorang penyelidik dalam buku bertajuk The Japanese Occupation Of Malaya (Singapore), Kementerian Kewangan di Jepun mengesahkan bahawa nama Malaysia pada duit syiling itu mewakili nama umum penduduk Malaya pada masa itu.

Semasa penjajahan, Jepun dikatakan mengiktiraf Melayu sebagai pribumi.

Bagaimanapun, terdapat satu penulisan yang telah mengutarakan plot teori yang sangat menarik dan berpatutan untuk dibincangkan.

Penulis yang tidak menyatakan namanya berkata, lazimnya, nama-nama utama di dunia akan berakhir dengan perkataan land (bahasa Inggeris), tan (bahasa Parsi) dan ia (bahasa Latin). Tiga perkataan berbeza itu, semuanya bermaksud tanah.

Antaranya ialah Scotland (tanah bangsa Scott), England, Thailand, Iceland, Pakistan (tanah suci), Afganistan, Kazakhstan, Algeria (tanah bangsa Algiers), Rusia, India dan Columbia.

Nama Malaysia pula ialah gabungan Malays dan ia. Daripada hujah tersebut, barangkali andaian itu ada logiknya kerana Malays-ia bermakna Land Of Malays (tanah bangsa Melayu).

Catatan perjalanan

Bilakah nama Malaysia secara rasminya digunakan? Adakah selepas merdeka atau sebelum? Pada tahun 2009, seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara Sabah, Prof. Madya Mat Zin Mat Kib telah memperbetulkan kenyataan Arkib Negeri Sabah.

Mat Zin berkata, penggunaan nama Malaysia telah mula digunakan sejak tahun 1889 bukannya pada tahun 1929 seperti yang direkodkan oleh Arkib Negeri Sabah. Kenyataan itu adalah bersandarkan sebuah artikel dalam akhbar The British North Borneo Herald bertarikh 1 Januari 1889.

Artikel yang bertajuk Geographical Notes in Malaysia and Asia yang ditulis J.E Tenison Woods memberi maklumat ringkas mengenai catatan perjalanannya ke Semenanjung Tanah Melayu, Labuan, Brunei, Sandakan dan Sulu pada tahun 1883 hingga 1886.

Penemuan itu, ujar Mat Zin telah membuktikan nama Malaysia digunakan lebih awal daripada tarikh kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.

“Ia turut menunjukkan (nama Malaysia) telah digunakan secara meluas oleh orientalis Barat bagi merujuk kawasan Semenanjung Tanah Melayu,” katanya.

 Sekiranya kajian Mat Zin diiktiraf, ini menunjukkan nama Malaysia telah digunakan sejak 129 tahun lalu!