Suhu politik negara telah bertahun-tahun dihangatkan dengan pelbagai isu yang dimainkan oleh kerajaan dan parti-parti pembangkang. Kini saat yang dinanti-nantikan telah tiba untuk menyerahkan kepada rakyat menentukan masa depan negara ini melalui peti-peti undi.

Kerajaan Barian Nasional (BN) sekarang asalnya dirintis daripada kerjasama parti-parti UMNO, MCA dan MIC menerusi gabungan Perikatan yang  telah memerintah Malaysia sambung-menyambung sejak merdeka pada tahun 1957. BN kini lebih besar dengan kehadiran 13 buah parti komponen.

Selepas 61 tahun, BN berhadapan dengan cabaran demokrasi paling getir yang bakal menentukan nasib 32 juta rakyat Malaysia. Najib menawarkan kepada rakyat suatu rekod pencapaian politik dan sosioekonomi yang sukar dibandingkan. Beliau berdepan dengan pelbagai onak duri dan bukan sedikit tohmahan dilemparkan sejak memimpin BN memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada bulan Mei 2013.

BN memperoleh kemenangan majoriti mudah dalam PRU-13 yang menyaksikan BN memenangi 133 kerusi daripada 222 kerusi Dewan Rakyat dan 47.36 peratus undi popular. Selebihnya 89 kerusi dimenangi oleh gabungan informal Pakatan Rakyat diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperoleh 50.87 peratus undi popular.   

Begitu banyak pergolakan politik berlaku di Malaysia dalam tempoh lima tahun lalu daripada Anwar masuk penjara pada Februari 2015 hingga kepada pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri pada bulan Julai tahun yang sama.

Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun, Tun Mahathir Mohamad yang merupakan bekas Presiden UMNO dan Pengerusi BN muncul sebagai pengkritik Najib yang paling lantang, dan kini pada usia hampir 93 tahun, beliau pula mengetuai gabungan pakatan pembangkang menentang Najib dan BN menjelang PRU-14.

Najib mempunyai kekuatan sebagai Perdana Menteri dan beliau memiliki kelebihan selaku penyandang jawatan. Melalui PRU-14, beliau meminta mandat baharu pemerintahan daripada lebih 14.9 juta pengundi untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih hebat.

Percaturan politik menjelang PRU-14 sebenarnya diwarnai perancangan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baru-baru ini telah pun diluluskan oleh Dewan Rakyat, diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agung dan diwartakan.

Najib dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 menyifatkan PRU-14 sebagai Bapa Segala Pilihan Raya. Dalam pilihan raya itu, landskap komunikasi politik telah berubah, khususnya dengan berleluasa penggunaan media sosial. Najib sendiri mengakui pada tahun lalu bahawa Perang Siber menentukan kemampuan BN untuk menang dalam pilihan raya itu.

Istilah-istilah seperti Big Data, iaitu maklumat-maklumat berdasarkan kecenderungan dan digital footprint di alam siber, kini menjadi alat politik baharu yang bakal mencorakkan pengundian dan bentuk strategi kempen parti-parti politik. Dalam tempoh sebulan akan datang, sementara menunggu hari mengundi PRU-14 ditentukan oleh SPR, kecenderungan semua orang sedang diperhatikan dan menjadi maklumat yang amat dicari-cari oleh ahli-ahli politik.