Daripada satu sudut, kita harus bersyukur kerana proses pengambilalihan tampuk pimpinan kerajaan daripada BN kepada PH dilihat berjalan dengan sangat licin tanpa ada sebarang ganggu-gugat mana-mana pihak.

Walaupun wujud beberapa isu yang menimbulkan sedikit perdebatan dalam kalangan pemimpin blok parti pemerintah dan pembangkang terutama pada peringkat awal PH mengambil alih kerajaan, tetapi ia dilihat tidaklah keterlaluan, malah sekarang ia sudah mula pudar.

Namun, kini timbul satu isu yang dirasakan mampu mencabar kredibiliti kerajaan PH selain boleh mengakibatkan kepercayaan rakyat yang diberikan kepada mereka sehingga berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan mula terhakis, iaitu berkaitan janji 100 hari PH.

Menerusi manifesto PRU-14 dengan tema Membina Negara, Memenuhi Harapan yang dibentangkan PH, terdapat 10 janji atau tawaran yang diberikan kepada rakyat.

Antaranya ialah menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST), memperkenalkan subsidi petrol bersasar, menghapuskan hutang peneroka Felda, skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk golongan suri rumah dan menyamaratakan gaji minimum.

Janji-janji lain ialah menangguhkan bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi peminjam bergaji RM4,000 ke bawah, mengembalikan status Sabah dan Sarawak, skim peduli sihat serta mengkaji semula projek-projek mega.

Satu lagi janji yang terkandung dalam manifesto PH dan dilihat menjadi keutamaan mereka ialah menyiasat skandal melibatkan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Walaupun secara dasarnya, kesemua janji tersebut sepatutnya sudah ditunaikan atau setidak-tidaknya sedang dalam proses pelaksanaan, namun apa yang berlaku ketika ini adalah sebaliknya.

Ini kerana daripada 10 janji yang ditawarkan itu, sebahagian sahaja yang telah ditunaikan termasuk sedang dalam proses pelaksanaan, manakala selebihnya tidak dapat dilaksanakan atas sebab-sebab tertentu.

Persoalan

Antara yang telah dilaksanakan termasuklah penyiasatan berkaitan skandal 1MDB seawal PH memerintah negara, selain menurunkan kadar GST kepada sifar peratus dan diganti dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelaksanaan skim caruman KWSP kepada suri rumah yang dikenali sebagai i-Suri.

Janji lain yang turut berjaya dilaksanakan ialah penangguhan bayaran PTPTN bagi peminjam berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan dan pelarasan subsidi petrol.

Persoalannya, bagaimana pula dengan sebahagian lagi janji PH yang terkandung dalam janji 100 hari dan bilakah akan terlaksana sedangkan 100 hari yang dijanjikan itu sudah pun tamat pada hari ini?

Melihat kepada prestasi terkini kerajaan PH dalam menunaikan janji-janji tersebut, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan blok parti kerajaan tersebut hanya boleh diberikan gred D ekoran kegagalan menunaikan manifesto mereka.

Malah, beliau turut menempelak jawatankuasa penggubal manifesto PH dengan menganggap pihak berkenaan perlu bertanggungjawab atas kegagalan pakatan itu mengenal pasti tawaran yang terbaik dan dapat dilaksanakan untuk menawan hati para pengundi.

“Komitmen yang dibuat sepatutnya ada pada jawatankuasa penggubal manifesto kerana ia perlu dibuat secara rapi dan teliti.

“Apabila mereka gagal, bermakna jawatankuasa ini gagal membuat kajian dengan teliti sebelum mengemukakan kepada rakyat termasuklah soal hutang sebab perkara ini bukan sulit,” katanya.

Namun, bagi pihak kerajaan PH, kegagalan mereka menunaikan kesemua 10 janji dalam tempoh yang ditetapkan itu telah disandarkan kepada alasan masalah kewangan negara yang tidak mengizinkan.

“Walaupun ingin me­laksanakan semua janji 100 hari itu, namun kerajaan juga mempunyai tanggungjawab fiskal dan tidak akan mengulangi kesilapan kerajaan dahulu dengan menyebabkan masalah kewangan yang tentunya akan membawa negara ke arah muflis jika tidak dibendung.

“Kerajaan akan terus komited untuk memenuhi janji-janji ma­nifesto apabila keadaan kewa­ngan mengizinkan,” kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu sidang media di kementerian itu pada Jun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada Khamis pula menegaskan kerajaan PH tidak akan meminta maaf kepada rakyat di atas kegagalan tersebut sambil menyifatkan kesemua janji dalam manifesto tersebut sedang dalam proses pelaksanaan.

Walau apa juga pandangan dan jawapan yang diberikan oleh mereka-mereka yang berkepentingan, namun sebagai seorang rakyat yang telah mengundi dalam memilih kerajaan pada PRU-14 yang lalu, seharusnya kitalah yang membuat penilaian terhadap apa yang berlaku pada ketika ini.

Berfikirlah secara rasional tentang segala perkara sebelum menterjemahkannya dalam pilihan raya yang akan datang.