Namun, kelainan kempen pilihan raya kali ini sudah tentu dari segi penggunaan teknologi moden yang belum pernah dicuba pada PRU-13.

Paling menarik sudah tentu kaedah kempen PRU-14 yang dilancarkan BN baru-baru ini menampilkan aplikasi berita digital ‘Hebatkan Negaraku’ yang dikatakan merupakan pertama seumpamanya di dunia.

Aplikasi yang dilengkapi teknologi augmented reality (AR), hibrid dan hologram itu membolehkan rakyat Malaysia kini sebagai contohnya boleh menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berdiri di depan mereka, malah di dalam rumah masing-masing.

Ia direalisasikan menerusi teknologi hologram yang menayangkan imej holografik Najib di atas trak khas sebelum berbicara dengan pengundi ‘secara langsung’. 

Ini bermakna beliau boleh muncul pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Ia direalisasikan menerusi ciri AR dalam aplikasi tersebut yang membolehkan poster Najib atau calon Parlimen BN yang lain muncul dalam bentuk tiga dimensi (3D) menerusi telefon pintar pengguna dan berbicara dengan orang ramai.

Teknologi hibrid akan menampakkan visual Najib atau calon BN lain seolah-olah berada di depan mereka.

Teknologi AR dan hibrid dalam aplikasi tersebut boleh digunakan pada semua papan iklan dan poster yang memaparkan wajah 222 calon Parlimen BN dengan liputannya melangkau ke seluruh negara.

Aplikasi tersebut boleh dimuat turun menerusi Google Store bagi pengguna Android dan Apps Store bagi yang menggunakan IOS.

Kaedah penggunaannya cukup mudah dan pantas memandangkan selepas memuat turun aplikasi tersebut, orang ramai akan diberi pilihan untuk memilih kawasan Parlimen masing-masing bagi mendapatkan maklumat calon BN di kawasan yang  telah dipilih.

Pengguna hanya perlu menghalakan telefon pintar masing-masing ke arah poster atau papan iklan yang memaparkan mana-mana calon BN sebelum mereka akan ‘muncul’ untuk berbicara menyampaikan mesej masing-masing. 

Bukan penentu 

Menurut pensyarah politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani, senario itu menunjukkan BN dan parti pembangkang kini berlumba-lumba mengunakan teknologi dalam kempen pilihan raya khususnya dalam menarik perhatian golongan pengundi muda.

“Secara psikologi, teknologi moden yang digunakan dalam kempen PRU-14 membantu menarik perhatian, khususnya dalam kalangan generasi muda yang layak mengundi kali ini.

“Namun, ia bukan penentu bagi meraih undi. 

“Apa yang penting, kandungan yang dipaparkan dalam kempen pilihan raya menerusi teknologi tersebut baik di pihak BN mahupun parti pembangkang perlu benar-benar meyakinkan bagi memikat hati pengundi untuk mengundi calon pilihan masing-masing,” jelasnya.

Menurut Mohd. Azizuddin, senario pada PRU-14 itu akan menyebabkan muncul pula teknologi-teknologi kempen pilihan raya yang baharu dan canggih pada PRU akan datang, khususnya PRU-15 kelak.

“Sebagai contoh, teknologi data raya (Big Data) untuk parti politik memahami sentimen atau pola pilihan pengundi pada PRU-14 sebenarnya baru di peringkat awal kerana sekarang ia lebih kepada jangkaaan. 

“Namun pada masa akan datang, teknologi tersebut akan dipertingkatkan sehingga profil tentang apakah yang benar-benar diinginkan setiap pengundi diketahui,” ujarnya.

Menurutnya, sememangnya teknologi itu kelihatan berisiko, khususnya dari segi melanggar hak privasi pengundi.

“Namun teknologi data raya sudah berkembang maju di peringkat global, sedangkan di Malaysia ia masih baharu dan ada masih banyak ruang untuk dipertingkatkan,” katanya.