Justeru, Avengers memerlukan senjata baharu untuk mengalahkan pihak musuh, bukan secara konvensional seperti yang digunakan sebelum ini.

Senario sama dialami dunia politik ekoran kemajuan mutakhir bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) khususnya internet dan media sosial Twitter, Facebook, WhatsApp, Instagram. Orang muda, aktivis dan pergerakan protes secara senyap menggunakan internet dan telefon pintar.

Ini antara imej yang terus muncul di minda apabila memperkatakan tentang teknologi sebagai pemangkin perubahan sosial, termasuk dalam sistem politik sebuah negara khususnya Malaysia yang bakal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menjelang 9 Mei ini. Kuasa politik internet ternyata bukan satu fenomena bermusim yang akhirnya musnah ditelan masa, malah implikasinya yang semakin menebal itu telah diramalkan sejak tahun 1995.

Penganalisis di Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat pada ketika itu, Charles Swett telah meramalkan internet bakal menghakis monopoli tradisi media konvensional seperti media cetak dan elektronik.

Media konvensional merupakan salah satu satu sumber pembekal maklumat kepada ramai penerima berbanding internet yang berupaya bertindak sebagai media interaktif daripada banyak pembekal kepada ramai penerima.

Setiap individu bebas menjadi pembekal maklumat dengan hanya berbekalkan sebuah komputer, modem dan akses internet.

Dari situ, muncul banyak pembekal maklumat yang boleh berinteraksi dengan ramai penerima berbanding media konvensional yang dikawal oleh ‘pengawal’ maklumat seperti editor akhbar atau majalah dan penerbit program televisyen.

Ia menjadikan internet berkeupayaan mengurangkan pengaruh media arus perdana dalam pembentukan agenda politik global, tidak terkecuali di Malaysia.

Menurut Ketua Jabatan Sains Komputer, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Dr. Omar Zakaria, PRU-13 telah membuktikan kepentingan media sosial untuk muncul sebagai senjata politik alaf baharu.

Manipulasi

“Pada PRU-13, media sosial lebih banyak digunakan oleh parti politik pembangkang di Malaysia dalam kempen-kempen pilihan raya seluruh negara berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Namun untuk PRU-14, saya melihat penggunaan sepenuhnya teknologi tersebut terutamanya dalam menyebarkan manifesto atau propaganda parti politik masing-masing dan pada masa sama, mengkritik pihak lawan,” jelasnya.

Contoh mudah tentang perkara ini, menurut Omar, ialah mengenai ciri like pada Facebook.

“Kalau kita klik like pada status laman web sesebuah parti politik, ia secara automatik akan menyambungkan kita ke suatu pautan yang ada kaitan dengan parti tersebut.

“Begitulah seterusnya, kalau klik like pada pautan tersebut, ia akan menyambung ke pautan lain pula. Dengan itu, maklumat tentang sesebuah parti politik akan diberikan lebih terperinci,” ujarnya.

Teknologi tersebut bukan sahaja memberi maklumat tentang parti politik itu sendiri tetapi boleh dimanipulasi untuk membuat propaganda bagi memburukkan pihak lawan.

Sementelah laporan Newzoo Global Mobile Market mendedahkan Malaysia menduduki tangga ke-29 dari segi penggunaan internet tertinggi di dunia. Hasil kaji selidik mendapati terdapat kira-kira 24,572,446 pengguna internet di Malaysia.

Berdasarkan jumlah itu, 78.7 peratus rakyat Malaysia merupakan pengguna internet.

“Sikap rakyat Malaysia yang sangat mesra internet itulah akan dimanipulasi sepenuhnya pada PRU-14. Kalau pada PRU-13, BN kurang agresif berbanding pihak pembangkang dalam menggunakan teknologi internet untuk kempen pilihan raya tapi pada PRU-14, kedua-dua pihak dilihat sama naik.

“Perang saraf antara BN dan pembangkang kini berlaku secara ‘senyap’ menerusi teknologi media sosial dengan memanipulasi sikap rakyat Malaysia yang gemar mendapatkan maklumat terkini menerusi internet,” jelasnya.

Tambah Omar, satu lagi teknologi media sosial yang kini dimanipulasi untuk kempen PRU-14 ialah penstriman secara langsung (live streaming).

“Jika lima tahun lalu, teknologi ini kurang digunakan ekoran kekangan jalur lebar, namun dengan adanya teknologi digital 4G, ia menjadikan penstriman secara langsung lebih pantas dan jelas dalam menyebarkan maklumat kepada penerima di mana jua mereka berada,” ujarnya ketika dihubungi.

Terbaharu, penggunaan teknologi analisis data raya (Big Data) dikatakan bakal menjadi antara senjata penting untuk parti politik memahami sentimen atau pola pilihan pengundi pada PRU-14.

Pensyarah politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani pada Forum Media dan Komunikasi menjelang PRU-14 anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, teknologi tersebut membolehkan data mengenai tabiat atau kecenderungan individu tertentu akan dianalisis bagi memudahkan sesebuah parti politik memahami sasaran pengundi mereka.

Psikologi

Menerusi kefahaman terhadap data tersebut yang biasanya diperoleh melalui panggilan telefon, media sosial atau kaji selidik yang dilakukan secara turun padang, ujar Mohd. Azizuddin, parti-parti politik boleh menggubal dasar atau membentangkan intipati khusus yang diinginkan pengundi dalam manifesto PRU-14 masing-masing.

“Ia juga boleh mempengaruhi pandangan pratanggap pengundi terhadap parti politik tertentu,” ujarnya.

Sementara itu mengulas mengenai Big Data, Omar pula berkata: “Big Data boleh memanipulasi psikologi pengundi.

“Contohnya hasil kajian yang dibuat di sesebuah kawasan undian mendapati bahawa parti A bakal meraih undi yang lebih banyak berbanding parti B.

“Sedangkan ia cuma jangkaan daripada hasil pengumpulan sampel, tetapi jelas ia boleh mempengaruhi psikologi pengundi pada hari mengundi kelak,” katanya.

Beliau menjangkakan, perang saraf sosial media dalam kalangan parti-parti politik tanah air akan berterusan pada PRU akan datang.

“Dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, selepas perang poster sudah hilang fungsinya sebagai salah satu senjata kempen PRU di negara ini, perang saraf sosial media dijangka akan berterusan.

“Dijangka teknologi-teknologi baharu yang muncul akan menentukan hala tuju dunia politik negara pada masa hadapan,” ujarnya.