Tahun ini, upacara ini disambut pada Mac lalu pada sebelah pagi selepas melakukan ritual pemujaan pantai sempena memperingati nenek moyang dan memohon kesejahteraan untuk penduduk.

Terdapat tiga buah rumah moyang yang dijadikan tempat upacara tersebut iaitu Moyang Kateq, Moyang Gadeng dan Moyang Amai.

Sambutan tersebut dimeriahkan dengan persembahan tarian jooh atau dikenali tarian topeng yang menjadi tarikan kepada pengunjung.

Tarian topeng dipersembahkan bagi mengalu-alukan kedatangan tetamu sambil diiringi dengan alunan muzik tradisional seperti tambo (gendang), tuntung (buluh), biola dan gong. Penari-penari dilengkapi dengan pakaian tradisi kulit kayu berserta pelbagai aksesori hiasan anyaman daun nipah.

Penari lelaki yang bertopeng akan melakukan gerakan tarian mengikut arah jam di sekitar wanita manakala penari iringan terutamanya wanita memakai hiasan kepala yang dibuat daripada anyaman daun mengkuang. Mereka akan menari dengan gerakan lawan arah jam.

Kaum Mah Meri bukan sahaja popular dengan hasil ukiran kayu malah budaya dan tarian tradisi mereka juga telah mendapat perhatian masyarakat luar. Mah Meri bermakna orang hutan selain dikenali sebagai orang laut kerana mereka tinggal berhampiran laut dan bekerja sebagai nelayan.