Apa tidaknya, kempen Piala Dunia ditonton hampir separuh penduduk bumi berdasarkan penganjuran pada tahun 2014 di Brazil yang mencatatkan jumlah penonton mencecah 3.4 bilion. 

Pada edisi kali ini, penajaan terhadap kejohanan yang melibatkan tujuh benua tersebut menyaksikan ia didominasi oleh syarikat-syarikat gergasi Asia seperti Dalian Wanda, Hisense, Vivo, Mengniu Dairy, Luci, Diking, Yadea dari China; Hyundai (Korea Selatan), syarikat penerbangan Qatar Airways (Qatar) dan Gazprom (Rusia).  

Penajaan-penajaan dari negara Asia ini dianggap sebagai ‘bidan terjun’ yang tampil memenuhi kekosongan slot tawaran setelah hanya beberapa jenama besar seperti Nike, Adidas, McDonald’s, Coca-Cola, Budweiser dan Visa yang masih setia bekerjasama dengan FIFA. 

Hal ini berikutan keputusan jenama-jenama terkemuka seperti Castrol, Continental dan Johnson & Johnson tidak menyambung kontrak bersama FIFA pada tahun 2015 apabila hilang kepercayaan terhadap badan sukan antarabangsa itu ekoran skandal rasuah melibatkan Presiden FIFA ketika itu, Sepp Blatter. 

Laporan The Nielsen Sports World Football 2018 menunjukkan hasil penajaan FIFA untuk tempoh 2015 hingga 2018 hanya berjumlah AS$1.45 bilion (RM5.8 bilion), menyusut sebanyak AS$1.62 bilion (RM6.48 bilion) berbanding jumlah bagi tahun 2011 hingga 2014 yang turut merangkumi Piala Dunia di Brazil. 

Selain imej FIFA, jenama-jenama besar dari Barat juga sedar dengan kemungkinan mereka akan terjerumus dengan pelbagai kontroversi berkaitan nilai kemanusiaan atau moral sekiranya terlibat menjadi badan penaja kejohanan di Rusia. 

Antara sebabnya, isu campur tangan Moscow dalam pilihan raya asing, keterlibatan Rusia dalam perang saudara Syria sehinggalah skandal doping yang menyaksikan para atlet Rusia diharamkan daripada menyertai Sukan Olimpik 2016 dan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018. 

Peluang

Walaupun Barat melihat aspek-aspek tersebut sebagai menempah bala jika meneruskan tajaan, namun ia tidak memberi kesan kepada syarikat dan konglomerat China yang menganggap situasi tersebut sebagai peluang keemasan memandangkan nilai penajaan pada kejohanan kali ini diturunkan. 

Ia ekoran hasrat China untuk menjalinkan hubungan baik bersama FIFA sekali gus membuka ruang untuk mereka membida penganjuran Piala Dunia pada masa akan datang. 

China juga menganggap pelaburan mereka berbaloi apabila kehadiran atlet-atlet berprofil tinggi pada kejohanan empat tahun sekali itu mampu membantu mereka mempromosikan produk walaupun jenama mereka kurang dikenali di peringkat antarabangsa.

Berbanding produk-produk terkenal yang biasa dilihat, peminat-peminat sukan bola sepak dunia kali ini disajikan dengan iklan Yorgurt, aiskrim dan susu daripada syarikat Mengniu yang mendapat tayangan ke udara selama tujuh minit bagi setiap 64 perlawanan. 

Selain itu, jenama kurang dikenali dari China yang tampil memperkenalkan diri sepanjang kempen Piala Dunia ialah Vivo iaitu pengeluar telefon bimbit; Hisense (pengeluar barangan elektrik); syarikat skuter elektrik Yadea dan Dalian Wanda, konglomerat yang dikawal oleh jutawan, Wang Jianlin.

Nielsen berkata, penajaan-penajaan dari China yang menggantikan jenama-jenama dari Eropah dan Amerika Utara itu dilihat mampu membantu FIFA mengharungi cabaran yang mendatang.

“Badan kawal selia yang berpangkalan di Switzerland itu berharap untuk melihat semua peningkatan perolehan menjelang penganjuran Piala Dunia 2022 di Qatar ekoran jenama-jenama dari Asia Barat kaya yang mengambil peluang terhadap acara yang akan diadakan di rantau tersebut buat kali pertama nanti,” ujarnya.

Firma pengukur data dan maklumat global itu menambah, tajaan dari rantau Asia kian jelas dan paling signifikan pada Piala Dunia 2018 dengan merangkumi 39 peratus daripada perjanjian yang dimeterai.

“Tajaan dari China terhadap FIFA boleh dilihat sebagai sokongan perniagaan negara berkenaan terhadap usaha kerajaan dalam membangunkan sukan itu dan menarik Piala Dunia,” jelasnya.

Komitmen China terhadap acara berprestij itu juga merupakan sebahagian minat negara berkenaan terhadap sukan berkenaan, khususnya susulan komen Presidennya, Xi Jinping yang mahukan China menjadi kuasa besar sukan bola sepak menjelang tahun 2050.

Turut dilaporkan bahawa negara berkenaan berhasrat untuk menjadi hos Piala Dunia 2030 atau 2034.

Memetik laporan The Guardian, Wang berkata, dua atau tiga tahun lalu syarikat-syarikat dari China dan Asia tidak mempunyai peluang untuk menaja FIFA sungguhpun mampu untuk berbuat demikian.

“Tetapi disebabkan beberapa syarikat Barat yang mengundur diri, kini kami mempunyai peluang,” ujarnya.