ALBERTO Manguel dalam bukunya, A History of Reading (1996) menceritakan kisah Dewa Thoth yang menghadap Raja Mesir. Thoth menawarkan kepada Raja Mesir beberapa penemuannya untuk meningkatkan kepintaran rakyat negara itu. Ilmu-ilmu tersebut adalah tentang angka, buah dadu, geometri, astronomi dan tulisan.

Namun, Raja Mesir tidak tertarik kerana bimbang jika rakyatnya belajar tulisan, ia akan membuat jiwa mereka lemah dan berhenti menghafal kerana bergantung pada apa yang tertulis.

Perdebatan antara Dewa Thoth dan Raja Mesir tersebut diceritakan oleh Socrates kepada salah seorang muridnya, Phaedrus. Ahli falsafah Greek itu juga mengingatkan muridnya bahawa tulisan dapat berfungsi lebih daripada sekadar mengingat sesuatu yang sudah diketahui. Murid Socrates yang paling terkenal, Plato juga mengakui bahawa membaca dan menulis akan mengubah manusia menjadi lebih ‘bertamadun dan beradab’. Socrates dan Plato tentu saja hidup pada zaman ketika tulisan masih belum berkembang dan setiap ilmu pengetahuan perlu dihafal secara turun-temurun dalam tradisi lisan.

Akhirnya, tradisi menulis tangan menjadi sebahagian daripada tradisi keilmuan dan pembinaan tamadun manusia. Ia terus berkembang dan digunakan untuk menyalin pelbagai ilmu seperti penemuan-penemuan baharu dalam bidang perubatan, astonomi, botanik, sejarah, sastera, drama dan sebagainya.

Di Eropah, sebelum percetakan ditemukan, semua maklumat ditulis dengan tangan. Buku-buku disalin atau ditulis oleh jurutulis (scribes) yang sering menghabiskan waktu bertahun-tahun untuk menyelesaikan satu naskhah buku. Kaedah ini terlalu lambat dan mahal dan sangat sedikit yang memiliki kemampuan untuk membaca karya yang telah selesai.

Begitu juga dalam tradisi penulisan manuskrip-manuskrip Melayu berkaitan dengan pembuatan senjata, perubatan, ilmu persilatan, ilmu pertanian, sastera dan sebagainya yang bermula dengan tradisi menghafal, mula dibukukan dengan menggunakan tulisan tangan.

Namun, pernahkah kita membayangkan pada satu hari nanti, budaya menulis tangan atau tulisan-tulisan menggunakan pen atau pensil pada buku-buku catatan atau helaian-helaian kertas akan pupus? Mungkinkah tulisan tangan akan diambil alih sepenuhnya oleh skrin tablet, papan kekunci komputer dan pelbagai teknologi lain?

Ketika era konsumerisme dan hedonisme terus berkembang, dunia secara berperingkat diisi oleh generasi yang disebut sebagai digital native dan digital immigrant. Kedua-dua kelompok ini mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan perkembangan teknologi terutama berasaskan media dan komunikasi digital.

 

Gajet

Istilah digital native merujuk kepada generasi yang lahir pada penghujung 1990-an ketika perkembangan teknologi digital terus berkembang. Mereka memiliki kemahiran menggunakan peralatan digital seperti gajet dan sebagainya, membentuk kelompok sebaya di dunia maya dan peka terhadap maklumat terbaru sama ada secara positif atau negatif

Immigrant native pula merujuk kepada generasi yang pernah hidup ketika teknologi belum berkembang tetapi mereka turut mengetahuinya, namun terhad kepada fungsi-fungsi asas alat-alat telekomunikasi tersebut seperti membuat atau menerima panggilan serta mengirim pesanan ringkas. Kelompok ini juga tidak terlalu memperdulikan dunia maya.

Timbul satu pertanyaan besar dari kemunculan digital native ini, apakah istilah ‘tangan’ pada tulisan tangan akan tersingkir selamanya kerana mereka menulis pada skrin-skrin komputer, gajet dan sebagainya? Masih adakah bahan-bahan penerbitan secara manual seperti akhbar, buku, majalah dan bahan bercetak lain pada masa depan?

Kebergantungan utama generasi ini terhadap gajet dan alat komunikasi digital yang lain dilihat sebagai satu ancaman terhadap budaya tulisan tangan. Ini kerana sebahagian besar proses komunikasi, penyimpanan data, perolehan maklumat mereka sangat berkait rapat dengan peralatan-peralatan tersebut.

Jika budaya digital ini telah mengambil peranan penulisan konvensional (penulisan tangan), masihkah ada kemampuan menulis dan menggenggam pensil atau pen? Banyak pihak yang mengatakan budaya ini sedang menuju pengakhirannya. Generasi digital native terutamanya, tidak lagi cekap menulis tangan kerana terbiasa dengan skrin sentuh atau papan kekunci komputer.

Fenomena ini juga secara tidak langsung turut mempengaruhi gaya hidup immigrant native kerana sebahagian urusan penulisan tangan, mulai beralih kepada tekonologi digital tersebut dalam semua urusan pendokumentasian, penyimpanan data dan sebagainya. Dengan kata lain, kelompok ini juga terpaksa memahami skop kerja berasaskan digital.

Muncul alasan-alasan lain yang agak skeptikal. Menulis atau mencatat sesuatu pada buku nota menggunakan pen atau pensil merupakan sesuatu yang tidak lagi praktikal, lambat dan membazir masa. Ertinya, teknologi berasaskan skrin dan papan kekunci lebih mudah, senang dibawa serta efektif.

Situasi ini tidak hanya terjadi di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Di Finland, misalnya, budaya tulisan sambung tidak lagi diajarkan di sekolah. Para pelajar rendah, menengah dan pengajian tinggi didedahkan dengan penggunaan teknologi digital sama ada untuk pengajaran dan pembelajaran maya atau memperoleh maklumat tertentu.

Di Amerika Syarikat, misalnya, syarat seseorang pelajar mampu menulis dengan menggunakan tulisan sambung tidak lagi diwajibkan sejak 2013, meskipun ada beberapa negeri yang masih memberi penekanan dalam aspek tersebut. Antaranya, Arizona tetapi tetap tidak digunakan oleh majoriti sekolah.

Ironinya, muncul pandangan-pandangan oleh para sarjana yang melihat perkembangan baharu ini sebagai positif. Antaranya, Anne Trubek dalam bukunya, The History and Uncertain Future of Handwriting (2016), yang berpendapat, teknologi digital tidak mungkin menggantikan tulisan tangan.

 

Orientasi

Pada pandangan Trubek, budaya tulisan tangan dan tulisan berasaskan papan kekunci serta skrin sentuh merupakan dua medium yang berbeza tetapi orientasinya adalah sama iaitu menulis. Trubek berkata, secara teorinya, tidak ada alasan untuk tulisan tangan akan lenyap, selagi manusia mampu membaca serta menulis. Tetapi keperluan-keperluan yang berorientasi ekonomi global serta kecekapan komunikasi ‘memaksa’ manusia harus menulis sebahagian besar teks dengan komputer dan skrin sentuh.

Di Malaysia, budaya tulisan tangan akan tetap bertahan, sama seperti industri percetakan, namun kita tidak tahu sampai bila ketika peranan tersebut semakin diambil alih oleh perangkat-perangkat digital yang terlalu cepat berkembang. Perkembangan ini justeru memberi ‘keselesaan’ kepada digital native.

Alangkah ruginya jika individu tidak lagi menulis. Seperti yang diungkapkan oleh ahli neorosains Amerika, Claudia Aguirre, tulisan menggunakan tangan akan merangsang kecekapan otak manusia dan mengelakkan seseorang menjadi pelupa. Ini kerana terdapat saraf-saraf otak yang hanya dapat diaktifkan dengan menulis.

Pandangan-pandangan oleh Trubek, O’Donnell dan Aguirre tersebut mungkin sekadar ramalan terhadap masa depan budaya penulisan tangan. Namun, secara realitinya, mampukah budaya tersebut terus bertahan dengan kecanggihan teknologi komputer dan gajet telah mengambil alih fungsi-fungsi pen serta pensel?

* Dr. Azman Ismail ialah Pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).