Persoalan saya kemudian terjawab. Tindakan itu sebenarnya sebagai menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memberi kuasa kepada Sabah dan Sarawak mengawal hal ehwal imigresen dan perkhidmatan awam.

Apa itu MA63? Mengimbas sejarah lalu, perisytiharan penubuhan Malaysia sebenarnya adalah hasil daripada satu perjanjian iaitu MA63 antara Persekutuan Tanah Melayu, United Kingdom, Sabah, Sarawak dan Singapura yang telah bersetuju untuk membentuk negara baharu yang bersatu dinamakan Persekutuan Malaysia. Peristiwa penting itu berlaku pada tanggal 9 Julai 1963.

Persetujuan untuk bergabung telah direncana secara tertib dengan mengambil kira laporan Suruhanjaya Cobbold yang telah ditugaskan membuat tinjauan pendapat dalam kalangan penduduk Sabah dan Sarawak.

Jawatankuasa Antara Kerajaan Mengenai Malaysia juga telah ditubuhkan pada tahun 1962 dengan penyertaan wakil-wakil dari Tanah Melayu, Sarawak, Sabah, Singapura dan Britain untuk berunding perkara-perkara berkaitan penubuhan Malaysia.

Secara keseluruhannya, kira-kira 80 peratus penduduk Sabah dan Sarawak telah bersetuju terhadap gagasan Malaysia dan perkara itu disahkan oleh wakil Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu Lawrence Michaelmore.

Penyertaan kedua-dua negeri terbabit bagi pembentukan Malaysia telah menyaksikan kandungan-kandungan dalam MA63 diterima dalam Perlembagaan Persekutuan. Secara tidak langsung, ia memberi ciri-ciri unik terhadap Sabah dan Sarawak yang membezakannya dengan negeri-negeri lain.

Sandaran

Selain itu, dua dokumen yang sentiasa dijadikan sandaran untuk rujukan hak Sabah dan Sarawak ialah Perkara 20 Sabah dan Perkara 18 Sarawak yang merupakan tuntutan-tuntutan untuk menjaga kepentingan rakyat di kedua-dua negeri berkenaan. Antaranya ialah hal berkaitan kuasa imigresen dan perkhidmatan awam, kewarganegaraan, bahasa dan perwakilan di Persekutuan.

Bagaimanapun, beberapa perkara masih lagi berbangkit sehingga kini berikutan terdapat kandungan perjanjian bersejarah itu dikatakan tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Paling kontroversi ialah mengenai hasil bumi terutamanya hak Sabah dan Sarawak terhadap hasil semula jadi negeri serta hasil minyak dan gas yang didakwa tidak selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963.

Selain itu, kedua-dua negeri itu juga menuntut lebih banyak kuasa autonomi dengan penurunan kuasa daripada kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri dalam perkara membabitkan hak tadbir urus negeri, pembangunan prasarana dan industri serta pembangunan pendidikan dan sumber manusia.

Perkembangan terkini menyaksikan banyak isu pertembungan mengenai hak-hak berkenaan antaranya penubuhan syarikat minyak dan gas iaitu Petroleum Sarawak Berhad (Petros) yang berhasrat mengambil alih kuasa kawalan ke atas sumber petroleum di negeri itu.

Dalam hal ini, banyak suara yang menuntut Sarawak dan Sabah sepatutnya mendapat royalti minyak yang lebih tinggi sehingga 20 peratus berbanding 5 peratus yang diterima ketika ini.

Bagaimanapun, segala perdebatan mengenai isu hangat itu kini memasuki fasa perundangan dengan syarikat minyak dan gas nasional, Petronas telah memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan mengenai Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) sebagai undang-undang terpakai bagi industri petroleum di Malaysia.

Janji

Petronas mendakwa, syarikat itu merupakan pemilik eksklusif sumber petroleum serta pengawal selia industri huluan di seluruh Malaysia termasuk di Sarawak dan percaya penentuan oleh Mahkamah Persekutuan akan membantu memberikan kejelasan mengenai hak dan kedudukannya di bawah PDA.

Namun demikian, semalam, Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan Petronas bagi prosiding berhubung kuasa kawal selia aktiviti huluan sumber minyak di Sarawak. Apakah plot seterusnya, masih menjadi tanda tanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan (PH) dalam manifestonya bertekad untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak berteraskan MA63. Malah salah satu daripada janji 100 hari pentadbiran PH adalah menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan perjanjian tersebut yang berusia 55 tahun itu.

Tugas utama Jawatankuasa Khas berkenaan ialah mengkaji dan mencadangkan langkah-langkah pembetulan dalam hal-hal berikut:

• Status MA63 dalam perundangan sekarang

• Hak Sabah dan Sarawak terhadap hasil semula jadi negara serta hasil minyak dan gas

• Perkara-perkara pentadbiran yang sewajarnya diturunkan untuk kuasa negeri termasuk jumlah peruntukan yang seharusnya menjadi hak Sabah dan Sarawak

Apabila dilihat kembali, dokumen MA63 mempunyai signifikan yang besar. Ia dapat dilihat apabila kerajaan Sarawak menghantar sekumpulan peguam dari Pejabat Ketua Menteri Sarawak ke London pada Julai tahun lalu bagi meneliti dokumen asal perjanjian itu.

Malah setiap kali pilihan raya, hak-hak yang terkandung dalam MA63 merupakan perkara-perkara yang dilaungkan di negeri Sabah serta menjadi perdebatan di negeri berkenaan.

Di sebalik hak-hak yang dipertikaikan dan menjadi perdebatan hangat sejak sekian lama itu, perlu diingatkan bahawa matlamat perjanjian berkenaan adalah untuk mewujudkan kesejahteraan dan perpaduan rakyat antara setiap negeri. Jangan pula ia dijadikan senjata dan bahan ugutan untuk mana-mana pihak membawa keluar Sabah dan Sarawak dari Malaysia.