Pilihan raya sudah sinonim dengan sistem demokrasi manakala rantau ini khususnya anggota Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang terdiri daripada 10 buah negara termasuk Malaysia, Indonesia, Vietnam, Laos, Kemboja, Myanmar, Brunei, Thailand, Singapura dan Filipina pernah menikmati apa yang dianggap oleh saintis politik Amerika Syarikat, Samuel Huntington sebagai ‘gelombang pendemokrasian ketiga’.

Menurutnya, kuasa rakyat menumbangkan rejim Presiden Ferdinand Marcos di Filipina susulan demonstrasi besar-besaran pada tahun 1986, sementara 1992 pula menyaksikan institusi tentera mengembalikan semula kuasa kepada rakyat di Thailand diikuti oleh tumbangnya ‘orang kuat’ Indonesia, Suharto pada tahun 1998.

Bagaimanapun, keterujaan kepada demokrasi di Asia Tenggara mula dibayangi kesangsian sama ada sistem pemerintahan itu dapat terus bertahan di rantau ini.

Menjelang tahun 2000, amalan demokrasi, menurut pakar-pakar politik, sama ada telah merosot atau menerima tekanan di beberapa buah negara paling strategik di rantau ini khususnya Thailand dan Filipina.

Rapuh

Sebilangan penganalisis politik menganggap demokrasi di Asia Tenggara rapuh. Di Thailand, rampasan kuasa secara kerap oleh tentera memusnahkan keutuhan demokrasi di negara itu walaupun junta tentera berjanji akan mengadakan pilihan raya selewat-lewatnya pada Februari 2018.

Di Myanmar pula, kemenangan parti pimpinan pemenang Hadiah Nobel, Aung San Suu Kyi dan peralihan sistem pemerintahan junta tentera kepada kerajaan awam selepas lima dekad, dicemari oleh kekejaman dan penindasan Yangon khususnya pihak tentera terhadap etnik minoriti Islam Rohingya di Negeri Rakhine. Lebih teruk, pemimpin demokrasi Myanmar itu menerima kecaman masyarakat antarabangsa kerana gagal bersuara untuk membantu penduduk yang tertindas sejak sekian lama itu.

Di Filipina pula, aktivis-aktivis demokrasi bimbang dengan tindakan Presiden Rodrigo Duterte yang semakin mengukuhkan kuasanya menuju era tirai kuku besi. Beliau didakwa menggunakan pelbagai mekanisme termasuk perisytiharan darurat ke arah itu.

Perang dadah Duterte terhadap pengedar dan penagih barang terlarang itu pula menyaksikan ribuan korban sekali gus dianggap mencemarkan nilai dan ciri demokrasi di Asia Tenggara. Pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia, terutamanya, lantang menentang perang dadah Duterte malah menganggapnya sebagai ‘jenayah kemanusiaan’.

Pada masa sama, penganalisis-penganalisis Barat mengingatkan bahawa Indonesia yang merupakan demokrasi ketiga terbesar dunia, berdepan situasi di mana pengaruh dan peranan agama semakin dominan dalam senario politik di negara itu.

Mereka memberikan insiden Ahok sebagai contoh. Kekalahan Gabenor Jakarta berketurunan Cina dan beragama Kristian itu dalam mempertahankan jawatannya susulan dakwaan menghina Islam, dilihat oleh ramai penganalisis politik sebagai petanda masa depan sistem demokrasi sekular di negara itu tidak menentu.

Menurut mereka, pengaruh kumpulan-kumpulan Islam berkemungkinan menjadi faktor yang menggugat demokrasi sekular di Indonesia.

Dua lagi negara Asia Tenggara, Vietnam dan Laos pula mengamalkan sistem komunis, manakala di Kemboja, ‘orang kuatnya’ Hun Sen belum menunjukkan tanda-tanda akan berundur walaupun telah memerintah negara selama lebih 30 tahun.

Optimis

Rantau ini adalah berbeza daripada Barat dalam banyak perkara. Asia Tenggara memiliki nilai dan budaya politik serta sistem pentadbiran yang berbeza-beza bukan sahaja dengan Barat, malah sesama negara di rantau berkenaan.

Namun, negara-negara ASEAN berpegang teguh kepada prinsip menghormati dan tidak mencampuri kedaulatan negara-negara serantau.

Prinsip tersebut yang dicampur dengan sistem pemerintahan yang berbeza di Asia Tenggara menyaksikan demokrasi dan hak asasi bukan menjadi agenda paling utama di rantau berkenaan.

Sebaliknya, kebanyakan pemimpin Asia Tenggara meletakkan keamanan dan kemakmuran masyarakat melebihi hak dan kebebasan individu, salah satu prinsip demokrasi liberal yang diagungkan Barat.

Pemimpin-pemimpin rantau ini dikatakan mengamalkan demokrasi bersama pemerintahan autokratik ‘lembut’ sebagai alternatif kepada corak demokrasi liberal Barat yang didukung oleh prinsip dan nilai individualisme.

Mengambil kira semua itu, tidak bermakna bahawa sistem demokrasi dan amalan pilihan raya di Asia Tenggara semakin pudar. Penulis portal East Asia Forum, Thomas Pepinsky daripada Universiti Cornell berkata, cabaran kepada demokrasi hanya timbul di negara-negara yang mengalami proses liberalisasi.

Menurutnya, cabaran kepada demokrasi di negara-negara Asia Tenggara tersebut pula adalah ‘lebih kecil’ jika dibandingkan dengan pencapaian yang diperoleh pada masa lalu.

Keadaan sebenar demokrasi di Asia Tenggara, katanya, adalah ia tidak pudar atau mundur ke belakang. Sebaliknya, demokrasi di rantau ini bertahan bersama sistem pemerintahan autokratik yang diamalkan oleh beberapa negara serantau.

Situasi itu boleh dibuktikan bersandarkan kepada statistik pembangunan demokrasi di rantau ini. Pada hari ini, lebih satu dekad dalam alaf ke-21, bilangan rejim kuku besi semakin berkurangan di Asia Tenggara berbanding semasa awal tahun 1990-an.

Contoh paling jelas berlaku di Indonesia yang menyaksikan negara berkenaan ‘melucutkan’ pemerintahan diktator di bawah Presiden Suharto dan tidak pernah terlepas mengadakan pilihan raya Presiden dengan jayanya.

Di Myanmar, negara itu mula beransur membuka pintu kepada sistem demokrasi selepas tahun 2010, manakala kestabilan politik di Malaysia sejak beberapa tahun lalu menjadi antara tanda kejayaan proses demokrasi di Asia Tenggara.

Laman berita politik, Fair Observer melaporkan bahawa pada hari ini, sekurang-kurangnya tujuh daripada 11 negara Asia Tenggara berada dalam kategori ‘separa bebas’ oleh pertubuhan bukan kerajaan berpangkalan di Amerika Syarikat, Freedom House, pencapaian yang membuktikan bahawa amalan demokrasi di Asia Tenggara terus subur di persada geopolitik dunia.